Doakan saya
Assalamualaikum wbt.
Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:
1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.
2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.
3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.
4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.
5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.
6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.
7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.
8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.
9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.
Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.
Amin..........
Blog lain
Malaysia Secara Ringkas
Sejarah menarik; sejak abad ke-15 ketika Melaka merupakan sebuah pelabuhan dagangan penting, telah membentuk Malaysia menjadi sebuah negara beraneka budaya yang berbeza. Percutian ke Malaysia membuahkan pengalaman manis dengan penduduknya yang amat mesra, sementara kemudahan moden yang tersedia memastikan percutian anda mudah dan selesa. Mengenali Malaysia, bererti mencintai Malaysia - negara yang tersohor dengan pilihan makanan, kepelbagaian hutan hujan berusia jutaan tahun, bangunan pencakar langit yang canggih dan pesta pelbagai warna yang gemilang.
Muat turun Risalah: Percutian Menarik
Wahai rakyat Malaysia, peliharalah kemerdekaan dengan sebaik-baiknya supaya Malaysia kekal makmur & selamat dilawati oleh pelancong luar. MERDEKA!!!!!
Selamat menyambut kemerdekaan ke 54
"Transformasi Berjaya,Rakyat Sejahtera"
Carian pintas artikel pelancongan pilihan anda
WOW!!
I love Malaysia!!!!!!!
09 Februari 2013
ucapan saya tahun baru cina dan Rumah Demang 'Raja Kecil'
Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada masyarakat Cina yang dikatakan jatuh pada tahun ular. Raikanlah dengan semangat 1Malaysia.
TERLETAK kira-kira 22 kilometer dari Bandar Melaka, pekan Merlimau merupakan antara lokasi yang menjadi tumpuan pelancong terutama dari luar negara yang biasanya lebih berminat untuk melihat peninggalan masyarakat terdahulu berbanding warga tempatan.
Antara lokasi tumpuan adalah makam Tun Teja, perigi Tun Teja, perigi Portugis serta beberapa medan ikan bakar berdekatan yang kebanyakannya menjadikan nasi lemak sebagai hidangan utama untuk 'dipadankan' dengan ikan bakar segar.
Namun, jika anda berkunjung ke sana, jangan lupa bertanya kepada penduduk tempatan di mana letaknya Rumah Demang Abdul Ghani yang sering juga disebut sebagai 'Istana Merlimau'.
Jika sudah tahu lokasinya, berkunjunglah. Di situ anda berpeluang meneliti keunikan seni bina rumah tersebut yang masih mengekalkan identiti rumah Melayu Melaka. Namun dalam masa sama turut menyelitkan unsur-unsur seni luar dalam pembinaannya.
07 September 2012
Berhibur di A'Famosa
22 Mei 2012
Jejak Portugis di Melaka
Jejak Portugis di Melaka
24 September 2011
Keaslian masakan Baba Nyonya
Kaum Baba dan Nyonya lahir pada zaman Kesultanan Melayu Melaka menerusi perkahwinan campur yang berlaku antara pedagang dari negara China yang datang ke Tanah Melayu.
Oleh kerana itu, kaum tersebut menggelarkan diri mereka Peranakan Baba dan Nyonya kerana mengamalkan budaya warisan tradisi Cina dan Melayu.
Menikmati masakan masyarakat Baba dan Nyonya pastinya terasa keunikan kerana resipinya menampilkan budaya campuran cita rasa kaum Cina dan Melayu.
Begitupun, peredaran zaman yang begitu pantas menyebabkan makanan tradisional Baba dan Nyonya semakin sukar didapati di negeri ini.
Jika ada pun, ia hanya boleh didapati di beberapa restoran eksklusif di sekitar Jonker Walk, Bandar Hilir dan Melaka Raya.
Untuk mendapatkan masakan asli kaum tersebut nyata semakin sukar kerana kebanyakan restoran telah mengadunkannya dengan masakan Barat.
Namun begitu, Restoran Seafarer yang terletak di Batang Tiga, Tanjung Kling berhampiran Klebang masih berbangga dengan masakan tradisi Baba dan Nyonya.
Biarpun restoran itu turut menyediakan pelbagai masakan barat, makanan laut dan ikan bakar, namun keutamaan yang ditampilkan adalah masakan Baba dan Nyonya.
Antara masakan yang terdapat di sini ialah ayam pong teh, asam pedas ikan, ikan stim Nyonya, udang lemak nanas dan sambal sotong campur petai.
Jika anda berpeluang merasai masakan Baba dan Nyonya di restoran ini, anda pasti akan berkunjung semula ke sini untuk menjamu selera. Ini kerana keaslian masakannya terpelihara kerana menggunakan rempah ratus yang sering digunakan dalam setiap masakan Melayu.
Tidak hairanlah, pelancong yang datang dari luar Melaka pasti akan berkunjung ke restoran ini jika ingin merasai keaslian masakan Baba dan Nyonya.
Pengurusnya, Mike Thein berkata, restoran yang dibuka sejak 10 tahun lalu itu masih mengekalkan masakan peranakan kerana ia menjadi tarikan pelancong dan penduduk tempatan.
''Kami masih mengekalkan keaslian masakan Baba dan Nyonya di zaman dahulu kala kerana rempah ratus yang digunakan turut digunakan oleh masyarakat Melayu.
''Inilah mercu tanda Restoran Seafarer kerana masakan peranakan menjadi tarikan ramai orang untuk datang ke sini," katanya yang menguruskan restoran itu bersama isteri, abang, kakak dan adik-beradik yang lain.
Menjadikan restoran ini lebih menarik kerana pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis hidangan peranakan sambil menikmati pemandangan matahari terbenam kerana ia menghadap Selat Melaka.
Restoran ini mampu menampung 600 pengunjung, dan bersedia menerima tempahan daripada mana-mana syarikat untuk menganjurkan sebarang keraian.
Ia dibuka setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum dari pukul 12 tengahari hingga 3 pagi.
Selain menyajikan hidangan Baba dan Nyonya yang enak, makanan barat dan ikan bakar, ia turut menyediakan pelbagai aktiviti sukan air seperti jet ski, banana ride, kayak dan sebagainya.
Bagi mereka yang berminat untuk menjamu selera, boleh membuat tempahan dengan menghubungi talian 06-3152693, faks 06-3152698 atau melayari laman web seafarer.com.my.
14 Mei 2011
Indahnya Seri Malaysia, Melaka
KOLAM di Hotel Seri Malaysia, Melaka bukan sekadar untuk aktiviti renang malah menyajikan halwa mata menyamankan dengan seni landskap yang menarik. |
12 Februari 2011
Laksamana Townlodge janjikan terbaik
MELAKA 11 Feb. – Kesan peninggalan bangunan lama dan artifak sejarah pada zaman pemerintahan penjajah British, Portugis dan Belanda di Banda Hilir hari ini menjadikan Melaka muncul antara destinasi tumpuan pelancong.
Keunikan sejarah itu juga membolehkan Melaka diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Tidak dinafikan pengiktirafan itu seiring dengan status negeri ini sebagai salah satu negeri pelancongan yang terulung di Malaysia.
Antara lokasi yang sering menjadi kegemaran pelancong ketika bercuti di negeri ini adalah seperti Jonker Walk, Makam Hang Tuah, Menara Taming Sari, Kota A‘Famosa dan pusat beli-belah di Dataran Pahlawan.
Bagi mereka yang datang ke negeri ini, anda mempunyai banyak pilihan dalam soal memilih tempat penginapan tidak kira hotel mahupun inap desa.
Tarikan terbaru, pernahkah anda terfikir untuk merasai penginapan hotel di dalam taman perumahan?
Jika ia, pastikan kunjungan anda ke negeri ini tidak disia-siakan dengan pengalaman menginap di Laksamana Townlodge.
Terletak di Jalan Taman Kota Laksamana 2/13. Seksyen 2, Taman Kota Laksamana, enam buah unit rumah kepunyaan Kumpulan Melaka Berhad (KMB) ini pastinya menjanjikan sebuah penginapan ala hotel terbaik ketika ini.
Dikendalikan sepenuhnya oleh anak syarikat KMB, Akademi Pelancongan Melaka (APM), enam buah unit teres mewah ini menyediakan tiga buah bilik standard dan sebuah bilik utama.
Lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti ruang dapur yang boleh digunakan pengunjungnya, Laksamana Townlodge sesuai bagi mereka yang datang bercuti bersama keluarga besar.
Perkhidmatan hotel di dalam taman perumahan ini juga menyediakan kemudahan WiFi percuma dan ruang tamu dilengkapi sofa dan televisyen.
Apa yang menarik lagi Laksamana Townlodge yang didaftarkan di bawah Persatuan Hotel Bajet ini bukan menyediakan sebuah bilik semata-mata malah sebuah rumah mewah boleh disewa oleh pengunjung yang mahu sedikit privasi.
Kadar harga bagi sebuah rumah mewah adalah RM550 semalam, RM180 bagi bilik utama dan RM99 bagi sebuah bilik standard satu malam.
Kadar ini tidak termasuk ‘surcharge’ yang dikenakan pada hari Jumaat, Sabtu dan cuti umum.
Walaupun tidak mempunyai restoran atau kafe seperti yang disediakan oleh hotel-hotel lain, Laksamana Townledge ada caranya tersendiri selain ruangan mini bar dan jualan kios di sini.
Berbekalkan kerjasama yang dijalinkan oleh beberapa restoran mahupun pengusaha tempatan, pengunjung mempunyai banyak pilihan selain lokasinya yang hanya satu kilometer daripada pusat bandar.
Selain itu, Laksamana Townlodge juga berdekatan dengan salah satu kawasan pelancongan popular di negeri ini iaitu Jalan Jonker dan tapak warisan dunia yang hanya mengambil masa tiga minit ke kawasan tersebut.
Bagi mereka yang gemar aktiviti riadah sewaktu percutian, mereka boleh berjalan-jalan di sekitar Marina Bay yang menyediakan trek untuk bersenam.
Tidak cukup dengan tawaran menarik tersebut, Laksamana Townlodge yang menjadi aspirasi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam ini turut menyediakan ruang bengkel termasuk penginapan di sini.
Terbaru hotel berkonsepkan di dalam taman perumahan ini menerima tetamu dari Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang memilih untuk menjalankan bengkel di sini.
Pelbagai kemudahan disediakan oleh APM bagi menepati cita rasa pengunjung seperti ruang tamu yang dilengkapi dengan set sofa, susun atur mengikut kesesuaian mengadakan bengkel dan kemudahan letak kereta di semua unit yang disediakan.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, anda boleh menghubungi 06-2822700 atau 012-7898437 bagi sebarang tempahan.
Bagi mereka yang mahu melihat gambaran mengenai Laksamana Townlodge secara dekat boleh terus datang ke Taman Kota Laksamana ataupun layari laman sosial facebook dengan carian Laksamana Townlodge.
08 Februari 2011
Dinosaur gegar A'Famosa
Dinosaur T-Rex antara spesies yang mendapat perhatian ramai pengunjung di A'Famosa Resort, Alor Gajah, Melaka. |
ALOR GAJAH 7 Feb. - Sebut sahaja pusat peranginan A'Famosa Resort yang terletak di Simpang Ampat, Alor Gajah pastinya tidak asing lagi bagi mereka yang mahukan percutian penuh dengan keriangan dan lebih santai.
Kedudukannya yang strategik di salah satu pintu masuk ke daerah Alor Gajah iaitu melalui persimpangan Plaza Tol Simpang Ampat Lebuh Raya Utara-Selatan juga memudahkan orang ramai mengunjunginya.
Perjalanan menggunakan kenderaan dari Kuala Lumpur hanya memerlukan kira-kira satu jam 20 minit dan pengunjung juga tidak perlu risau untuk meletak kenderaan kerana kawasan yang disediakan cukup luas.
Selain terkenal dengan kemudahan penginapan yang serba lengkap dan bertaraf antarabangsa itu, A' Famosa menyediakan pelbagai kemudahan rekreasi yang menjadi pilihan sekeluarga untuk beriadah.
Antaranya, Pekan Koboi, A'Famosa Water World dan A'Famosa World Safari selain kemudahan sukan seperti paintball, horse riding dan bagi peminat sukan golf, A'Famosa Resort Golf Club pasti menjanjikan yang terbaik.
Keseronokan percutian bersama keluarga akan bertambah ceria dengan pusat-pusat rekreasi baru seperti Jurrassic Experience 2011.
Di sebuah kawasan lapang berhadapan A 'Famosa Water World dan A'Famosa World Safari, pengalaman melihat 15 replika dinosaur ini pastinya menjanjikan sesuatu yang menarik kepada pengunjung.
Apa yang menarik, replika kesemua dinasour yang direka berdasarkan kajian penemuan fosil oleh para pengkaji bertauliah itu mampu mengaum dan bergerak melalui penggunaan sistem teknologi canggih.
Selain itu, replika yang dipamerkan boleh bertelur.
Antara jenis-jenis replika dinosaur yang dipamerkan Yangchuanosaurus, Triceratops, Maiasaura dan Dilophosaurus selain beberapa spesies T-Rex.
Pengunjung yang datang dapat melihat replika itu dengan lebih dekat mengenai spesies dinosaur melalui setiap maklumat yang disediakan.
Selain pameran dinosaur yang menjadi tarikan baru, A'Famosa Resort mengorak langkah dalam mempelbagaikan lagi jenis permainan yang terdapat di Water World.
Taman permainan air seluas lapan hektar itu juga mempunyai tarikan lain antaranya Kid's Adventure Play Pool, Arabian Village, Inner Tube Slide, Family Raft Ride, Lazy River dan Wave Pool.
Berkonsepkan hiburan seisi keluarga, pihak pengurusan A'Famosa Resort mengorak langkah dengan menambah lagi sebuah permainan baru yang mampu memberi satu cabaran kepada pengunjung yang datang ke sini.
Permainan air 'Splash', membawa konsep sukan lasak yang mempunyai lapan halangan berbeza memerlukan kekuatan mental dan fizikal peserta.
Permainan air dan darat yang pertama di Malaysia ini memberi cabaran terhebat kepada mereka yang mencuba Splash.
Antara cabaran yang perlu dilalui, peserta perlu mendaki dan mengharungi beberapa halangan sebelum sampai ke garisan penamat.
Menurut Pegawai Eksekutif Media A'Famosa, Farrah Sharizan, pelbagai aktiviti menarik telah disediakan bagi menarik lagi jumlah pengunjung ke A'Famosa Resort.
Kata beliau, usaha menambah dan mempelbagaikan lagi pusat rekreasi dan aktiviti-aktiviti riadah di kawasan ini merupakan salah satu cara bagi mengelakkan pengunjung berasa bosan.
''Kita mahukan setiap percutian sebuah keluarga itu berakhir dengan kegembiraan dan menjadi tanggungjawab pihak A'Famosa Resort menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk tatapan semua lapisan masyarakat yang datang ke sini.
''Selain itu, pelbagai aktiviti menarik disediakan selain tempat penginapan yang berkualiti," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Menurut Farrah lagi, kesemua pusat rekreasi dan aktiviti riadah adalah berkonsepkan keluarga namun, ia tidak bermakna mereka yang datang bersama rakan-rakan tidak boleh turut menyertai kesemua permainan yang disediakan.
''Seperti pameran dinosaur yang sedang berlangsung bermula 1 Febuari hingga 20 Mac ini, ia bukan sahaja membawa pengalaman kembali ke zaman dinosaur tetapi turut disediakan segala maklumat mengenai spesies yang dipamerkan," katanya.
Beliau berkata, harga tiket yang dikenakan adalah RM20 untuk dewasa dan RM12 bagi kanak-kanak.
''Mereka yang berminat boleh terus mengunjungi Animal World Safari. Ia dibuka seawal 9 pagi sehingga 5 petang termasuk cuti umum dan hujung minggu," katanya.
Menurut beliau, permainan air Splash juga akan disiarkan di kaca televisyen dengan penyertaan serama 260 peserta yang menyahut cabaran Splash, di sini baru-baru ini.
25 Januari 2011
Kampung Morten bagai muzium hidup
Setiap hari pelancong tempatan dan luar negara yang menyusuri Sungai Melaka pasti tertarik dengan keindahan serta keunikan Kampung Morten yang terletak di tebing sungai tersebut. |
Sebut sahaja nama kampung ini, pastinya ramai mengagumi keunikan Kampung Morten yang masih teguh walaupun terletak di tengah-tengah pusat bandar raya yang mungkin hanya dimonopoli kaum minoriti lain.
Tidak kurang juga dengan tanggapan pengunjung luar yang menganggap kampung tradisional Melayu ini sebagai muzium hidup.
Keadaan ini tidak menghairankan kerana ramai penduduk Kampung Morten masih mengamalkan cara hidup lama di samping mempamerkan keunikan reka bentuk rumah mereka.
Bukan sahaja kunjungan daripada pelancong dalam dan luar negara, kampung tradisional ini juga sering mendapat perhatian bagi mengadakan beberapa program khususnya dalam memperkenalkan budaya masyarakat Melaka.
Selain pemimpin negara luar, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pernah meluangkan masa melawat rumah tradisional di kampung ini.
Terbaru, keunikan dan keistimewaan kampung ini turut menarik perhatian bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang mengambil kesempatan mengunjungi kampung tradisi Melayu itu melalui lawatan dua harinya di Melaka.
Nama Kampung Morten diambil sempena nama seorang Pesuruhjaya Tanah Inggeris, Frederick Joseph Morten.
Pembukaan Kampung Morten diasaskan oleh Allahyarham Othman Mohd. Noh pada sekitar 1920-an. Ketika ini, kampung tersebut mempunyai 85 rumah termasuk 52 rumah tradisional Melaka.
Sewaktu pembukaannya, kampung ini terletak di kawasan paya yang diliputi hutan pokok nipah di pinggir Sungai Melaka dan menjadi satu-satunya kampung Melayu asli yang 'hidup' sehingga hari ini.
Antara faktor yang menghidupkan keunikan dan keistimewaan kampung ini ialah melalui konsep reka bentuk rumah, cara menghias rumah dan landskapnya.
Rumah tradisional Melaka dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu bercirikan bumbung atap yang panjang dan tangga batu dihiasi jubin.
Tangga batu merupakan ciri-ciri utama, di samping ukiran kayu di bahagian serambi yang unik. Halaman rumah tradisional tersebut biasanya dihiasi dengan pelbagai jenis pokok bunga.
Ini menjadikan Kampung Morten begitu istimewa dan berupaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
Pengunjung berpeluang melihat kesemua deretan rumah tradisional yang tersusun dari segi bentuk bumbung, tangga dan hiasan dalaman.
Ia seolah-olah membawa pengunjung kembali ke zaman kerajaan Melayu Melaka.
Kampung Morten mendapat perhatian penuh kerajaan Melaka dan diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada tahun 1988 sebagai kawasan perkampungan tradisional Melayu dan pusat tarikan pelancong.
Kini, perkampungan itu dikelilingi bangunan moden dan aliran air Sungai Melaka yang bersih dengan kedua-dua tebing sungai diperindahkan oleh kerajaan negeri.
Mereka yang menaiki Melaka River Cruise, berpeluang menyusuri kira-kira empat kilometer di sungai berkenaan, tentunya terpegun melihat rumah tradisional Melayu yang terdapat di kampung tersebut.
Mengelilingi kampung tersebut, sudah pasti sebuah rumah yang diberi nama Villa Sentosa menjadi lokasi wajib disinggahi.
Villa yang menjadi hak milik kekal keluarga Othman Mohd. Noh ini mempunyai struktur yang masih kekal seperti asal walaupun ia telah dibina pada suku pertama abad ke-20.
Segala perkakasan di dalam rumah keluarga tersebut merupakan barang-barang asli dan langsung tidak diubah.
Antaranya ialah gong, kamera, keris dan sundang yang menjangkau usia lebih 100 tahun. Itu belum termasuk ayat-ayat suci al-Quran yang digantung di dinding yang berusia 200 tahun.
Villa Sentosa dibuka kepada pengunjung pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang kecuali Jumaat dibuka pada pukul 2 hingga 6 petang.
24 November 2010
Muzium Pulau Besar dibuka kepada orang ramai
Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Wira Hamdin Abdollah berkata, Muzium Pulau Besar bernilai kira-kira RM2 juta itu menghimpunkan pelbagai artifak yang ditemui di pulau tersebut.
Menurutnya, selain itu muzium yang merupakan cawangan ke-23 Perzim tersebut turut menyediakan pelbagai bahan yang menceritakan sejarah mengenai pulau yang berkeluasan 168 hektar itu.
"Diharapkan, Muzium Pulau Besar ini akan melengkapkan lagi pulau yang mempunyai tarikan tersendiri ini sebagai sebuah lokasi pelancongan menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.
"Banyak maklumat tentang Pulau Melaka dipamerkan di muzium ini antaranya tokoh Islam seperti Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail dan peranan Pulau Besar sebagai pusat bekalan air kepada pelayar dari China dan Eropah semasa berada di Selat Melaka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Muzium Pulau Besar di pulau tersebut yang mula dibuka kepada orang ramai semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pulau Besar, Datuk Omar Kaseh dan Pengurus Besar Perzim, Khamis Abas.
Menurut Khamis, Muzium Pulau Besar dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dan mengenakan bayaran sebanyak RM3 bagi setiap dewasa manakala RM1 bagi kanak-kanak.
"Muzium yang terletak berhampiran dengan jeti Pulau Besar ini turut mempamerkan beberapa artifak dari Indonesia yang dapat mengembalikan semula kegemilangan Melaka suatu ketika dahulu yang terkenal di seluruh dunia," katanya.
02 Oktober 2010
Buaian dari China ganti Eye On Malaysia
Mohd. Ali Rustam memotong riben sebagai gimik melancarkan Bas Coaster Panorama dan Sejuta Poskad Melaka Maju 2010 di Melaka Sentral, Melaka semalam. |
29 September 2010
Produk pelancongan terbaru
utusanmelaka@utusan.com.my
Mohd. Khalil Yaakob sambil diiringi Mohd. Ali Rustam melawat beberapa tapak cadangan pembangunan Perkampungan Hang Tuah di Perkampungan Sungai Duyong, Melaka, kelmarin. |
MELAKA 28 Sept. - Kampung Sungai Duyung menjadi satu lagi produk pelancongan negeri yang dikenali Perkampungan Hang Tuah melibatkan kos projek sebanyak RM135 juta.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, fasa pertama projek yang keseluruhannya melibatkan empat fasa itu dijangka dimulakan hujung tahun ini sebaik sahaja permohonan peruntukan Kerajaan Pusat menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) diluluskan.
Beliau berkata, projek seluas 24 hektar itu merupakan usaha terbaru kerajaan negeri untuk mengalih tumpuan pelancong terhadap produk pelancongan negeri di kawasan pusat bandar yang menceritakan sejarah Melaka secara keseluruhannya.
"Sudah tiba masanya, kita beri tumpuan secara mikro iaitu Hang Tuah yang begitu sinonim dengan Melaka berbanding produk pelancongan lain yang berdekatan pusat bandar yang menceritakan sejarah Melaka secara keseluruhan.
"Kita memohon peruntukan RM135 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi kos projek ini dan kalau permohonan ini diluluskan November ini, pada Disember kita sudah boleh keluarkan tender projek," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa selama hampir sejam melawat beberapa tapak cadangan pembangunan Perkampungan Hang Tuah bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob, di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Seet Har Cheow; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Latiff Tamby Chik dan Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa negeri, Mohd. Zaki Ibrahim.
Turut menyertai lawatan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Khamis Abas dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Yusuf Jantan.
Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, projek bagi fasa pertama dijangka siap dalam tempoh dua tahun dari tarikh dimulakan dan mengambil masa lima tahun untuk menyiapkan keempat-empat fasa.
"Antara tarikan utama yang akan dibina adalah kapal Mendam Berahi, muzium, galeri, gelanggang silat, pusat jualan barangan antik dan kraf tangan, rumah lima pahlawan dan perkampungan zaman Kesultanan Melayu Melaka.
"Sebanyak 20 daripada 60 rumah penduduk di Kampung Duyung juga akan diperbaiki atau dinaik taraf untuk dijadikan produk pelancongan selain turut memindahkan 25 rumah tradisional bercirikan Melayu Melaka yang terdapat di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah," katanya.
Menurutnya, kos penyelenggaraan dan penjagaan kesemua 45 rumah itu akan ditanggung sepenuhnya Perzim dan pemilik rumah boleh terus memiliki rumah mereka.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan sekiranya ada penduduk yang ingin menjual tanah dan rumah mereka di kampung tersebut.
10 Jun 2010
Zoo Melaka giatkan promosi
Pegawai Perhubungan Awam Zoo Melaka, Masri Mohd. Arof berkata, antara program yang dijalankan termasuk pertandingan mewarna yang disertai seramai 20 orang kanak-kanak prasekolah baru-baru ini.
Katanya, turut diadakan Kuiz Pintar Zoo yang disertai murid sekolah rendah tahap 1, tahap 2 dan pelajar sekolah menengah.''Pada masa yang sama, kita turut menawarkan beberapa pakej menarik kepada pengunjung antaranya menyediakan hadiah misteri kepada pengunjung bertuah.
''Seperti baru-baru ini, kita menganjurkan program hadiah misteri kepada pengunjung bertuah dengan menetapkan masa antara 9 pagi hingga 6 petang," katanya dalam kenyataan di sini.
Selain itu katanya, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai program hiburan pada lawatan waktu siang seperti menaiki tram, persembahan hidupan liar, menunggang kuda dan bermesra dengan orang utan, melawat menara pemerhatian tujuh tingkat dan galeri zoologi.
Masri berkata, pengunjung yang berkunjung ke Zoo Melaka pada waktu malam berpeluang menikmati pemandangan persekitaran di zoo melalui kemudahan perkhidmatan tram sambil diberi penerangan mengenai hidupan yang terdapat di Zoo Melaka oleh kakitangan zoo.
Katanya, pengunjung berpeluang melihat lebih dekat tentang hidupan liar pada waktu malam yang pasti meninggalkan pengalaman unik dan menyeronokkan.
''Pada lawatan seperti ini, pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai jenis hidupan liar yang aktif pada waktu malam," katanya.
Beliau mempelawa orang ramai yang meminati hobi memancing mencuba kegiatan itu di kolam memancing yang disediakan dalam kawasan zoo tersebut.
Katanya, mereka yang yang berminat memancing, dipelawa datang ke zoo pada waktu malam bagi membolehkan mereka melakukan hobi tersebut.
07 Jun 2010
100 acara Pesta Sungai Melaka
Pesta Sungai Melaka 2010 dimeriahkan dengan perarakan bot berhias di Banda Hilir, Melaka, kelmarin. |
Antara acara tersebut ialah sukan air, perarakan kenderaan antik, pertandingan perahu naga, pertandingan bot berhias, persembahan kebudayaan, pertandingan masakan, program seminar, forum dan kesedaran kitar semula.
"Saya berharap acara yang dirancang di sepanjang pesta sungai ini dapat mempromosikan Melaka amnya dan Sungai Melaka khasnya," kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam semasa berucap pada majlis perasmian Pesta Sungai Melaka 2010 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd. Khalil Yaakob di sini, malam tadi.
Terdahulu, Mohd. Khalil dan Mohd. Ali menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki bot Melaka River Cruise bermula dari Taman Rempah dan berakhir di Dataran Sungai Melaka sejauh 4.5 km yang turut diiringi lebih 10 buah bot berhias.
Mohd. Ali berkata, pada masa sekarang, lebih satu juta pelancong melawat sungai berkenaan sebulan sekaligus meletakkan sungai tersebut setanding dengan sungai San Antonio, Texas, Amerika Syarikat yang terkenal dengan keindahan dan kebersihannya.
Kerajaan membelanjakan lebih RM300 juta bagi memperindah dan meningkatkan kebersihan Sungai Melaka sehingga ia kini menjadi antara produk pelancongan popular di negeri ini.
Beliau berkata, dari 2006 hingga 15 Mei lepas, lebih 1.2 juta orang telah menggunakan perkhidmatan Melaka River Cruise untuk menyusuri sambil menyaksikan keindahan di sepanjang tebing sungai itu.
Melaka River Cruise milik Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyediakan 40 buah bot untuk perkhidmatan berkenaan.
Mohd. Ali berkata, satu lagi daya tarikan yang baru beroperasi di sepanjang Sungai Melaka ialah Aerorail yang boleh membawa seramai 24 orang bagi setiap perjalanan sejauh 2 km dari Taman Rempah ke Dataran Hang Tuah.
Beliau berkata, pesta kali keempat itu dianjurkan kerajaan negeri diharap dapat menjadi pemangkin kepada kedatangan pengunjung untuk menyaksikan Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 yang berlangsung di negeri ini dari 10 hingga 19 Jun. — BERNAMA
06 Jun 2010
Sungai Rambai River Cruise tarikan baru pelancongan
MOHD. Ali Rustam bersama sepasang pengantin baru yang diraikan dengan menyusuri Sungai Kesang pada majlis perasmian Sungai Rambai River Cruise di Dataran Rekreasi Sungai Rambai, Jasin, semalam. |
Sebut sahaja Sungai Rambai mungkin ramai yang tidak mengenali kawasan tersebut berbanding Bandar Hilir yang menempatkan pelbagai produk pelancongan yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara untuk datang ke Melaka.
Namun kini, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai yang terletak kira-kira 40 kilometer di sempadan Muar di gerbang Selatan kini mampu diletakkan di dalam peta pelancongan.
Terbaru, Sungai Rambai River Cruise menjadi produk pelancongan terbaru diperkenalkan di kawasan tersebut untuk menjadikan daerah itu turut dikunjungi orang ramai pada cuti hujung minggu atau cuti umum.
Jika menaiki bot Melaka River Cruise di Taman Rempah, anda berpeluang menikmati pemandangan bangunan-bangunan sejarah.
Namun dengan menggunakan perkhidmatan Sungai Rambai River Cruise, pengunjung berpeluang menikmati hutan paya bakau daripada pelbagai spesies.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Rahman berkata, dengan menaiki Sungai Rambai River Cruise, orang ramai berpeluang menikmati suasana kampung dan menyaksikan flora serta fauna di samping hutan paya bakau yang unik di sepanjang laluan tersebut.
''Laluannya cukup mencabar kerana mempunyai banyak selekoh dan perjalanan memakan masa selama satu jam menyusuri sungai Rambai sejauh 7 kilometer dari Dataran Rekreasi Sungai Rambai hingga ke muara Kuala Kesang.
''Selain itu, pengunjung dapat melihat pelabuhan barter trade yang masih wujud di sini di mana urusan pertukaran barangan dengan pedagang-pedagang dari Bukit Tinggi dan Dumai Indonesia dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Sungai Rambai River Cruise yang telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Dataran Rekreasi Sungai Rambai dekat sini semalam.
Menurutnya, bot yang menggunakan enjin 115 kuasa kuda boleh memuatkan lapan hingga 10 penumpang pada satu-satu masa.
''Buat masa ini kita menyediakan dua perkhidmatan Sungai Rambai River Cruise yang beroperasi setiap hari dengan kadar bayaran RM8 seorang pada hari biasa dan RM10 khususnya pada hujung minggu dan cuti umum," ujarnya.
Sehubungan itu Hasan berkata, dengan wujudnya produk terbaru itu ia akan dapat menjana ekonomi penduduk setempat bagi menambah pendapatan harian mereka.
Usaha menambah nilai produk pelancongan di kawasan tersebut katanya, untuk menyahut saranan kerajaan negeri agar setiap DUN di negeri ini turut memperkenalkan produk pelancongan untuk menarik kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.
16 Mei 2010
Taman tema air Melaka Wonderland mula dibuka
Melaka yang terkenal kerana pelbagai produk pelancongannya, menambah satu lagi daya tarikan apabila Melaka Wonderland iaitu taman tema dan resort bernilai RM80 juta dibuka kepada orang ramai hari ini.
Melaka Wonderland adalah sebuah taman tema air yang setanding dengan Sunway Lagoon di Kuala Lumpur, menyediakan permainan berasaskan air khusus untuk mereka yang berkeluarga, remaja, kanak-kanak dan warga emas.
Taman tema yang dibina di kawasan seluas 9.2 hektar terletak di belakang Taman Botanikal di Ayer Keroh, menyediakan 16 jenis permainan berasaskan air dan mampu menampung kira-kira 8,000 pengunjung dalam satu-satu masa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam ketika merasmikan taman tema itu hari ini berkata, kemunculan Melaka Wonderland adalah langkah awal buat kerajaan negeri untuk membangunkan produk pelancongan berasaskan rekreasi.
''Pembukaan Melaka Wonderland dijangka dapat meningkatkan jumlah pelancong yang datang ke negeri ini. Jika tahun lalu seramai 8.9 juta orang datang ke Melaka, tahun ini dijangka bertambah dengan adanya taman tema air ini," katanya.
Sementara itu pengurusnya, Seow Cheng Swee, berkata harga tiket, yang telah ditetapkan untuk hari biasa ialah RM20 bagi kanak-kanak dan RM26 untuk dewasa manakala pada hujung minggu dan cuti umum pula RM30 untuk kanak-kanak dan RM35 untuk dewasa.
Bagi warga emas yang berusia 60 tahun ke atas, kadar bayaran yang ditetapkan ialah RM15.
Taman tema itu dibuka dari pukul 10 pagi hingga 7 malam pada hari biasa manakala pada hujung minggu pula ia beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 7 malam.
25 April 2010
Klebang tarikan terbaru pelancong
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kawasan seluas 22.8 hektar yang akan dibangunkan dengan beberapa projek pembangunan meliputi padang permainan dan dua padang bola sepak.
Menurutnya, turut dibina di kawasan terbabit ialah kompleks Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), sebuah masjid dan medan selera yang menempatkan 500 peniaga.
''Semua projek yang akan dibangunkan ini merupakan bukti komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada masyarakat, sesuai dengan konsep rakyat didahulukan dalam semua aspek pembangunan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Menanam 26 Juta Pokok peringkat negeri di sini semalam.
Selain itu, katanya, kawasan lapang khususnya di sepanjang laluan jalan raya di situ akan dihias dengan landskap yang menarik bagi meningkatkan keceriaan dan keindahan persekitaran kawasan tersebut.
''Kita juga akan membina sebuah taman tema seluas kira-kira lapan hektar di Lereh bagi membolehkan penduduk setempat dan pelancong melakukan aktiviti riadah di kawasan tersebut," katanya.
Mohd. Ali menegaskan, tindakan kerajaan negeri menambak laut di Klebang dan Lereh sebelum ini bukan untuk menyekat populariti kawasan tersebut yang sering menjadi tumpuan pelancong luar untuk berehat di tepi pantai khususnya pada hujung minggu.
Katanya, kerajaan negeri yakin melalui projek pembangunan tersebut mampu meningkatkan populariti Klebang dan Lereh pada masa depan.
19 April 2010
Muzium Pengangkutan tarikan baru
Abd. Aziz Abd. Ghani (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Khamis Abas (kiri) melihat sebuah kereta klasik di Muzium Pengangkutan, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini. |
''Muzium ini merupakan salah satu produk pelancongan terbaru yang berunsurkan pendidikan selain menjadi tempat penggemar kenderaan unik untuk melihat beberapa jenis kenderaan yang dipamerkan.
''Pihak kami berharap muzium ini dapat dimanfaatkan oleh pelbagai pihak khususnya peminat automobil untuk berkunjung ke muzium ini dan menjadikan tempat ini sebagai medan rekreasi bersama rakan-rakan lain," katanya pada majlis perasmian Muzium Pengangkutan di Ayer Keroh.
Hadir sama Pengurus Besar Perzim, Khamis Abas dan Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Latif Bakar.
Muzium Pengangkutan yang dibuka secara rasmi kepada orang ramai bermula semalam merupakan satu-satunya muzium yang dikhaskan bagi penggemar automobil untuk melihat pelbagai jenis kenderaan lama dan baru selain mempamerkan pelbagai maklumat perkembangan sejarah pengangkutan negara ini sejak beratus tahun lalu.
Selain itu, penggemar automobil juga dapat melihat beberapa basikal klasik yang hanya boleh didapati di muzium tersebut.
Mengulas lanjut, Abd. Aziz berkata, pihaknya mengambil satu pembaharuan apabila membuka muzium berkenaan iaitu sebagai tanda sokongan terhadap industri pembuatan kenderaan komersial.
''Kita bukan sahaja mempamerkan basikal klasik yang menjadi trend pada masa dahulu tetapi juga pelbagai kenderaan antik seperti kereta antik dan motosikal yang begitu sukar untuk ditemui pada masa kini selain mengetahui sejarah pembuatan kereta,'' ujarnya.
Jelasnya, setakat ini Perzim mengendalikan sebanyak 22 buah muzium dan lima buah galeri.
''Kita berharap muzium-muzium ini mampu meningkatkan peratusan kedatangan pelancongan ke negeri ini,'' katanya.
Menurutnya, orang ramai kini boleh mengunjungi Muzium Pengangkutan yang dibuka pukul 9 pagi hingga 6 petang dengan bayaran masuk RM10 bagi orang dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak.
27 Mac 2010
Melaka tawar Belanda rumah buat galeri
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kerajaan Belanda melalui kedutaannya di negara ini boleh menjadikan rumah kerajaan yang ditawarkan itu untuk dijadikan galeri negara itu tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Menurutnya, jika negara tersebut berminat, mereka hanya perlu menyediakan pelbagai bahan pameran atau dokumen tertentu khususnya bahan-bahan sejarah sewaktu penjajahan Belanda di Melaka.
"Kerajaan negeri sedia berbincang dengan pihak kedutaan Belanda di negara ini atau mana-mana pertubuhan negara itu yang berminat untuk menubuhkan galeri itu kerana Melaka dan Belanda mempunyai hubungan sejarah sejak sekian lama," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob melawat The Netherlands Institute For Heritage di Amsterdam, Belanda semalam.
Delegasi kerajaan negeri kini dalam rangka lawatan kerja terakhir di Eropah dan dijangka pulang ke tanah air esok.
Menurut Mohd. Ali, jika kerajaan Belanda bersetuju dengan tawaran tersebut, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diarahkan untuk mengurus dan menyelenggarakan galeri tersebut.
Beliau menambah, setakat ini dua negara iaitu Macau dan Cuba telah menjadikan rumah kerajaan di Bukit Peringgit sebagai galeri masing-masing.
Sementara itu, Mohd. Khalil dan delegasi kerajaan negeri dibawa melawat Bandaraya Hoorn yang merupakan bandar raya berkembar dengan Bandaraya Melaka Bersejarah.
Lukisan mural bangunan tarikan baru
| |
| Lukisan mural bermotifkan Kesultanan Melayu Melaka pada bangunan-bangunan lama sepanjang Sungai Melaka menjadi tarikan baru kepada pelancong di Bandar Hilir, Melaka, semalam. |
Menurutnya, program yang mendapat peruntukan Kementerian Pelancongan berjumlah RM1.6 juta itu bertujuan mencantikkan kawasan sepanjang tebing sungai tersebut di samping mengindahkan bangunan-bangunan lama bagi dijadikan tarikan utama pelancong.
''Kerja-kerja lukisan mural di bahagian belakang bangunan lama itu sudah siap 60 peratus.
Ia melibatkan dua fasa struktur bangunan yang dipenuhi lukisan mural bermotifkan kepahlawanan dan kesultanan Melayu Melaka," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati hampir semua bangunan berkenaan dihiasi lukisan mural yang menggambarkan sejarah awal Melaka, kegemilangan kesultanan Melaka termasuk kepahlawanan Melaka seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Puteri Hang Li Po dan Laksamana Cheng Ho.
Selain itu, terdapat juga lukisan mural pada deretan bangunan lama yang dilukis dengan bangunan sejarah yang ada di Melaka seperti Kota A'Famosa dan Stadhuys.
Mengulas lanjut, Azmi turut berkata, penghasilan lukisan mural tersebut bukan sahaja menjadi tatapan pengunjung tetapi dapat mengukir satu memori indah buat pelajar berkenaan kerana berjaya mempamerkan hasil kreativiti bermutu tinggi.
Ujarnya, MBMB yakin dengan kelainan itu mampu memberi satu impak kepuasan kepada pengunjung yang menggunakan perkhidmatan bot Melaka River Cruise.
''Mereka bukan sahaja berpeluang melihat keindahan flora dan fauna pada lukisan mural itu tetapi juga berpeluang menghayati sejarah awal negeri ini," katanya.
29 Januari 2010
‘Bermalam di Muzium’ produk baru
Pengurus Besar Perzim, Khamis Abas berkata, produk pelancongan tersebut dianggap mampu memberikan kelainan dalam usaha menambat hati pelancong untuk berkunjung ke negeri ini.
Menurutnya, program yang mula diperkenalkan setahun tahun lalu itu di Muzium Samudera itu berjaya menarik perhatian ramai pengunjung termasuk dari pelancong luar negara.
‘‘Sejak diperkenalkan, pengunjung lebih gemar memilih untuk bermalam di muzium bagi merasai pengalaman baru di sana.
‘‘Kebanyakan pengunjung akan memberikan satu tindak balas yang positif mengenai program tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar.
Selain itu kata beliau, sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung turut dijadikan penanda aras dan wajar dipopularkan di kalangan masyarakat luar.
‘‘Saya percaya produk ‘Bermalam Di Muzium’ ini akan menjadi salah satu tarikan di negeri ini dan berharap hotel-hotel serta agensi pelancongan berminat untuk menjadikan ianya salah satu pakej pelancongan.
‘‘Sehingga kini, Perzim bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka dan Naza Taliyya Hotel Melaka berganding bahu mempromosikan produk pelancongan yang dimiliki.
‘‘Saya yakin program ini mampu untuk menarik kunjungan orang ramai ke negeri Melaka’', tambah beliau lagi.
Khamis menambah, selain daripada memberi pengalaman baru kepada pengunjung, program ini juga membantu dalam meningkatkan hasil pendapatan peniaga di kawasan tersebut.