Pegawai Perhubungan Awam Zoo Melaka, Masri Mohd. Arof berkata, antara program yang dijalankan termasuk pertandingan mewarna yang disertai seramai 20 orang kanak-kanak prasekolah baru-baru ini.
Katanya, turut diadakan Kuiz Pintar Zoo yang disertai murid sekolah rendah tahap 1, tahap 2 dan pelajar sekolah menengah.''Pada masa yang sama, kita turut menawarkan beberapa pakej menarik kepada pengunjung antaranya menyediakan hadiah misteri kepada pengunjung bertuah.
''Seperti baru-baru ini, kita menganjurkan program hadiah misteri kepada pengunjung bertuah dengan menetapkan masa antara 9 pagi hingga 6 petang," katanya dalam kenyataan di sini.
Selain itu katanya, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai program hiburan pada lawatan waktu siang seperti menaiki tram, persembahan hidupan liar, menunggang kuda dan bermesra dengan orang utan, melawat menara pemerhatian tujuh tingkat dan galeri zoologi.
Masri berkata, pengunjung yang berkunjung ke Zoo Melaka pada waktu malam berpeluang menikmati pemandangan persekitaran di zoo melalui kemudahan perkhidmatan tram sambil diberi penerangan mengenai hidupan yang terdapat di Zoo Melaka oleh kakitangan zoo.
Katanya, pengunjung berpeluang melihat lebih dekat tentang hidupan liar pada waktu malam yang pasti meninggalkan pengalaman unik dan menyeronokkan.
''Pada lawatan seperti ini, pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai jenis hidupan liar yang aktif pada waktu malam," katanya.
Beliau mempelawa orang ramai yang meminati hobi memancing mencuba kegiatan itu di kolam memancing yang disediakan dalam kawasan zoo tersebut.
Katanya, mereka yang yang berminat memancing, dipelawa datang ke zoo pada waktu malam bagi membolehkan mereka melakukan hobi tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan