Doakan saya
Assalamualaikum wbt.
Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:
1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.
2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.
3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.
4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.
5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.
6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.
7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.
8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.
9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.
Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.
Amin..........
Blog lain
Malaysia Secara Ringkas
Sejarah menarik; sejak abad ke-15 ketika Melaka merupakan sebuah pelabuhan dagangan penting, telah membentuk Malaysia menjadi sebuah negara beraneka budaya yang berbeza. Percutian ke Malaysia membuahkan pengalaman manis dengan penduduknya yang amat mesra, sementara kemudahan moden yang tersedia memastikan percutian anda mudah dan selesa. Mengenali Malaysia, bererti mencintai Malaysia - negara yang tersohor dengan pilihan makanan, kepelbagaian hutan hujan berusia jutaan tahun, bangunan pencakar langit yang canggih dan pesta pelbagai warna yang gemilang.
Muat turun Risalah: Percutian Menarik
Wahai rakyat Malaysia, peliharalah kemerdekaan dengan sebaik-baiknya supaya Malaysia kekal makmur & selamat dilawati oleh pelancong luar. MERDEKA!!!!!
Selamat menyambut kemerdekaan ke 54
"Transformasi Berjaya,Rakyat Sejahtera"
Carian pintas artikel pelancongan pilihan anda
WOW!!
I love Malaysia!!!!!!!
03 Jun 2012
Gemerlapan cahaya Pulau Warisan
20 Ogos 2011
Flying fox di Pulau Perhentian
BANYAK aktiviti riadah boleh dilakukan di Pulau Perhentian, Terengganu. Selam skuba, snorkeling, jelajah hutan, bersantai dan melihat penyu antara aktiviti yang sering dilakukan apabila berada di pantai dan pulau.
Yang pasti, apa yang dilakukan di Pulau Perhentian, juga terdapat di pulau-pulau lain seperti Tioman, Redang, Tenggol, Kapas, Mabul dan Lang Tengah.
Namun, jangan terkejut jika anda berkunjung semula ke Pulau Perhentian kerana kini terdapat satu daya tarikan terbaharu iaitu aktiviti ‘flying fox’.
Tarikan terbaharu ini mungkin satu-satunya sahaja yang terdapat di situ berbanding dengan pulau-pulau lain.
Flying fox yang terdapat di penginapan D’Lagoon di Pulau Perhentian Kecil itu sering mendapat perhatian pengunjung sejak ia dipasang lebih sebulan lalu.
Apa yang menarik, pengunjung yang menginap di D’Lagoon tidak dikenakan bayaran apabila mencuba aktiviti berkenaan.
Flying fox itu yang dipasang pada ketinggian 15 meter dengan jarak 120 meter, begitu menyeronokkan kepada sesiapa sahaja yang mencubanya.
Mereka yang melakukan aktiviti flying fox berkenaan pasti berasa kagum kerana dapat merasai suasana yang berbeza.
Apa tidaknya, bermula di kawasan hutan dan berbatu, flying fox tersebut melalui kawasan pesisir pantai dengan pemandangan laut dan bukit dan seterusnya mendarat di atas pasir di tepian pantai berhadapan D’Lagoon.
Anda juga jangan terkejut, kerana cubaan kali pertama melakukan flying fox akan membawa kepada keinginan untuk mencubanya kali kedua.
Inilah antara perasaan mereka yang mencubanya setelah dapat melihat keindahan apabila ‘terbang’ bersama flying fox di D’Lagoon.
Bagi yang ingin mencubanya, kakitangan D’Lagoon terlebih dahulu akan memastikan tali untuk aktiviti flying fox tersebut selamat digunakan sebelum membenarkan pengunjung mencubanya.
Mungkin ada yang tertanya apakah flying fox di D’Lagoon itu selamat?
Yang pasti, pemasangan tali itu mengutamakan ciri-ciri keselamatan.
Pengusaha D’Lagoon sendiri yang merupakan bekas pegawai tentera selama 10 tahun, menggunakan pengalaman serta kemahirannya untuk memastikan flying fox itu selamat.
Malah, apabila ditanya, pengusaha D’Lagoon itu memberitahu, antara latihan yang dilalui semasa dalam pasukan tentera ialah melakukan flying fox.
Sehubungan itu, beliau menggunakan pengalaman semasa dalam tentera itu untuk mewujudkan aktiviti flying fox bagi membolehkan pengunjung merasai keunikan aktiviti berkenaan.
Tarikan terbaharu di Pulau Perhentian itu secara tidak langsung berjaya menarik kehadiran pengunjung yang mahukan kelainan apabila berada di pulau berkenaan.
Bagi mereka yang ingin mencuba flying fox selain aktiviti skuba, treking, snorkeling dan bersantai di Pulau Perhentian, boleh menghubungi pengusaha D’Lagoon di talian 012-9850678.
28 Mei 2011
Keasyikan bercuti di Hotel Permai
AZMAN ALI (depan) bersama kakitangan hotel yang sentiasa mengalu-alukan kedatangan pengunjung. |
02 Oktober 2010
Tasik Kenyir kawasan bebas cukai 2012
Menurut beliau, pihaknya telah menerima surat daripada Kementerian Kewangan yang secara rasmi meluluskan permohonan kerajaan negeri menjadikan tasik itu sebagai kawasan bebas cukai.
Beliau memberitahu, surat tersebut diterima pada 21 September lalu sebagai reaksi kepada permohonan kerajaan negeri sejak empat bulan lalu.
Ahmad menjelaskan, bagi tujuan itu, kawasan berkenaan akan dibangunkan dengan kompleks bebas cukai, rumah kedai, premis kediaman, taman tema air selain pelbagai jenis taman flora dan fauna yang membabitkan perbelanjaan lebih RM100 juta.
"Tasik Kenyir akan mempunyai pelbagai tarikan lain termasuk santuari kelah, taman rama-rama, pusat membeli-belah, kemudahan kereta kabel dan sebagainya.
"Saya bersyukur kerana Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Kewangan meluluskan secara rasmi Tasik Kenyir sebagai kawasan bebas cukai mengikut Seksyen 3 Akta Bebas Cukai 1990," katanya kepada pemberita semalam.
Menurut Ahmad, bagi merealisasikan hasrat tersebut, kawasan itu memerlukan tempoh masa selama satu setengah tahun dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang 2012.
Beliau menjelaskan, akhir bulan ini, kerajaan negeri akan mula mengeluarkan tender bagi menyambung bekalan elektrik di Pulau Bayas di tasik berkenaan yang membabitkan kos kira-kira RM33 juta.
Di samping itu, katanya, kerajaan negeri telah menyiapkan reka bentuk hotel-hotel dan chalet bertaraf tiga hingga bintang yang bakal dibina di tasik berkenaan.
"Bagaimanapun kita akan memuktamadkan perkara ini (hotel dan chalet) sama ada kita setuju dengan reka bentuk yang dibina ini selain berkaitan tender dan sebagainya," katanya.
Katanya, kemudahan penginapan itu perlu disediakan lebih awal bagi menampung pengaliran masuk pengunjung yang dijangka berlaku secara mendadak kelak.
09 Julai 2010
Daya tarikan Hutan Lipur Jambu Bongkok ditingkat
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, bagaimanapun pembangunan itu tidak akan menjejaskan alam semula jadi dan hanya kawasan di pinggir hutan itu bakal dijadikan tapak mendirikan prasarana untuk kemudahan pengunjung terutama yang menjalankan program-program berkumpulan.
Menurut beliau, pada peringkat awal ini kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM3 juta bagi penyediaan sebuah kawasan kem termasuk pejabat pengurusan, prasarana kem dan tandas.
Katanya, sejumlah peruntukan akan disediakan untuk menaik taraf saluran paip dari Tanjung Jara, Dungun bagi menyediakan bekalan air yang mencukupi di sana.
"Pembinaan ini akan dibuat di luar hutan simpanan ini dan tidak akan melibatkan penebangan sebarang pokok.
"Ia hanya melibatkan kawasan seluas 21.6 hektar daripada jumlah keseluruhan hutan ini yang seluas 700 hektar," katanya selepas melawat Hutan Lipur Jambu Bongkok di sini hari ini.
Beliau berkata, selepas ia siap, kawasan itu akan menjadi tuan rumah kepada Jambori Pengakap Malaysia 2011 yang akan berlangsung pada 4 hingga 9 Jun tahun depan.
''Kira-kira 8,000 pengakap bersama 1,000 pegawai dijangka menghadiri jambori tersebut.
Pembinaan yang kita akan buat ini akan mampu menampung jumlah berkenaan pada satu-satu masa," katanya.
Beliau menambah, pemilihan hutan berkenaan sebagai lokasi jambori itu sangat bersesuaian kerana ia memiliki ciri menarik bersesuaian dengan corak kegiatan yang dijalankan oleh pengakap.
26 Jun 2010
Terengganu anjur Festival Gamelan Sedunia
Kerajaan negeri melalui Lembaga Muzium Negeri Terengganu akan menganjurkan Festival Gamelan Sedunia 2010 selama tiga hari bermula 23 Julai ini bertempat di Dataran Shahbandar dekat sini.
Penolong Kurator, Perhubungan dan Pemasaran Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mohd. Saberi Muda berkata, penganjuran kali kedua festival tersebut bertujuan memberikan ruang maklumat dan juga hiburan yang bermutu tinggi kepada masyarakat setempat.Katanya, melalui penganjuran itu penduduk setempat berpeluang melihat dan menikmati alunan muzik beberapa kumpulan gamelan dari luar negara seperti Indonesia, Jepun dan United Kingdom.
"Festival ini menjadi platform dalam usaha kerajaan mengetengahkan seni gamelan Terengganu kepada seluruh peminat alat muzik ini dari seluruh dunia.
"Ia juga merupakan satu ruang untuk mendedahkan penggiat gamelan tempatan berganding bahu dan mendapatkan pengalaman yang maksimum daripada pemuzik serta pencinta gamelan seluruh dunia," katanya dalam kenyataan akhbar yang diterima di sini hari ini.
Ujarnya lagi, kira-kira 15 kumpulan tempatan dan luar negeri akan menyertai pertandingantersebut.
Antaranya ialah Kumpulan Gamelan Bali, Eropah, Jepun, Kumpulan Cak Lempong Bukit Tinggi, Akademi Seni Negeri Terengganu, Kumpulan Warisan Terengganu, Istana Budaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Malaysia Sarawak.
Tambahnya, bersempena dengan program berkenaan, satu bengkel selama dua hari turut diadakan yang memfokuskan kepada pengenalan permainan alatan muzik gamelan Melayu, Bali dan juga Jawa.
"Tiga orang pakar muzik gamelan akan dijemput khas bagi mengendalikan bengkel ini.
"Kita berharap dengan adanya bengkel ini dapat melahirkan generasi yang celik gamelan agar warisan ini dapat dikekalkan," ujarnya.
07 Jun 2010
Tarikan baru di Kuala Terengganu
Mohd. Azlan Dagang bersama anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Darul Falah bergambar kenangan di Tapak Permainan Euro Fun Park, Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu, semalam. |
Dalam usaha menghidupkan suasana malam di Dataran Shahbandar di sini sebuah skrin layar besar dibina untuk siaran program-program berbentuk kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Mohd. Azlan Dagang berkata, kerajaan negeri membelanjakan RM800,000 untuk pembinaan skrin layar tersebut.
Katanya, skrin itu merupakan salah satu alternatif memastikan kawasan bandar raya itu 'hidup', selain memastikan peningkatan dan pembangunan ekonomi negeri.
Beliau berkata, ia akan mula beroperasi dengan penyiaran perlawanan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 11 Jun ini.
''Skrin besar dibina untuk mencipta keindahan kawasan di Shahbandar dan orang ramai boleh membawa keluarga untuk meluangkan masa di sana. Kita turut menyediakan program Astro.
"Kita atur supaya malam di Kuala Terengganu lebih hidup dan usaha ini untuk memastikan gejala mat rempit berkurangan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Lawatan Khas bersama Anak- Anak Yatim Darul Falah ke Tapak Permainan Euro Fun Park dan Tapak Ekspo Usahawan Tani di Dataran Shahbandar di sini malam tadi.
Turut hadir Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Terengganu, Hasan Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif Image Promote, Tun Baharum Tun Abd Razak dan Penolong Pengetua Asrama Anak Yatim Darul Falah, Mohd. Al-Hafiz Awang.
Konsep baru itu dilihat mampu menarik pelancong dan penduduk di kawasan berdekatan merasai keindahan malam di bandar raya ini.
04 Jun 2010
Keistimewaan kapal layar Haji Lah
Abdullah Muda memilih kayu berkualiti bagi menghasilkan bot yang terbaik untuk pelanggannnya di Kampung Pulau Duyong, Kuala Terengganu, semalam. |
Atas kepakarannya itu, populariti Abdullah, 75, di negeri kelahirannya di Terengganu mungkin berbeza.
Namanya memang sinonim dengan bidang pembuatan kapal terutama kapal layar.
Jangan terkejut andainya nama beliau seringkali meniti di bibir peminat kapal jenis itu. Bukan saja dalam negara malah peringkat antarabangsa.
Biarpun begitu, di sebalik keterampilan ‘bersahaja’ itu, beliau dihormati dan disegani para pencinta kapal layar sehingga ke luar negara.
Abdullah yang mula menceburi bidang pembuatan kapal layar itu sejak 1958 lagi, kini mampu tersenyum lebar.
Apa tidaknya, sehingga sekarang beliau berjaya menghasilkan puluhan kapal layar selain bot kecil untuk nelayan.
Kira-kira 30 buah kapal layar telah beliau hasilkan. Itu tidak termasuk bilangan kolek payang yang dibinanya untuk kerajaan Pusat di Putrajaya.
Begitu juga kolek payang untuk kerajaan Terengganu yang setiap sebuah berharga antara RM800,000 hingga RM1.1 juta.
Bagi kapal layar pula, ada yang dijual pada harga RM4 juta sebuah.
Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Haji Lah terus menyumbangkan kepakarannya yang cukup kreatif dan bermutu tinggi.
Beliau lebih mengutamakan reka cipta bot atau kapal mengikut stail tersendiri dan unik.
Keistimewaan kapal-kapal layar yang dihasilkan Haji Lah ialah ia diperbuat tanpa menggunakan paku. Sebaliknya menggunakan skru dan kaedah pasak kayu.
Elemen itu diutamakan bagi menjamin kualitinya agar lebih tahan lama. Ia juga untuk mengelak kekaratan sehingga mengundang kebocoran pada kapal.
Bagaimanapun baginya, ia berbeza dengan pembuatan bot nelayan yang biasanya menggunakan paku.
Beliau pernah menghasilkan 12 bot jenis itu untuk kegunaan kaum nelayan di Kuala Kangsar suatu ketika dahulu.
Menurutnya, beliau tetap berbangga kerana hasil buatan tangannya sambil dibantu anak bongsu daripada enam beradik serta enam pekerja lain turut mendapat perhatian dunia. Ia sekali gus melonjakkan nama beliau, Terengganu dan Malaysia dalam ‘dunia perkapalan’.
Shahiruddin Ab. Moin (duduk empat dari kanan) dan Mohd. Nasir Ibrahim Fikri, (duduk tiga dari kanan) bersama peserta program pembinaan kapal layar tradisional Terengganu di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, baru-baru ini. |
“Saya mula dapat ilmu untuk buat bot dan kapal layar ini daripada datuk saya lagi. Sehinggalah sekarang, bukan saja saya terima tempahan dari dalam negara malah luar negara,” katanya yang turut dianugerahkan doktor falsafah daripada Universiti Kuala Lumpur tahun lalu atas kepakaran dan sumbangan besarnya itu.
Abdullah, anak jati Pulau Duyong memberitahu, beliau sudah memiliki syarikat sendiri iaitu Custom Made Wooden Yachts.
Ia mula ditubuhkan sejurus selesai urusan membuat kapal untuk seorang warga Kanada pada 1970-an lalu.
Beliau kini tinggal bersama keluarga di pulau berkenaan, jaraknya hanya beberapa ela daripada bengkel tempatnya bekerja, hasil usaha sama syarikat milik bumiputera tempatan, MSET Shipbuilding Corporation Sdn. Bhd.
Hasil kreativiti beliau yang tidak pernah pudar, setiap hari dianggarkan 300 orang pelawat mengunjungi bengkel tersebut untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran.
Ketekunannya itu membolehkan beliau mengetuai projek pembinaan kapal layar yang turut dibantu pelatih GiatMara.
Buat masa ini, sebuah bot sudah 94 peratus siap dan semalam, satu majlis menyaksikan kerja-kerja mendirikan tiang layar Warisan Duyong GM I di Jeti MSET di Pulau Duyong di sini turut berlangsung dengan jayanya.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi GiatMara Malaysia, Datuk Shahiruddin Abd. Moin.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri; Pengarah Mara Terengganu, Razali Nurdad serta para pegawai GiatMara peringkat pusat dan negeri termasuk Timbalan I Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Halim Mansor.
Sebagai mengiktiraf kepakaran Abdullah, GiatMara sedang dalam perancangan untuk membuat pengambilan lebih ramai pelatih dari GiatMara untuk menimba pengalaman membuat kapal layar mengikut acuan tradisional Terengganu itu.
Kehebatan dan keistimewaan Haji Lah terus menjadi tumpuan dunia. Beberapa negara antaranya Ausralia, New Zealand, Amerika Syarikat dan Perancis telah menzahirkan minat mereka untuk membuat tempahan kapal layarnya.
Keunikan reka bentuk berasaskan nilai warisan dan tradisional tempatan merupakan faktor utama kapal layar buatan Abdullah terus mendapat perhatian penggemarnya.
Lebih-lebih lagi golongan pelayar dari luar negara sekali gus meletakkan nama penciptanya, Abdullah, Terengganu dan Malaysia di persada dunia.
Walaupun hanya seorang anaknya yang bakal mengikut jejak langkah beliau dalam bidang pembuatan bot dan kapal layar, Abdullah tetap berbangga dan tidak pernah risau akan kepupusan ilmu kepakaran peninggalan keluarganya itu.
Baginya, usaha pelbagai pihak menganjurkan program atau membuka ruang serta peluang untuk melatih golongan muda mengenai kepakaran itu sudah cukup bagi menjamin ilmu yang beliau warisi itu terus kekal zaman berzaman.
09 April 2010
Pulau Redang khusus destinasi pelancongan mewah
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, bagi mencapai hasrat tersebut, hanya pembangunan hotel bertaraf lima bintang atau ke atas akan diluluskan di pulau berkenaan dan arahan mengenainya telah pun dikeluarkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Beliau berkata, langkah itu juga akan membantu mengawal kedatangan pengunjung ke Pulau Redang yang kini terlalu ramai sehingga menjejaskan alam sekitar pulau peranginan itu.
''Pulau Redang telah diiktiraf sebagai salah satu pulau tercantik di dunia, jadi usaha ini adalah bagi menjaga alam sekitar di pulau itu.
''Usaha ini akan melihat kedatangan pengunjung dengan standard tinggi dan bukan orang yang bawa bungkusan nasi dan bekalan lain yang kemudian akan mencampak ke merata-rata sehingga menjejaskan alam sekitar," katanya selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-12 di sini hari ini.
Beliau memberitahu, keindahan alam sekitar di pulau berkenaan kini semakin terjejas ekoran kedatangan pelancong yang terlalu ramai.
''Kita juga tidak mahu kedatangan terlalu ramai pelancong kerana ruang dan kawasan di Pulau Redang juga sangat terhad," tambahnya.
Beliau berkata, usaha itu tidak bermakna Terengganu tidak akan dilawati lagi oleh pelancong biasa kerana negeri ini masih terdapat banyak pulau peranginan untuk dikunjungi.
Menurut beliau, antaranya seperti Pulau Kapas di Marang dan Pulau Perhentian di Besut selain Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.
''Ia juga tidak akan menjejaskan pendapatan pengusaha hotel di Pulau Redang kerana permintaan di pulau itu sangat tinggi walaupun ia hanya beroperasi selama sembilan bulan dalam setahun," ujarnya.
03 April 2010
Besarkan Mini Zoo Kemaman
| |
| Ahmad Said (kanan) membuka tirai dinding kaca ketika mempamerkan harimau di Mini Zoo Kemaman, Bukit Takar, semalam. |
"Jadi dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi kita akan besarkan lagi kawasan mini zoo sedia ada dan menambah pelbagai lagi spesies haiwan untuk menarik kehadiran pengunjung ke sini," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan dua ekor Harimau Malaya daripada Penolong Pegawai Veterinar Zoo Melaka, Jawahir Jaafar mewakili pihak pengurusan Zoo Melaka kepada Mini Zoo Kemaman yang diwakili oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, A Rahman Yahya.
Sepasang Harimau Malaya itu iaitu harimau jantan, Chiko berusia dua tahun dan harimau betina yang dinamakan Courtney, tujuh tahun, masing-masing seberat lebih 70 kilogram dan 100 kilogram, yang dijangka akan menjadi daya tarikan baru pengunjung untuk ke mini zoo itu.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerja-kerja memagar kawasan seluas 120 hektar itu sedang giat dilakukan dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.
"Malah kerja-kerja pembinaan sangkar juga sedang giat dilakukan untuk menempatkan lebih banyak haiwan di mini zoo ini termasuk singa, burung cenderawasih dan harimau bangal," katanya.
Menurut Ahmad, pada masa ini terdapat 74 spesis haiwan dan burung dengan hampir 200 ekor haiwan berada di zoo terbabit.
Sehubungan dengan daya tarikan terbaru mini zoo itu juga, pihak pengurusan bercadang untuk menaikkan harga tiket daripada RM3 untuk kanak-kanak dan RM5 untuk dewasa kepada RM5 dan RM10 pada pertengahan April ini bagi menampung kos penyelenggaraan dan pengurusan.
Katanya, bilangan pengunjung juga dijangka meningkat 100 peratus dan jualan tiket dijangka mencecah RM1 juta dalam tempoh setahun.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang mencari penaja kedua-dua ekor Harimau Malaya berkenaan atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni.
07 Februari 2010
Rangka manusia berusia 8,000 tahun ditemui
| |
| AHMAD Said (kanan) mendengar penerangan tentang rangka manusia zaman Mesolitik daripada Penolong Pengarah Sejarah Muzium Terengganu, Rashid Hamat ketika melawat kawasan cari gali di Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, semalam. |
HULU TERENGGANU 6 Feb. - Satu penemuan rangka manusia yang disemadikan dalam keadaan meringkuk seperti bayi di dalam kandungan dipercayai berusia antara 8,000 hingga 11,000 tahun ditemui di Gua Bewah, Tasik Kenyir, November tahun lalu.
Dengan penemuan rangka manusia zaman prasejarah itu, ia membuktikan wujudnya kawasan penempatan manusia zaman Mesolitik di kawasan tersebut.
Semasa ditemui, rangka berada dalam posisi yang dipercayai merupakan cara masyarakat zaman tersebut mengkebumikan mayat.
Pakar Arkeologi daripada Institut Tamadun dan Alam Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya rangka tersebut milik manusia berdasarkan ciri-ciri lengkap tulang yang ditemui sama dengan rangka manusia.
Bagaimanapun, katanya, jantina dan usia rangka manusia itu belum dikenal pasti.
"Rangka tersebut ditemui pada kedalaman 75 sentimeter dan ia merupakan penemuan terbesar selepas rangka pertama yang ditemui pada tahun 1975 di Gua Batu Tok Bidan berdekatan gua tersebut.
"Kesemua rangka yang hampir lengkap dari kepala hingga kaki itu ditemui dalam keadaan tulang telah patah dan pecah, oleh itu kita telah membawa rangka tersebut untuk analisis saintifik pada bulan lalu," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan bersama media di Tasik Kenyir di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said bersama isterinya, Toh Puan Norliza Mahmud dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah.
Mengulas lanjut, Nik Suhaimi yang bertindak sebagai penyelia kerja-kerja cari gali berkata, gua tersebut telah ditutup untuk sebarang lawatan dan kunjungan orang ramai bagi membenarkan kerja-kerja cari gali disambung semula bermula tiga minggu lagi.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata, Taman Burung yang terletak di Island Hopping dekat sini bakal dibuka pada bulan April ini.
Katanya, ia bakal menempatkan 40 spesies burung dan itik termasuk dari Belanda yang telah dibiak di Pengkalan Gawi dekat sini.
"Kerja-kerja pembinaan taman tersebut telah siap 80 peratus dan hanya menunggu masa untuk proses pelepasan burung-burung berkenaan.
"Kita yakin burung-burung tersebut sesuai hidup di taman berkenaan memandangkan kita telah berjaya membiakkan sebanyak 15 ekor anak itik Belanda di kawasan tersebut," jelasnya.
19 Januari 2010
Kenangan indah di P. Kapas
| |
| Suasana pada waktu senja yang cukup mendamaikan di Pulau Kapas, Marang. - Utusan/Wan Ramli |
Angin yang bertiup lembut menambahkan lagi keindahan pulau yang tidak pernah lekang dari kunjungan manusia.
Biasanya mereka yang berkunjung ke pulau ini terdiri daripada backpackers, penyelam laut dalam dan ada juga pasangan berbulan madu atau mencari ketenangan yang hakiki.
Selain itu seseorang boleh melakukan aktiviti lain seperti berjalan-jalan di tepian pantai dengan pasir putih dan air jernih bak kristal ataupun melakukan pelbagai aktiviti pantai lain.
Ia menjadi pilihan kepada pencinta skuba berikutan di pulau ini pernah terjadinya kapal karam.
Itulah ungkapan yang boleh dirungkaikan tentang Pulau Kapas yang menghimpunkan pelbagai misteri dan legenda silam.
Namun di sebalik kehebatan dan ketenangan yang bakal ditempuhi, Pulau Kapas juga menyimpan pelbagai cerita misteri dan lisan yang diperturunkan dari satu jenerasi kepada jenerasi.
Antara yang sempat diceritakan ialah mengenai kewujudan dua puteri cantik iaitu Puteri Gemia dan Puteri Kapas yang dikatakan hidup di pulau tersebut beratus tahun yang lampau.
Dua puteri raja ini dikatakan sering bertelingkah kerana masing-masing mendakwa merekalah yang paling cantik dengan mendapat perhatian kaum adam.
Menurut cerita lisan, Puteri Gemia dikatakan agak kurang senang melihat kecantikan paras rupa saudara kandungnya, Puteri Kapas yang cantik serta sering mendapat tempat di hati kaum adam.
Sesungguhnya Puteri Kapas tidak menyangka sama sekali yang Puteri Gemia menyimpan dendam terhadapnya.
Walaupun dia sendiri dapat merasakan yang Puteri Gemia merasa kurang senang dengannya namun Puteri Kapas sendiri tidak tahu apakah puncanya yang menyebabkan Puteri Gemia begitu marah padanya.
Setiap masa Puteri Gemia berusaha untuk menyakitkan hati Puteri Kapas dan hatinya begitu gembira apabila dia berjaya menimbulkan rasa marah Puteri Kapas.
Sebagai saudara seibu sebapa mereka sering bertukar-tukar makanan.
Lantaran sering bertukar-tukar makanan, akhirnya Puteri Gemia mendapat akal untuk menimbulkan kemarahan di hati Puteri Kapas.
Puteri Gemia memberi Puteri Kapas sejenis makanan yang menjatuhkan maruahnya lantas menyuruh beberapa orang pengikutnya memburu seekor babi.
Akhirnya pengikut Puteri Gemia berjaya menangkap seekor babi yang besar.
Puteri Gemia merasa amat gembira dengan kejayaan pengikut-pengikutnya menangkap babi tersebut.
Lalu tanpa membuang masa, Puteri Gemia terus menyembelih babi tersebut.
Setelah semua kerja selesai, Puteri Gemia menyediakan bahan-bahan ramuan untuk membuat lauk.
Setelah menyediakan sajian yang baik serta enak, Puteri Gemia sendiri telah membawa hidangan babi panggang kepada Puteri Kapas.
Tanpa menaruh sebarang syak, Puteri Kapas menerima sajian makanan yang diberikan oleh Puteri Gemia dengan perasaan gembira.
Alangkah terkejutnya apabila Puteri Kapas membuka hidangan tersebut kerana tiba-tiba hidangan yang disediakan adalah seekor babi panggang.
Puteri Kapas sedih mengenangkan perbuatan Puteri Gemia yang sanggup menghinanya sedemikian rupa.
Dia tidak mengerti apakah maksud sebenar di sebalik hidangan yang dibawa oleh Puteri Gemia.
Sambil menahan perasaan hiba dan sebak Puteri Kapas bertanyakan maksud sebenar Puteri Gemia berbuat demikian.
Sambil ketawa, Puteri Gemia menerangkan sudah lama ia berusaha untuk memalukan Puteri Kapas.
Puteri Gemia juga mengakui yang dia memang irihati dengan kecantikan paras rupa yang dimiliki oleh Puteri Kapas.
Dia menuduh Puteri Kapas yang menyebabkan dirinya kurang mendapat perhatian ramai dan bermula dari itulah berlakunya pertengkaran antara dua beradik yang menurut cerita lisan ia dimulakan oleh Puteri Gemia.
Puteri Kapas yang telah lama menahan perasaan sabar, akhirnya bertindak balas dengan melawan serangan Puteri Gemia.
Maka berlakulah pergaduhan besar antara dua puteri raja yang dikatakan menjadi raja pemerintah Marang pada zaman silam.
Semasa pergaduhan tersebut berlaku, Puteri Gemia telah menggunakan sebatan antan padi untuk menyerang manakala Puteri Kapas pula menggunakan sebilah parang berlidah untuk bertindak balas.
Pergaduhan tersebut mengambil masa yang sangat lama. Bagaimanapun tidak ada seorang pun di antara mereka yang mahu mengaku kalah.
Puteri Gemia berusaha mahu mencederakan Puteri Kapas agar kelihatan hodoh manakala Puteri Kapas pula mahu membalas serangan kerana terpaksa membela diri.
Setelah sekian lama bergaduh, akhirnya Puteri Gemia mendapat peluang untuk mengetuk kepala Puteri Kapas dengan antan.
Ini membuatkan Puteri Kapas bertambah berang lalu melakukan serangan secara bertubi-tubi.
Serangan yang dilakukan oleh Puteri Kapas akhirnya berjaya menetak kepala Puteri Gemia dengan mengunakan parang berlidah.
Kepala Puteri Gemia tercampak ke dalam laut dan apabila melihat keadaan tersebut Puteri Kapas begitu gembira kerana berjaya mengalahkan saudaranya yang menyimpan dendam kesumat terhadap dirinya.
Perasaan hina dan malu yang dilakukan oleh Puteri Gemia kini berbaloi.
Bagaimanapun cerita lisan mengenai asal usul pulau ini tidak diketahui bila berlaku kerana ia adalah cerita lisan.
Menurut cerita orang tua setelah pergaduhan itu berlaku kepala Puteri Kapas menjadi lekuk akibat dipukul oleh Puteri Gemia.
Kepala Puteri Gemia yang terputus dua selepas ditetak Puteri Kapas tercampak ke laut dan hanyut ke sebuah pulau yang kini dinamakan Pulau Gemia yang terletak berdekatan dengan Pulau Kapas.
Bentuk Pulas Kapas pula dikatakan lekuk yang kini menjadi tumpuan semua orang kerana inilah tempat mereka melepaskan lelah.
Keindahan dan kedamaian yang terdapat di Pulau Kapas dapat memberi ketenangan jiwa kepada semua pengunjung yang datang.
Bagi sesiapa yang ingin ke pulau ini perjalanan sejauh lima kilometer dari daratan ke pulau ini mengambil masa 15 atau 20 minit bertolak dari Jeti Marang yang terletak di bandar Marang.
23 Disember 2009
Perkampungan Hainan di Kemaman
| |
| PERKAMPUNGAN Hainan di Kampung Baru Ayer Jernih, Kemaman. |
Menurut cerita beberapa penduduk setempat pada zaman dahulu, terdapat sebuah pulau diberi nama Pulau Hainan memandangkan keseluruhan penduduk di kawasan tersebut berbangsa Hainan.
Disebabkan tanah pusaka mereka yang diwarisi turun-temurun tidak dapat menampung bilangan ahli keluarga yang semakin bertambah, mereka mula untuk berikhtiar mencari nafkah hidup di tempat lain.
Tambahan pula kebanyakan kawasan di sekeliling Pulau Hainan pada masa itu belum dibangunkan dan menyebabkan kesukaran penduduk mencari peluang pekerjaan.
Memandangkan negeri Terengganu terletak berdekatan pulau tersebut, mereka mula merancang untuk berhijrah ke kawasan di sebuah daerah di Kemaman kerana ia paling hampir dengan pulau itu.
Mengikut kalendar Cina, bulan November dan Disember merupakan musim monsun dan memudahkan mereka untuk belayar ke kawasan tersebut dengan hanya mengambil masa selama tujuh hari sahaja untuk sampai ke Air Jernih.
Faktor-faktor tersebut mendorong penduduk Pulau Hainan menjadikan Air Jernih sebagai lokasi tumpuan penduduk yang miskin dari pulau itu.
Tinjauan Utusan Malaysia ke perkampungan tersebut baru-baru ini amat menyeronokkan kerana umpama berada di sebuah pekan kecil di negara China.
Ini kerana, kawasan perkampungan tersebut dilatari dengan pemandangan deretan bangunan lama dua tingkat yang klasik diperbuat daripada kayu selain menggunakan reka bentuk lama dengan kebanyakan rumah masih menggunakan pintu papan berlapis.
Melangkah ke kawasan tersebut, pastinya pintu gerbang yang dihias indah bakal menyambut kedatangan pengunjung selain penduduknya yang peramah.
Tambahan pula, golongan warga emas yang asyik bermain mahjung di kedai kopi bersama-sama rakan mereka menambahkan lagi suasana kampung.
Suara kanak-kanak di sebuah tadika berdekatan menjadi halwa telinga yang mengasyikkan tanpa menyedari telah menyusuri 84 buah di deretan bangunan dua tingkat itu.
Pekan Air Jernih merupakan perkampungan Hainan terbesar di Malaysia di mana mempunyai seramai 673 orang penduduk.
Hampir 75 peratus penduduk terdahulu di kawasan tersebut melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi dan pertanian seperti lada hitam dan getah.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, ramai generasi baru perkampungan tersebut telah berhijrah ke bandar menyebabkan jumlah penduduk semakin berkurangan dan hanya warga emas yang masih tinggal di situ.
Perkampungan tersebut turut mempunyai kemudahan yang lengkap seperti sekolah, klinik, dewan, tokong, balai polis dan tanah perkuburan.
Begitulah bertuahnya menjadi rakyat Malaysia walaupun hanya tiga peratus masyarakat Cina yang tinggal di negeri Terengganu, namun kehidupan mereka tidak pernah disisihkan masyarakat kaum lain malah bebas hidup di perkampungan mereka sendiri.
21 Disember 2009
Taman Rekreasi Waterfront semakin popular
| |
| Pulau Kambing pada era 80-an hanya sebuah perkampungan usang dan uzur di pinggir bandar. |
Kira-kira 20 tahun lalu kawasan ini hanyalah sebuah perkampungan pinggir bandar yang sesak dan dipenuhi deretan ruang perniagaan usang dan uzur.
Di sini juga pernah menjadi tapak depot stesen minyak Shell terbesar dan jeti kepunyaan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tempat nelayan memunggah hasil tangkapan laut.
Bagaimanapun siapa sangka kawasan yang dulunya terbiar kini berdiri megah taman dikenali Taman Rekreasi Waterfront, Pulau Kambing.
Ia juga menjadi tempat popular bagi kaki pancing khususnya pada hujung minggu.
Taman Rekreasi Waterfront kini menjadi salah satu daya tarikan pengunjung di Terengganu.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim berkata, taman rekreasi popular itu dibina pertengahan tahun 2003 dan siap sepenuhnya pada tahun 2006.
| |
| TAMAN Rekreasi Waterfront, Pulau Kambing di tepi muara Sungai Terengganu kini sebagai tempat riadah dan tumpuan kaki pancing pada hujung minggu. |
Katanya, ia dibina dengan pelbagai kemudahan untuk keselesaan seperti tempat letak kenderaan, menara jam, tandas, pondok bersantai dan sebagainya.
“Dengan hanya terletak dua kilometer dari pusat bandar raya, ia sesuai dijadikan tempat persinggahan pelancong bagi menghilangkan lelah seketika selepas penat memandu atau selepas selepas seharian penat ditempat kerja,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mat Razali berkata, selain sesuai bersama keluarga, Taman Waterfront juga amat digemari kaki pancing dan meriah pada waktu malam terutama hari Jumaat dan Sabtu.
Bagaimanapun, bagi mereka yang membawa anak yang masih kecil, aspek keselamatan harus diutamakan kerana memancing di tebing sungai juga berisiko kerana struktur tebingnya amat rendah.
Taman itu sesuai dijadikan kawasan riadah bagi pelajar yang mahu mengulang kaji pelajaran pada waktu pagi.
Berkeluasan dua hektar, ia dibina di tepi Sungai Terengganu menghala ke jambatan Sultan Mahmud yang menghubungkan bandar raya Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Manir, Besut dan Kelantan.
03 November 2009
Pantai Merang banyak remis
Dari persisiran pantai, anda dapat melihat Pulau Redang dan Pulau Perhentian.
Lambaian pohon kelapa dan pantainya yang putih bersih menjadikan pantai Merang menjadi tumpuan ramai sebagai destinasi perkelahan keluarga.
Ada singgah seketika di pantai ini sebelum meneruskan perjalanan ke bahagian lain pantai timur.
Sekalipun tidak berapa sesuai untuk aktiviti mandi-manda, pengunjung boleh bermain air di gigi pantai dengan selamat. Bagi yang sudah biasa dengan laut, mereka boleh berenang sepanjang pantai tetapi perlu berwaspada.
Kanak-kanak pula boleh menghabiskan masa di pantai yang dikendalikan Majlis Daerah Setiu (MDS) itu dengan membina istana pasir atau mencari remis.
Anda hanya perlu menguis pasir menggunakan kaki sambil menyaksikan ombak memukul pantai. Remis akan kelihatan bersepah terutama berhampiran dengan kawasan pantai.
Bagi yang gemar memancing, ia adalah tempat yang paling sesuai untuk aktiviti itu kerana terdapat pelbagai spesies ikan laut.
Mereka yang ingin menghayati keindahan pantai Merang boleh mencuba berkhemah di dua tapak perkhemahan iaitu milik persendirian dan Universiti Darul Iman (UDM).
Tapak perkhemahan ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya ialah surau, bilik ceramah dan peralatan untuk mengadakan aktiviti lasak. Manakala, UDM turut menyediakan bilik atau dorm untuk disewa.
Berhampiran pantai ini, pengunjung boleh singgah di Balai Cerap yang dijadikan tempat latihan amali pelajar UDM dan lokasi utama melihat anak bulan Ramadan.
Mereka yang mahu memilih penginapan lebih selesa boleh mencuba dua chalet untuk kemudahan pengunjung luar bermalam dengan kadar bayaran berpatutan.
Selain bersantai menikmati bayu laut, chalet ini turut mengadakan pakej hari keluarga dan sukaneka.
Seorang pengunjung, Anis Nerus, 18, berkata pihak pelancongan Terengganu perlu mengadakan lebih banyak promosi untuk mempopularkan pantai itu kerana amat menarik untuk dikunjungi.
03 Julai 2009
Destinasi percutian terbaru
Tambah menarik, apabila pengunjung berpeluang membeli hasil tangkapan segar daripada nelayan tanpa perlu melalui peraih.Suatu ketika dulu, Kuala Besut pernah menjadi pusat pendaratan utama nelayan di pantai timur sebelum berpindah ke Tok Bali.
Kawasan yang asalnya perkampungan nelayan ini kini menjadi tumpuan pelancong yang menaiki bot untuk ke Pulau Perhentian.Kebanyakannya memilih bermalam di rumah tumpangan dan hotel bajet sekitar pekan ini sementara menunggu bot ke pulau peranginan berkenaan.Pelancong terutamanya dari ibu kota dan Singapura terpaksa berbuat demikian berikutan ada jadual khas bot dari dan ke pulau peranginan ini.Semuanya bergantung kepada waktu air pasang dan air surut dan keadaan laut.
Sekiranya terlampau bergelora, ia mungkin berbahaya kepada bot kecil dan aktiviti rekreasi air.Kuala ini juga kian menjadi tumpuan selepas kerajaan membina benteng penahan ombak sepanjang dua kilometer (km).Sekali gus, ia memudahkan warga tempatan bersantai sambil membawa keluarga atau memancing bagi mengisi masa terluang terutama pada cuti hujung minggu.
Pembangunan ini juga secara tidak langsung membuka peluang perniagaan kepada penduduk tempatan terutama dalam bidang berkaitan pelancongan.Majlis Daerah Besut (MDB) turut membina landskap menarik termasuk dataran untuk kemudahan aktiviti persembahan pentas.Kemudahan lain ialah tandas moden, pentas persembahan kebudayaan, taman permainan kanak-kanak dan warung teh tarik.
Pendek kata, pengunjung yang datang ke dataran Kuala Besut pasti terhibur menikmati suasana waktu senja apabila panorama menarik ketika matahari berlabuh di permukaan laut.Medan ikan bakar beroperasi hingga lewat malam menjadi tumpuan mereka yang mahu mendapatkan makanan laut yang segar.
Namakan apa saja, sama ada ikan, sotong atau ketam, semuanya menjanjikan pengalaman menarik apabila ia dimasak mengikut selera penduduk tempatan.Ada juga yang singgah sebentar semata-mata untuk menjamu selera di sini ketika dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu atau Kota Bharu.
INFO
Tidak sah berkunjung ke pantai timur, jika tidak membawa pulang keropok lekor sebagai tanda kenangan. Selain hasil laut yang segar, anda juga boleh mencuba keenakan nasi dagang dengan pilihan pelbagai lauk menarik di gerai berhampiran jeti.
Jika mahu ke Pulau Perhentian, pastikan anda membuat tempahan terlebih lebih awal dan memastikan anda mengikuti jadual bot untuk mengelakkan sebarang kesulitan.
Damai Merang Suria Resort
Resort yang diuruskan Suria Resorts Management Sdn Bhd adalah milik 100 peratus Bumiputera. Syarikat itu turut memiliki resort di Johor Bahru, Cherating dan London. Sekalipun, lokasinya agak tersorok, itulah keistimewaan kawasan ini yang jarang diperolehi di tempat lain. Jika bangun awal pagi, anda dapat merasakan betapa sejuk dan segar udara di persekitaran dengan kabus seperti awan tebal meliputi kawasan dikelilingi hutan hijau itu. Hiruplah udara sepuas hati sambil menikmati dendangan unggas dan kicauan burung.
Pengurus Kanannya, Muhammad Fuad Foo Abdullah, berkata kawasan itu anugerah Ilahi kepada manusia terutama mereka yang cintakan alam semula jadi, keindahan, suasana sunyi dan mendamaikan. Beliau berkata, sejak dibuka pada 2005, pihaknya menerima banyak tempahan terutama mereka yang mahu menikmati suasana indah dikelilingi alam semula jadi. "Bagi mereka inilah nikmat yang jarang dirasakan dan peluang yang sedikit itu perlu digunakan sepenuhnya. "Ada juga yang menginap di resort ini sebelum ke Redang untuk menikmati panorama laut dan pasir pantai," katanya.
Pada musim cuti sekolah, sebanyak 70 bilik di resort itu habis ditempah pelanggan tempatan termasuk dari Singapura. Ketika menginap di resort itu, anda boleh melakukan aktiviti meneroka hutan, flying fox, berkayak dan berakit di Mengabang yang menyediakan kawasan lagun untuk air masin dan payau. "Selain kolam mandi dan pantai, kami menyediakan pakej lawatan ke Redang, Pulau Perhentian dan Bidong untuk aktiviti snorkling serta menyelam. "Pakej sehari itu berharga RM160 termasuk pengangkutan bot dan makan tengah hari."
Jika berminat, anda juga boleh memancing bersama nelayan tempatan," katanya Pihaknya turut menyediakan pakej lawatan ke Tasik Kenyir selain mengunjungi Gua Bewah, air terjun Lasir dan Taman Herba. Bagi Ketua Unit Jualannya, Zaharah Abd Rahman, jika mempunyai masa lapang, pengunjung boleh menjelajah perkampungan berhampiran untuk mencuba hidangan istimewa penduduk tempatan. Antara makanannya ialah ikan dan sotong celup tepung yang boleh didapati di sepanjang jalan ke Merang. Cuba sekali dan anda pasti teringin datang lagi.
Selepas penat meninjau di kawasan perkampungan, singgah sebentar di gerai menjual keropok lekor di Mengabang. Hidangan keropok lekor dengan cendol cukup menyelerakan. Ada juga gerai menjual keropok lekor, keropok kering dan makanan laut di sepanjang jalan di antara Merang dan Mengabang.
>Info
Maklumat lanjut mengenai Suria Merang Resort, Setiu, Terengganu, hubungi 09-6531600 atau laman web: www.suriaresorts.com
>>Bagaimana ke sini:
Dari bandar Kuala Terengganu, ikut ke Jalan Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Anda terus menghala ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM). Kemudian, ambil jalan Batu Rakit dan anda akan dapat melihat papan tanda Merang. Kawasan ini berhampiran Terengganu International Endurance Park (TIEP). Jarak dari bandar Kuala Terengganu ke Merang ialah 47 kilometer.
Indahnya Pantai Air Tawar
Selain Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu, Pantai Teluk Bidara di Dungun dan Pantai Kemasik di Kemaman, Pantai Air Tawar di daerah Besut juga tidak kurang hebatnya.Ramai yang tidak jemu ke sini bagi menyaksikan panorama matahari terbenam.
Terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari pekan Kuala Besut atau 30 minit dari Bandar Jerteh, persisiran pantainya yang panjang membolehkan pelbagai aktiviti rekreasi diadakan termasuk bola sepak atau bola tampar.Pengunjung juga bebas mengadakan aktiviti perkelahan bersama keluarga, berjoging, bersiar-siar atau bermain layang-layang.
Kawasan pantai ini dipenuhi dengan deretan pohon ru yang sesuai dijadikan tempat berehat. Dari kawasan pantai, pengunjung dapat menyaksikan keindahan gugusan pulau kecil di perairan Terengganu yang jelas kelihatan terutama jika keadaan cuaca mengizinkan.Anda mungkin melihat bot nelayan yang meredah gelombang untuk mencari rezeki di tengah laut. Jika gemar aktiviti lasak, anda boleh bermain jet ski sepuas hati kerana ini jarang digunakan pengunjung tempatan untuk mandi-manda kecuali pelancong asing.
Pantai Air Tawar popular sejak zaman penjajahan Inggeris kerana ada kediaman pegawai Inggeris dan rumah pegawai polis. Pantai peranginan ini dijadikan kawasan perkampungan Pekan Budaya Daerah Besut, setiap tahun.Keindahannya menjadi pilihan orang perseorangan dan pasukan berunifom untuk mengadakan aktiviti perkhemahan.Kanak-kanak pasti gembira apabila dapat bermain di gigi air sambil membina istana pasir bersama rakan. Bagaimanapun, pengunjung tidak digalakkan mandi jika tidak tahu berenang bagi mengelak kemalangan jiwa.