1 Malaysia

1 Malaysia
Peliharalah keamanan negara

MERDEKA! MERDEKA!

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Blog lain

Malaysia Secara Ringkas

Sejarah menarik; sejak abad ke-15 ketika Melaka merupakan sebuah pelabuhan dagangan penting, telah membentuk Malaysia menjadi sebuah negara beraneka budaya yang berbeza. Percutian ke Malaysia membuahkan pengalaman manis dengan penduduknya yang amat mesra, sementara kemudahan moden yang tersedia memastikan percutian anda mudah dan selesa. Mengenali Malaysia, bererti mencintai Malaysia - negara yang tersohor dengan pilihan makanan, kepelbagaian hutan hujan berusia jutaan tahun, bangunan pencakar langit yang canggih dan pesta pelbagai warna yang gemilang.

Muat turun Risalah: Percutian Menarik

Wahai rakyat Malaysia, peliharalah kemerdekaan dengan sebaik-baiknya supaya Malaysia kekal makmur & selamat dilawati oleh pelancong luar. MERDEKA!!!!!

Selamat menyambut kemerdekaan ke 54

"Transformasi Berjaya,Rakyat Sejahtera"

Carian pintas artikel pelancongan pilihan anda

WOW!!

The wonders of places and the best Asia destination

I love Malaysia!!!!!!!

Memaparkan catatan dengan label Negeri Sembilan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Negeri Sembilan. Papar semua catatan

13 Ogos 2011

Selesa di Avillion Port Dickson




CHALET terapung dengan reka bentuk menarik ini menjanjikan kemudahan penginapan yang selesa di Avillion Port Dickson, Negeri Sembilan.


KEMUDAHAN penginapan di chalet dan hotel Avillion Port Dickson, dekat pantai Teluk Kemang, Negeri Sembilan bakal menjanjikan percutian yang pasti tidak dapat dilupakan. Penginapan mewah yang ditawarkan adalah pada harga yang amat berpatutan.
Hampir semua kemudahan kehidupan moden disediakan, antaranya sambungan tanpa wayar, televisyen skrin rata, tilam mewah, pancuran mandi berkuasa tinggi dan sistem ipod.
"Pengunjung boleh merehatkan diri di Avi Spa, iaitu kemudahan spa terapung dua tingkat yang begitu indah sekali. Avi Spa menawarkan pelbagai rawatan tradisional dan pernah memenangi beberapa anugerah," kata Pengarah Kanan Operasi hotel itu, Gared Mario Cubinar kepada S2.
Avillion Port Dickson menawarkan 258 bilik yang dikategorikan sebagai Beach Rooms, Garden Chalets, Premium Water Chalets, Water Chalets dan Water Villa.
Kesemua bilik itu dipadankan dengan katil saiz king atau dua katil individu dengan pangkin atau day-bed serta bilik mandi terbuka peribadi. Hidangan sarapan pagi boleh didapati di restoran Crow's Nest yang menyediakan perkhidmatan 24 jam sehari. Bagi yang mahu menonjolkan bakat menyanyi, anda boleh berbuat demikian di Jungle Fring Karaoke Bar yang dibuka sehingga larut malam. Sementara itu, mereka yang datang bersama keluarga tidak perlu gusar untuk melakukan sebarang aktiviti. Ini kerana terdapat perkhidmatan jagaan kanak-kanak di Children's Cabin. Avillion Hotel turut menyediakan pelbagai kemudahan riadah pengunjung seperti pusat kecergasan, belajar Tai Chi, kolam renang dan gelanggang tenis.
Keunikan lain hotel butik ini adalah inspirasi seni binanya yang diilhamkan berdasarkan kepada perkampungan nelayan Melayu tradisional dengan mengutamakan budaya tempatan. Lebih tampak mewah, ia memiliki ciri-ciri tertentu bagi memberi peluang kepada pengunjung merasai gabungan zaman warisan dan keselesaan moden.
Manakala keunikan chalet pula adalah ia dibina di atas air, selain mempunyai tingkap kaca yang membolehkan penghuninya melihat permukaan laut.
Menjanjikan kepuasan maksimum, pihak pengurusan telah menaik taraf chalet bagi meningkatkan keselesaan kepada pelanggan yang menginap di situ.

10 Julai 2011

Sistem penggera di air terjun


MOHAMAD Hasan melihat sistem penggera ketika mengadakan lawatan serta melancarkan Sistem Amaran Kepala Air di Hutan Lipur Ulu Bendul, semalam.


KUALA PILAH 7 Julai - Orang ramai tidak perlu lagi bimbang untuk bermandi-manda di sungai Hutan Lipur Ulu Bendul dekat sini berikutan kawasan perkelahan itu kini sudah dilengkapi sistem penggera yang mampu mengesan kejadian kepala air secara efisien.
Sistem penggera yang dipasang serta direka oleh Jabatan Perhutanan negeri itu berupaya untuk memberi amaran awal kepada pengunjung sekiranya berlaku kenaikan paras air secara mendadak di sungai taman rekreasi berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, inisiatif tersebut dianggap praktikal serta selari dengan hasrat kerajaan negeri dalam usaha memastikan keselamatan pengunjung di kawasan tersebut terus terjamin.
''Saya amat gembira serta ingin mengucapkan tahniah kepada pihak jabatan kerana telah berjaya mencipta sistem yang mampu memberi amaran kepada orang ramai jika air di sungai berhampiran berada pada paras bahaya.
''Jika paras air naik secara mendadak atau berlakunya fenomena kepala air, sistem ini secara efektif mengesannya dan siren akan berbunyi selain lampu amaran turut dinyalakan," katanya.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita pada pelancaran Sistem Amaran Kepala Air di Hutan Lipur Ulu Bendul di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Ariffin.
Jelasnya, sistem yang dihasilkan tanpa menelan belanja tinggi itu telah dipasang di beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi.
''Sistem ini terbahagi kepada dua fungsi iaitu automatik dan manual. Sistem automatik akan mengerakkan siren sebaik air naik secara mendadak, manakala sistem manual pula akan dipantau oleh renjer bertugas sebaik mendapati ada tanda awal akan berlakunya kepala air termasuk hujan lebat," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad turut bercadang untuk memasang sistem seumpama itu di tiga lokasi perkelahan sekitar negeri ini iaitu di Jeram Toi, Jelebu; Jeram Tengkek, Batu Kikir Jempol dan di Lata Kijang, Jelebu.
''Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk tujuan pemasangan di kawasan terbabit dan ia dijangka siap dalam tempoh dua bulan," katanya.
Tambah Mohamad, sistem penggera keselamatan yang direka oleh jabatan berkenaan akan dipatenkan kerana ia berbeza daripada sistem penggera sedia ada.
''Sistem ini lebih murah untuk dihasilkan berbanding sistem sedia ada yang lebih mahal sehingga mencecah jutaan ringgit. Lebih menarik, kos penyelenggaraan juga tidak mahal sekiranya ia rosak," jelasnya.
Pada 3 Mei lalu, tiga kanak-kanak perempuan dihanyutkan arus deras di kawasan perkelahan tersebut dan hanya dua mayat ditemui, manakala seorang lagi gagal dijumpai sehingga hari ini.

18 Jun 2011

Ancasa tawar pengalaman bercuti abadi

ANCASA Allsuite Resort & Spa Port Dickson yang terletak di lokasi strategik di tepi pantai Selat Melaka.



PULAU Pinang bukan destinasi asing bagi pelancong tempatan mahupun luar negara. Tetapi di sebalik kemasyhuran Pulau Mutiara itu sebagai destinasi pelancongan utama, masih terdapat sisi misterinya yang menawarkan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan.
Alami pengalaman Pulau Pinang berbeza ini yang tentunya tidak pernah dialami melalui tarikan pengembaraan dalam kehijauan hutan hujan.
Terletak di tengah-tengah kehijauan alam semulajadi Pulau Jerejak, Jerejak Rainforest Resort sudah pasti menyentuh jiwa para pengembara dan mereka yang mengimpikan pengalaman silam.
Bukan sekadar resort, Jerejak Rainforest Resort melalui persekitarannya pasti memukau para tetamu termasuk dengan latar belakang sejarahnya dan hutan dara tropika yang kaya dengan flora dan fauna.
Terletak di bahagian timur pulau yang satu ketika pernah menjadi pusat tahanan itu, ia menawarkan 20 chalet mewah yang terdiri daripada 14 unit chalet satu bilik (superior) dan enam unit chalet dua bilik (executive).
Harga promosi untuk superior bermula dari RM280 dan executive pula RM420.
Resort ini juga menawarkan bilik deluxe standard yang harganya bermula dari RM210.
Dilengkapi dengan kemudahan moden, setiap bilik lengkap dengan pendingin hawa kawalan individu di bilik tidur.
Bagi tetamu yang menginap di chalet atas puncak bukit, mereka dilengkapi kemudahan talian telefon terus dail untuk panggilan antarabangsa, televisyen dengan tayangan filem, kemudahan menyediakan teh dan kopi, peti sejuk dan bilik mandi dengan tub yang besar selain kemudahan pengangkutan menggunakan buggy.
Bagi yang tinggal di bilik deluxe standard pula kemudahan asas yang menepati keperluan dan keselesaan setiap pengunjung turut disediakan.
Resort ini juga merupakan tempat yang sesuai untuk aktiviti teambuilding dengan Jerejak Rainforest Resort menawarkan pakej menarik termasuk lapangan berhalangan, laluan bertali dan sukaneka,
Sukan perang paintball war games - sukan yang digunakan untuk melahirkan sifat kepimpinan, kesungguhan, komunikasi dan bekerja di bawah tekanan merupakan kemudahan tambahan yang disediakan.
Kepada tetamu yang mahu merasai pengalaman dimanjakan sambil merehatkan badan, jiwa dan minda boleh berkunjung ke Jerejak Spa yang menawarkan suasana rehat di persekitaran hutan hujan tropika yang tenang dan mendamaikan.
Serahkan badan anda kepada tangan-tangan yang pakar untuk rawatan seperti aroma terapi, urut, merias kuku, skrub badan, terapi hidro dan pelbagai lagi.
Dengan haruman bunga segar dan persekitaran yang menenangkan, Balinese spa merupakan jaminan untuk meredakan kelesuan badan.
Untuk mereka yang mahu menganjurkan majlis, ballroom di Jerejak Rainforest Resort merupakan tempat yang ideal dengan kapasiti 350 orang.
Selain itu terdapat juga bilik seminar kecil yang dilengkapi dengan peralatan audio visual dan kemudahan persidangan terkini.
Tetamu dan pengunjung harian juga ditawarkan pelbagai pilihan makanan tempatan dan antarabangsa di restoran Santapan atau Rimba.
Barbeku mingguan untuk makan malam yang dikenali sebagai Saturday BBQ juga menawarkan pengalaman unik yang sukar untuk dilepaskan.
Bagi yang memilih untuk berjalan-jalan di Pulau Pinang dan melawat tarikan lain di sekitarnya, mereka boleh menginap di An-Nur Ancasa Express @ Georgetown.
Ini merupakan yang terbaru dalam keluarga jenama Ancasa Express. Ia menawarkan 36 unit apartmen khidmat tiga bilik dengan harga yang menarik untuk keperluan pengembara bajet.
Setiap unit mampu menampung lima tetamu dengan selesa. Kaunter penerima tetamunya beroperasi 24 jam selain kemudahan parking berhampiran dengan kawasan hotel.
Semua unit di An-Nur Ancasa Express dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan seperti peti sejuk, televisyen LCD, pancuran mandi panas dan sejuk, pendingin hawa dalam bilik tidur utama serta ruang tamu yang luas dan selesa.
Ia dikelilingi tempat-tempat bersejarah seperti Masjid Kapitan Keling yang berusia 200 tahun, Muzium Islam, Tokong Teochew dan pelbagai lokasi menarik lain di Georgetown.
Antara yang berhampiran dipercayai kubur Fatimah Nachair Merican iaitu isteri kepada pengasas Kapitan Keling (Caudeer Mohideen Merican) dan keluarganya.
Bagi pelancong dari Lembah Klang yang mahu merehatkan badan dan minda tanpa perlu memandu jauh mereka boleh berkunjung ke Port Dickson dan menginap di Ancasa Allsuite Resort and Spa yang terletak di kehijauan Teluk Kemang.
Resort ini pasti akan menawan hati melalui ciri-ciri resort tropika Neo-Nusantara yang mewah.
Ia juga popular dengan rawatan spanya dan Ancasa Spa yang terletak di Taman Bali di resort tersebut.
Spa Balinya pula menawarkan kelegaan dan ketenangan melalui rawatan semulajadi.
Terletak di lokasi strategik di tepi pantai Selat Melaka, resort ini menawarkan 198 bilik yang terdiri daripada 46 unit suit satu bilik, 96 unit dua bilik dan 58 unit suit tiga bilik.
Kadar penginapannya bermula dari RM288 (suit satu bilik), RM338 (dua bilik) dan RM388 (tiga bilik).
Restoran Saffron Brasserienya pula menawarkan pengalaman makan malam dengan pelbagai pilihan makanan oriental dan continental selain pilihan di Steamboat Express yang baru dibuka dengan harga serendah RM20 seorang.
Untuk yang mahu menganjurkan majlis tertentu resort itu menawarkan tiga ballroom dengan kapasiti 200 orang setiap satu. Sebagai tambahan dua bilik seminar yang dilengkapi dengan peralatan persidangan terkini juga boleh didapati.
Bukan sekadar resort, Ancasa AllSuites Resort & Spa, Port Dickson komited memastikan tetamunya merasa selesa seperti di rumah sendiri dengan hospitaliti Malaysia.
Ancasa Hotels & Resorts di Kuala Lumpur juga merupakan destinasi popular di kalangan pengunjung yang mahu merasai pesona ibu negara.
Terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar raya berhampiran Jalan Petaling dan mudah diakses menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan LRT.

03 Februari 2011

Bisikan Permaisuri di Tanjung Tuan?


PERCUTIAN tepi pantai yang dilengkapkan dengan pelbagai aktiviti termasuk sukan air.


TIADA unsur alam di dunia ini yang dapat mengatasi kehebatan kuasa terapi yang dimiliki oleh laut dan pantai. Pertemuan di antara kedua-duanya memberi seribu satu ketenangan.
Meskipun ada kalanya ia dianggap sebagai lawan, kita lebih mengenalinya sebagai peneman.
Deruan air dan hembusan bayu yang dilepaskan adalah rawatan terbaik yang dapat merungkaikan setiap daripada kecelaruan.
Itulah antara sebab mengapa lokasi percutian tepi pantai terus diminati bahkan menjadi destinasi pelancongan paling popular di negara ini dan juga di dunia umumnya.
Namun untuk mendapatkan tempat seperti yang tergambar di fikiran anda sekarang bukanlah sesuatu yang mudah. Bagi penghuni kota, ia tidak mungkin dinikmati tanpa memandu seharian di jalanan.
Terletak kira-kira 100 kilometer dari Kuala Lumpur dan 15 minit perjalanan berkereta dari pantai percutian Teluk Kemang, Permaisuri Resort merupakan syurga baru di antara puluhan lokasi percutian di Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.
Terasing dari kelompok penginapan yang lain, Permaisuri Resort yang memulakan operasi pada akhir 2009 menawarkan pengalaman percutian unik dan tersendiri bagi mereka yang bertandang ke daerah pelancongan tersohor itu.
Keistimewaan resort hotel itu adalah pilihan 100 unit penginapan yang kesemuanya dibina mengadap ketenangan laut di Tanjung Biru.
Kemewahan bilik dikategorikan kepada pangsapuri tiga dan satu bilik, studio dan bilik eksklusif bertaraf kenamaan (VIP).
Ketibaan saya bersama tiga orang rakan ke Permaisuri Resort baru-baru ini disambut mesra oleh kakitangan di lobi resort. Walaupun menerima tetamu yang agak ramai pada hujung minggu itu, ruang letak kereta masih tersedia pada jarak yang dekat bagi setiap tetamu.
Semasa berdiri di kaunter sementara menunggu urusan pendaftaran masuk dilakukan, biasan air laut yang berkilau-kilau di sebalik celahan pohon rhu pantas ditangkap oleh anak mata.
Dan tanpa banyak berlengah, lif terus membawa kami ke tingkat tujuh untuk menjenguk ke unit pangsapuri tiga bilik yang bakal menjadi kediaman selama tiga hari dua malam.
Langkah pertama selepas menyelak daun pintu unit itu disambut oleh ruang dapur yang ringkas tetapi cukup luas untuk kegunaan satu keluarga.
Dari penghujung dapur, ruang dalaman rumah dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu ruang makan malam dan ruang tamu.
Meskipun terlalu banyak perkara menarik yang boleh diperhatikan sama ada di lantai dan yang tergantung di dinding, hati ketika itu lebih teruja untuk memeriksa bilik tidur.
Bilik tidur utama yang dilengkapi bilik air sendiri sememangnya luas. Bahkan cukup selesa untuk tambahan seorang kanak-kanak.
Begitu juga dengan keluasan dua lagi bilik yang langsung tidak mengecewakan. Luas seperti bilik hotel empat bintang. Penghuni cuma perlu berkongsi bilik air yang terletak di bahagian tengah rumah.
Di ruang tamu yang menempatkan televisyen LCD, penghuni disediakan sofa untuk empat orang. Di belakangnya, meja makan malam selesa untuk enam orang.
Dari beranda yang luas, pemandangan disajikan dengan pertemuan kaki langit dengan lautan yang luas membiru. Di bahagian bawah, halaman resort dihiasi kolam renang untuk keceriaan seisi keluarga.
Jika waktu pagi disempurnakan dengan pemandangan matahari terbit, sebelah malamnya penghuni boleh menyaksikan pancaran cahaya yang berputar-putar dari rumah api Tanjung Tuan.
Mengambil kira keluasan unit yang diberikan tanpa rasa kedekut itu, penginapan di unit berharga RM580 semalaman berserta makan pagi untuk enam orang itu cukup berbaloi dan selesa.
Selain kamar yang mengadap laut, percutian di resort itu disempurnakan dengan sebuah kolam renang besar yang dilengkapi tiub gelongsor untuk kepuasan kanak-kanak.
Pada sebelah petang, kemeriahan di tepi pantai dimeriahkan dengan permainan seperti bola sepak pantai, bola tampar pantai dan sepak raga. Bagi yang mahukan lebih cabaran, rekreasi seperti berkayak, bot pisang dan ATV sedia disewa pada harga yang berpatutan.
Pengurus Besar Kumpulan MITC Ancasa Hotel (M) Sdn. Bhd, Aswandy Hassan berkata, Permaisuri Resort dilengkapi dengan pelbagai keperluan yang memenuhi segala kehendak percutian, mesyuarat dan persidangan.
Antara kemudahan asas yang disediakan termasuk dua buah dewan utama, dua bilik seminar, dua restoran, kedai runcit, surau, bilik karaoke, gimnasium dan bilik snuker.
"Bagi memeriahkan suasana bercuti, kami menyediakan pelbagai pakej istimewa bagi pasangan berbulan madu, percutian keluarga dan juga korporat.
"Selain itu, persembahan kebudayaan dan tarian api juga dimainkan pada hujung minggu sebagai hiburan untuk penghuni," katanya.
Di samping menikmati keindahan pantai dan laut yang mempesonakan, pengunjung di Permaisuri Resort juga boleh merasai kehijauan hutan yang terletak bersebelahan dengan resort.
Hutan Rekreasi Tanjung Tuan Negeri Melaka di situ adalah hutan dara yang menyimpan aneka spesies flora dan fauna.
Selain tarikan rumah api, kawasan itu juga dikenali sebagai satu daripada lokasi persinggahan berpuluh-puluh ribu burung migrasi yang terbang melintasi benua ini ke kepulauan Indonesia.
Fenomena istimewa itu boleh disaksikan pada bulan September hingga Oktober dan Mac hingga April setiap tahun.
Menariknya lagi, tanah di Tanjung Tuan yang mengunjur ke Selat Melaka itu penuh dengan sejarah dan misteri yang pasti menjadikan percutian lebih berharga.
Misteri
Jika bertandang ke Permaisuri Resort, jangan lepaskan peluang untuk menyelongkar misteri di sekitar kawasan rumah api setinggi 24 meter yang dibina oleh kerajaan Inggeris pada abad ke 16.
Di depan binaan bersejarah itu adalah Cape Richardo yang pernah menyaksikan pertempuran laut terbesar di Kepulauan Melayu antara Belanda dan Portugis suatu ketika dahulu.
Diceritakan juga misteri pusaran air yang berlaku ketika bulan mengambang di kawasan itu. Kejadian itu dikatakan telah menenggelamkan banyak kapal-kapal nelayan.
Sementara itu Aswandy berkata, selain Permaisuri Resort, MITC turut menguruskan tiga hartanah membabitkan perhotelan dan pusat peranginan iaitu Permaisuri MITC Hotel Melaka, Hotel Permaisuri Melaka Stadium Hang Jebat dan Hotel Permaisuri De'Lisbon(De'Lisbon).
"Setiap daripada cawangan hotel MITC menawarkan keunikan, tarikan dan kelebihan yang berbeza.
"Dengan pilihan itu, kita harap MITC dapat memenuhi lebih banyak cita rasa pelancong," ujarnya.
Maklumat lanjut mengenai Permaisuri Resort, boleh diperolehi dengan menghubungi 06-6621558 atau melayari laman web www.mitcchainhotel.com.

30 Disember 2010

Hutan Lipur Serting Ulu mengasyikkan


PENGUNJUNG bermandi-manda di Hutan Lipur Serting Ulu, baru-baru ini.

Suasana kampung yang aman damai ditambah pula dengan pemandangan unik rumah tradisi masyarakat Minangkabau di sepanjang jalan, pastinya menambat hati sesiapa yang mengunjungi Hutan Lipur Serting Ulu, dekat sini. Dengan kedudukannya kira-kira 20 kilometer dari pekan Bahau, dekat sini, hutan lipur itu menjanjikan pengalaman luar biasa kepada sesiapa yang pertama kali menjelajah dalam alam flora dan faunanya.
Mengikut fakta sejarahnya, kawasan itu mula dimajukan pada tahun 1986 selepas ia ditemui hampir 100 tahun lalu oleh penjajah British dan sejak itu ia mula menjadi tarikan kepada pengunjung dalam dan luar negeri.
Jalan masuk sejauh dua kilometer ke hutan lipur itu agak sempit dan kadangkala kereta yang dipandu terpaksa berhenti di bahu jalan bagi memberi laluan kepada kenderaan dari arah bertentangan.
Apa pun, mata anda pastinya terarah pada pandangan sekumpulan kerbau yang sedang berendam di dalam lumpur atau gelagat monyet dan burung bermain-main di atas pokok.
Selepas melalui kawasan kampung yang permai, para pengunjung akan melihat satu kawasan hutan yang dijaga rapi dan di tengahnya mengalir air sungai pergunungan yang jernih.
Bagaimanapun, apabila pertama kali menjejak kaki di sini, pasti mata anda akan tertumpu pada satu papan tanda yang melarang pengunjung membawa makanan yang tidak halal.
Berdasarkan penceritaan orang lama di situ, terdapat satu perkampungan orang bunian berhampiran hutan lipur itu dan bagi menghormati mereka, hanya makanan halal dibenarkan dibawa masuk.
Sekiranya pantang larang tersebut dilanggar, dikhuatiri menyebabkan masyarakat bunian marah dan ‘mengganggu’ pengunjung.
Apa yang menarik, lokasi tersebut juga pernah menjadi lokasi pertempuran Perang Dunia Kedua.
Malah masih kelihatan beberapa lubang sedalam hampir semeter yang dikatakan kesan bom di kawasan tersebut.
Di sini juga terdapat jambatan gantung sepanjang 100 meter yang menghubungkan dua buah bukit dan di pengunjungnya boleh menyaksikan pemandangan hutan dengan lebih jelas.
Di bawah jambatan gantung itu anda boleh melihat air sungai yang mengalir dan menyaksikan pemandangan hutan lipur tersebut dari pandangan atas.
Hutan lipur itu juga kaya dengan pelbagai spesies pokok hutan malah ia turut dilabelkan sebagai salah satu cara pembelajaran tidak formal.
Walaupun sungai yang mengalir agak kecil dan cetek, pengunjung boleh mandi di satu kawasan kolam yang sengaja dibina untuk kemudahan pengunjung.
Bagi memudahkan pengunjung, terdapat deretan kedai yang menjual pelbagai makanan dan minuman serta cenderamata untuk dibawa pulang.
Seorang pengunjung, Kin Fatt Chon, 41, berkata, hampir setiap bulan dia dan keluarga akan datang ke hutan lipur tersebut untuk berkelah.
Fatt Chon yang berasal dari Bahau dekat sini, memberitahu, dia memilih lokasi tersebut kerana suasana yang damai serta kemudahan awam yang lengkap.
‘‘Pemandangan hutan menghijau dan air sungai yang jernih menjadikan kawasan ini sesuai untuk berehat serta menenangkan fikiran setelah penat bekerja.
‘‘Saya dan keluarga juga suka melihat keindahan dan suasana kehidupan kampung sebelum masuk ke pusat perkelahan ini,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Nor Fazrina Azman, 12, berkata, dia berkunjung ke hutan lipur tersebut untuk menenangkan fikiran selepas menghadapi peperiksaan.
‘‘Tempat itu juga sesuai dijadikan tempat mengulang kaji pelajaran kerana keadaannya yang nyaman dan tenteram,” katanya.
Rakannya, Muhammad Syahmi Zulkifli, 12, pula berpendapat, jika ada kemudahan WiFi ia pasti menarik minat pengunjung terutama golongan remaja ke sini.
‘‘Sekiranya mereka tidak mahu mandi-manda mereka boleh bersantai sambil melayari Internet di sini,” jelasnya.
Apa yang pasti, hutan lipur ini kini menjadi satu lagi produk pelancongan domestik yang semakin mendapat perhatian pengunjung, terutama sekali pada hujung minggu.
Jelasnya, jika anda datang ke hutan lipur ini, jangan lupa membawa kamera kerana ia merupakan destinasi paling menyeronokkan terutama sekali sebagai bahan kenangan untuk diabadikan sampai bila-bila.

17 Julai 2010

Sunset Cruise tarikan baru PD



Para penumpang tidak mahu melepaskan peluang merakam keindahan matahari terbenam dari dek Sunset Cruise.


Port Dickson yang terkenal sebagai pantai peranginan negara bagi pelbagai aktiviti riadah kini menggamit pengunjung dengan satu lagi tarikan menarik iaitu menaiki feri menyusuri Selat Melaka.
Bersesuaian dengan nama- nya, Sunset Cruise, perkhidmatan feri ini akan membawa pengunjung belayar sambil menyaksikan keindahan matahari terbenam.
Pelayaran yang merupakan produk pelancongan di negeri ini dijangka menjadi tarikan terbaru pengunjung pantai peranginan termasuk pelancong yang inginkan kelainan memandangkan pelayaran tersebut membawa penumpang sejauh 13 batu nautika dari pantai menyusuri Selat Melaka.
Pengalaman pelayaran yang tidak wajar dilepaskan ini bermula dari Jeti Penumpang Jabatan Laut, Port Dickson seterusnya menyusuri pantai-pantai utamanya sehingga ke perairan antarabangsa apabila keindahan matahari dipertontonkan ramai.
Menurut Pengarah Urusan Port Dickson Travel, Datuk Yaacob Husin, syarikatnya memperkenalkan produk tersebut dalam usaha untuk terus mempopularkan Port Dickson dengan pelbagai aktiviti.
"Selama ini orang ramai menyaksikan matahari terbenam dari pantai sahaja tetapi kini mereka mampu pergi lebih jauh.
''Perubahan ini dibuat untuk menambah lagi jumlah pelancong yang berkunjung ke sini di samping memberi kenangan yang terindah kepada mereka," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Sunset Cruise di sini, baru-baru ini.
Katanya, penumpang akan dibawa menaiki feri selama satu jam bermula di Jeti Penumpang Jabatan Laut menyusuri laut hingga ke Rumah Api di Tanjung Tuan dan kembali semula ke jeti.
"Antara laluan pelayaran adalah Corus Paradise Resort, Pantai Bagan Pinang, Avillion Port Dickson, Pantai Tanjung Biru, Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Jimah Power Plant dan Stesen Janakuasa.
"Pelancong juga berpeluang melihat laut terbuka dan kapal-kapal yang lalu di Selat Melaka," katanya.
Menurutnya, perkhidmatan ini ditawarkan pada Jumaat dan Sabtu, bermula pukul 6.30 petang sehingga 7.30 malam dengan bayaran untuk dewasa RM60, kanak-kanak (RM40) dan pelajar (RM30).
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan pihak yang terbabit dalam aktiviti pelancongan mempelbagai produk mereka untuk menarik pelancong ke daerah tersebut.
"Semua pihak harus memainkan peranan dalam usaha memaju dan menjadikan pantai Port Dickson tumpuan ramai.
''Kebiasaannya kita hanya melihat matahari terbenam di tepi laut, tetapi kini berpeluang melihat dari dekat di kedudukan 13 batu nautika dari pantai dan menyusuri Selat Melaka,'' katanya.
Katanya lagi, lebih banyak produk pelancongan harus dibangunkan oleh pengusaha terutama yang menjanjikan pengalaman baru untuk pengunjung.

03 April 2010

Penyu, dugong jadi tarikan


Para pelajar tertarik melihat replika penyu belimbing yang hampir pupus di negara ini di Muzium Negeri, Seremban, semalam. 

Tahukah anda, melalui Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 2008 di bawah Akta Perikanan 1985, sebanyak 31 spesies hidupan laut diwartakan? Spesies ini termasuk penyu, ikan yu, dugong, lumba-lumba dan kima yang dikenalpasti terancam dan semakin pupus.
Perkara yang sama menyebabkan spesies ini dilindungi oleh Jabatan Perikanan Malaysia yang dengan keras melarang sebarang penangkapan, pembunuhan, pemilikan dan penjualan tanpa kebenaran.
Justeru, mengenalpasti dan mempelajari spesies-spesies tersebut dengan mengunjungi Pameran Penyu dan Spesies Ikan Terancam di Malaysia yang sedang berlangsung di Muzium Negeri di sini memberikan mesej tersendiri.
Sekurang-kurangnya pameran itu memberikan banyak pengetahuan tentang spesies hidupan laut tersebut dengan lebih mendalam terutama kepada pelajar sekolah dan penuntut universiti.
Apatah lagi melalui usaha Jabatan Perikanan Negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) itu dengan menampilkan strategi elemen pendidikan dilihat mampu meraih perhatian masyarakat.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub turut memuji langkah pihak terbabit menjayakan program tersebut yang dianggap dapat membantu memberi kesedaran tentang kepupusan spesies itu.
"Tidak dapat dinafikan ada di kalangan masyarakat termasuk nelayan sendiri kurang mengetahui tentang undang-undang berkaitan pengawalan spesies ikan terancam.
"Jadi program seperti ini mampu bertindak sebagai sumber maklumat agar masyarakat lebih memahami tentang kewujudan khazanah negara yang bernilai dan harus dilindungi ini," kata beliau pada majlis perasmian pameran tersebut di sini hari ini.
Pameran yang bermula pada 1 hingga 30 April itu hari ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri, Asas Tani dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat.
Junaidi menambah, pameran tersebut adalah kesinambungan daripada Pameran "Alam Akuatik - Penyu dan Spesies Terancam di Malaysia'' yang buat pertama kali diadakan di Muzium Negara pada 2008.
"Tidak dapat dinafikan pemuliharaan spesies terancam ini akan gagal tanpa kerjasama dan komitmen jitu daripada semua pihak termasuk anggota masyarakat," katanya lagi.
Selain itu, dengan berkunjung ke pameran tersebut, orang ramai berpeluang melihat dengan dekat hidupan spesies laut tersebut seperti dugong, anak penyu, ikan lumba-lumba, kima, arowana, temoleh dan pelbagai spesies lain yang dipamerkan dalam akuarium.
Menurut Pengarah Perikanan negeri, Wan Muhammad Aznan Abdullah, lebih 20 spesies hidupan laut yang terancam dipamerkan yang sesetengahnya diawet menjadi tarikan pengunjung.
"Tidak ketinggalan 30 spesies ikan air tawar yang dipamerkan dalam akuarium selain diawet yang dibawa dari Kelantan dan Pahang," katanya.
Buat kaki pancing, pameran ikan itu pasti ditunggu-tunggu terutama untuk menyaksikan seekor arowana atau ikan kelisa cantik yang pastinya bernilai ribuan ringgit.
Selain hidupan akuatik, pengunjung juga dapat menyaksikan rangka paus bersaiz gergasi dibawa khas oleh Jabatan Perikanan untuk tatapan umum.
Bukan itu saja dugong juga bakal menjadi tarikan utama kerana orang ramai berpeluang menyaksikan awetan haiwan tersebut yang menjadi perbualan ramai sejak kemunculan anak dugong bernama Si Tenang di Johor, 11 tahun lalu.
Lebih menarik, kata Wan Muhammad Aznan lagi, pihaknya membawa khas dari Melaka dan Terengganu telur penyu bagi membolehkan orang ramai melihat proses eraman.
"Telur-telur tersebut dijangka menetas pada pertengahan bulan ini lantas menjadi satu proses pendidikan yang baik untuk pengunjung terutama kanak-kanak," katanya lagi.
Pelbagai risalah dan poster berkaitan hidupan laut tersebut yang berunsurkan pendidikan dan kesedaran turut diedarkan kepada pengunjung sebagai buah tangan agar mesej dapat disebarkan kepada masyarakat lain.
Menurut Pengarah LMNS, Drs. Shamsudin Ahmad, selain pameran, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah lumayan dengan menyertai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Perikanan di sepanjang program pameran ini berlangsung.
"Gerai-gerai jualan produk perikanan juga akan dibuka untuk orang ramai.
"Selain itu, seminar khas tentang kesedaran memulihara alam sekitar juga akan diadakan di Bilik Tayangan muzium pada 14 April pukul 9 pagi.
"Kunjungilah pameran ini untuk menyaksikan kehebatan pameran berkonsepkan kesedaran dan pendidikan yang amat sesuai untuk semua lapisan masyarakat," katanya lagi.

21 Mac 2010

Kuala Lipis: Di mana segalanya bermula


Kediaman keluarga Tun Razak dan tempat kelahiran Najib yang telah dibaik pulih dan dinaik taraf sebagai Tapak Warisan Negara tahun lalu di Bukit Bius, Kuala Lipis.

Jika Melaka meletakkan slogan ‘di mana segalanya bermula’, bandar Kuala Lipis sepatutnya layak mendapat jolokan itu bagi negeri Pahang. Sebagaimana Kuala Lumpur yang lokasinya di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak, Kuala Lipis terbina di pertemuan Sungai Jelai dan Sungai Lipis. Ramai pengkaji sejarah bersetuju mengatakan Lipis merupakan daerah pertama di Pahang dengan Kuala Lipis menjadi ibu negeri pertama antara tahun 1898 hingga 1955 sebelum pusat pentadbiran kerajaan negeri berpindah ke Kuantan hingga kini.
Sejajar dengan statusnya sebagai ibu negeri, di Kuala Lipis juga merupakan tempat Kesultanan Pahang bersemayam sebelum berpindah ke Pekan selain menjadi ibu pejabat Residen British iaitu Sir Hugh Clifford ketika era penjajahan British.
Apa yang menarik, British memilih bandar Kuala Lipis sebagai lokasi permulaan bagi mengira perbatuan bagi negeri ini apabila sebuah batu yang bertanda ‘0' terdapat di tengah-tengah bandar ini. Batu itu juga masih boleh dilihat hingga kini.
Pada awal kemasukan British ke Kuala Lipis, kereta api menjadi alat perhubungan utama manakala Sungai Jelai dan Sungai Lipis menjadi laluan untuk ke Kuantan dan destinasi lain.
Di bandar ini juga terdapat sebuah masjid yang dikatakan pertama dan tertua di Pahang iaitu Madrasatul Firdaus yang dibina sekitar tahun 1800-an.
Sememangnya Kuala Lipis yang kini mempunyai populasi seramai kira-kira 91,000 orang tidak dapat dipisahkan jika kita membicarakan tentang sejarah Pahang.
Jika disingkap sejarah silam, Kuala Lipis merupakan salah satu lokasi perjuangan pahlawan Melayu seperti Mat Kilau, Tok Gajah dan Datuk Bahaman.
Bandar ini juga menjadi medan pertempuran antara pahlawan Mat Kilau dan Datuk Bahaman dengan tentera British pada 1892.
Selain pahlawan silam, ramai juga tokoh besar dalam pelbagai bidang lahir di Kuala Lipis termasuk keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Dalam sejarah moden pula, Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein pernah menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan beliau sekeluarga menetap di rumahnya di Bukit Bius, di sini yang masih kekal terpelihara hingga kini.
Selain bidang politik, siapa tidak kenal penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza dan chef terkenal, Chef Wan yang juga berasal dari daerah ini.
Bercakap mengenai keluarga Tun Abdul Razak, dua anaknya iaitu Najib dan adiknya, Ahmad Johari dilahirkan di rumah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri di Bukit Bius.
Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953 manakala Ahmad Johari dilahirkan pada 29 November 1954 ketika menetap di Kuala Lipis.
Sejarah Kuala Lipis juga berkait rapat dengan keluarga diraja Sultan Pahang.
Hubungan istana dengan Tun Abdul Razak juga bagaikan ‘aur dengan tebing’ sehinggakan Sultan Pahang ketika itu menganugerahkan gelaran ‘Orang Kaya Indera Shahbandar Ke-10' pada 1 November 1950 sekali gus membolehkan Tun Abdul Razak menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri yang beribu pejabat di Kuala Lipis.

Bandar Kuala Lipis sentiasa sibuk dengan kunjungan penduduk tempatan dan pelawat untuk berbelanja serta mengunjungi artifak sejarah dan alam sekitar di daerah Kuala Lipis.


Sejarah juga menyaksikan perjuangan Tun Abdul Razak dalam politik bermula apabila beliau menganggotai ahli UMNO Bahagian Kuala Lipis.
Kekayaan sejarah Kuala Lipis yang mempunyai 11 mukim itu meninggalkan pelbagai kesan terutama peninggalan bangunan kolonial. Sekurang-kurangnya lapan bangunan kolonial masih terpelihara hingga kini di bandar Kuala Lipis.
Berikutan itu, ia merangsang kerajaan negeri mengeksploitasi bandar bersejarah Kuala Lipis sebagai destinasi baru berkonsepkan program ‘lawatan sehari’ di Pahang.
Projek berkenaan dilaksanakan sejak lima tahun lalu apabila kerajaan negeri dan Majlis Daerah Lipis (MDL) menaik taraf bandar ini dengan membina pelbagai kemudahan asas untuk menarik pelancong.
Di pintu masuk bandar ini, pelancong akan menemui sebuah papan tanda maklumat berdekatan Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Lipis untuk memudahkan orang ramai mengetahui lebih mendalam mengenai sejarah daerah ini.
Komitmen itu mendapat pujian pelancong asing dan penduduk tempatan sambil menyifatkan usaha tersebut menjadikan Kuala Lipis sebagai bandar ilmu berasaskan sejarah dan kebudayaan tempatan.
Antara maklumat yang tertera pada papan tanda itu ialah mengenai bekas kediaman Residen British, Sir Hugh Clifford di Bukit Residen yang dibina pada 1922, Sekolah Menengah Clifford (1913), Kelab Pahang (1907), rumah bekas setiausaha kerajaan negeri (1920), kediaman rasmi pegawai daerah (1929), Istana Hinggap (1926), pejabat pos (1910), asrama jururawat (1926) dan kompleks pentadbiran daerah Lipis (1919).
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta bagi projek menaik taraf pelbagai kemudahan awam terutama di kawasan Dataran Residen dan Kompleks Sukan Dataran Lipis yang menjadi tumpuan pengunjung.
‘‘Kerajaan negeri sedang melaksanakan projek Hospital Lipis bernilai RM90 juta yang menjadi antara mercu tanda baru selain pembangunan Bandar Baru Kuala Lipis di Tanjung Lipis dalam usaha mengembangkan sektor perniagaan dan pelancongan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Jelas beliau, sektor pelancongan dan pertanian berjaya memacu pertumbuhan kawasan baru seperti Merapoh, Padang Tengku, Benta dan Sungai Koyan yang pesat membangun dan mengubah taraf kehidupan penduduknya.
‘‘Ia mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan dan pertanian kepada penduduk tempatan,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis.
Beliau menambah, pertumbuhan Kuala Lipis sejajar dengan perancangan kerajaan negeri dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10 berasaskan bidang agrotourism dan ekotourism dengan mengeksploit peninggalan sejarah, pertanian, kebudayaan dan kesenian untuk menarik pelancong ke daerah itu.

Kompleks Pejabat Pentadbiran daerah Lipis yang dibina oleh British pada 1919 masih tersergam indah dan menjadi tarikan pelawat ke bandar Kuala Lipis.


Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat berkata, langkah itu seiring dengan usaha kerajaan menyuntik nilai jati diri dan patriotisme di kalangan generasi muda mengenai sejarah tempatan.
‘‘Sesuai dengan tempat yang menjadi lojistik bagi pentadbiran dan ketenteraan British abad ke-19, peninggalan di bandar ini perlu dikaji oleh generasi muda,” katanya.
Abu Jimi yang juga Ketua Pemuda UMNO Lipis berkata, usaha kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan yang banyak tidaklah sia-sia jika penduduk di sini memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang dimiliki oleh bandar ini dalam aspek sejarahnya.
Pengerusi Belia 4B Pahang, Ahmad Daniar Ismail pula berkata, pemuliharaan artifak sejarah dan pelbagai projek rekreasi yang dibina di daerah ini merupakan antara usaha menambah keceriaan bandar ini.
‘‘Artifak sejarah ini boleh dieksploit untuk pembangunan pelancongan sekali gus merancakkan kegiatan ekonomi penduduk tempatan menerusi projek inap desa di kampung tradisional Melayu di sini,” katanya.
Beliau menambah, pelancong asing yang tinggal di projek Inap Desa Kuala Medang dekat sini dapat berkunjung ke Kuala Lipis sebagai pengisian lawatan sehari untuk mengetahui sejarah dan sosiobudaya penduduk tempatan.
Sementara itu, seorang pelancong dari Venice, Itali, Irene Zambon, 26, memberitahu, dia merasa seperti berada di kota London kerana kebanyakan bangunan di bandar ini bercirikan kolonial British.
‘‘Walaupun tempat tinggal saya berkonsepkan tradisional Spartan dan Rom, saya teruja kerana bangunan lama Britsih di sini masih kekal dipulihara untuk tatapan pelancong. Penduduk di sini sepatutnya berbangga kerana peninggalan ini jarang terdapat di tempat lain,” katanya.
Tok Batin Orang Asli Pos Betau, Ahmad Selalu, 47, pula berkata, kesan sejarah dan pembangunan moden di bandar ini membolehkan Kuala Lipis dikenali sebagai bandar tertua dan pernah menjadi ibu negeri Pahang.
‘‘Lebih lengkap lagi sekiranya pihak berkuasa di sini membina sebuah lagi papan maklumat atau galeri berkaitan dengan kehidupan kami (Orang Asli) di Lipis dari aspek kesenian untuk tatapan pelawat,” katanya.
Apa pun, lawatan Najib ke Kuala Lipis hari ini diibaratkan seperti ‘sireh pulang ke gagang’ apabila beliau ‘pulang’ semula ke rumah kelahirannya di Bukit Bius.
Lawatan tersebut menggamit memori silamnya ketika beliau dibesarkan di rumah yang penuh bersejarah itu.
Pastinya, kira-kira 91,000 penduduk Lipis tidak sabar-sabar untuk menyambut ‘kepulangan’ wira mereka yang dinobatkan sebagai Perdana Menteri sejak setahun lalu.

29 Januari 2010

Rope Course makin popular


DUA peserta memanjat tali pada kursus Rope Course Challenge di Port Dickson, baru-baru ini.

Kawasan peranginan di sini begitu popular bukan hanya kerana pantainyan tetapi juga syurga kepada peminat sukan air lasak. Antara sukan yang semakin menjadi perbualan ramai di sini adalah cabaran tali-temali atau Rope Course Challenge.
Aktiviti ini merupakan latihan berhalangan menggunakan binaan pada dahan pokok yang menggunakan tali-temali, kabel dan kayu.
Dari segi sejarah, tidak diketahui bila dan di mana sukan ini mula diperkenalkan namun ia pernah menjadi salah satu sesi latihan ketenteraan pada zaman Greek.
Sukan yang dipermodenkan sejak 1980-an ini mengekalkan beberapa prinsip asalnya termasuk disiplin, kerja berkumpulan dan komitmen.
Menariknya, binaan sukan ini menggabungkan 19 elemen tinggi dan 18 elemen rendah daripada 14 binaan tiang konkrit menggantikan dahan pokok yang menjadikannya yang pertama di negara ini.
Kegiatan yang popular di Eagle Ranch Resort di Batu 14 Jalan Pantai di sini, menggamit penggemar sukan lasak yang menginginkan sesuatu yang baru.
Menurut Pengarah Urusan resort itu, Jimmy Tee, kursus cabaran tali-temali itu diadakan bagi merancakkan lagi aktiviti sukan agar Port Dickson terus menjadi tarikan ramai.
“Ini adalah salah satu usaha resort untuk memperkenalkan sukan tersebut kepada penduduk negara ini terutama yang menggemari sesuatu yang lasak dan mencabar.
“Selain itu, ia diharapkan dapat merancakkan aktiviti pelancongan di daerah ini yang mendapat pengiktirafan sebagai pantai peranginan negara,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Kursus cabaran tali-temali ini turut menawarkan latihan fizikal dan mental baik kepada individu mahupun berkumpulan.
“Aktiviti seperti ini juga sesuai sebagai aktiviti kem bina semangat yang memerlukan kombinasi kerja berpasukan, skil dan komitmen individu.
“Ia juga disertai pelajar sekolah dan orang dewasa yang menginginkan suatu aktiviti mencabar,” kata beliau.
Jimmy memberitahu, binaan kursus cabaran tali-temali itu adalah yang terbesar di negara ini.
Pengurus Residen resort itu, B. Kumaren yang juga merupakan jurulatih dalam sukan itu berkata, kursus di resort tersebut berbeza daripada yang ditawarkan di tempat lain.
“Selain binaan yang terbesar dan mempunyai banyak elemen di kawasan terbuka, aktiviti ini juga menjanjikan lebih daripada sekadar aktiviti lasak,’’ katanya.
Tambahnya, ketika memulakan cabaran peserta juga terlebih dahulu diberi penerangan tentang aspek keselamatan termasuk dari segi mematuhi peraturan seperti pemakaian pelindung kepala.
Beliau menambah, setiap elemen membabitkan halangan yang harus ditempuhi peserta direka memenuhi keinginan pelbagai latar peserta.
“Setiap elemen mempunyai ciri-ciri khas tersendiri sama ada menggunakan tali, bola, kayu mahupun kabel sebagai halangan.
“Bagaimanapun misi cabaran ini adalah melatih peserta berdedikasi dalam mencapai sasaran mereka selain menguatkan elemen keyakinan diri,” kata beliau.
Beliau menambah, selain itu ia juga mampu meningkatkan skil komunikasi dan kepimpinan peserta.
“Dalam sesuatu situasi ada juga di kalangan peserta yang gugup ketika berada di atas dan gagal untuk turun.
‘‘Pada ketika inilah peserta lain memainkan peranan sebagai penyelamat untuk menurunkan rakan mereka,’’ katanya.
Katanya lagi, cabaran itu boleh disertai daripada seorang individu sehingga 15 peserta sekali gus dalam setiap sesi.
“Selain meraih kegembiraan dan kepuasan terutama ketika berjaya melaksanakan setiap cabaran, latihan seperti ini juga mampu mendidik,” katanya.

19 Januari 2010

Beriadah di pantai Port Dickson




Apabila berkunjung ke pantai peranginan di sini, pasti ramai tidak mahu melepaskan peluang beriadah dengan pelbagai aktiviti sukan pantai yang mencabar. Pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan di sepanjang pantainya nyata memudahkan pengunjung membuat pilihan demi memastikan percutian lebih menyeronokkan.
Antara aktiviti menarik yang disediakan dan sering menjadi pilihan adalah jet ski, bot pisang atau banana boat, donut ride, kayak dan bot.
Semua itu menjadi salah satu tarikan kepada pengunjung termasuk pelancong asing yang mengunjungi pantai peranginan ini terutamanya pada hujung minggu dan hari cuti umum.
Menurut Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bot dan Jet Ski Teluk Kemang, Samsudin Jamal, (gambar) pengunjung lazimnya tidak akan melepaskan peluang mencuba perkhidmatan riadah laut apabila berkunjung ke pantai ini.
"Biasanya pelanggan akan tertarik untuk mencuba setelah melihat keseronokan pengunjung mencuba aktiviti tersebut,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Jelas Samsudin, keghairahan pengunjung untuk mencuba sesuatu yang baru membuatkan mereka terpanggil untuk menyertai aktiviti tersebut.
"Misalnya, bot pisang yang membolehkan lapan penumpang menunggang di atas sebuah pelampung besar berbentuk seperti pisang yang diikat dan ditarik menggunakan sebuah bot laju.
"Untuk perkhidmatan ini kami mengenakan bayaran RM10 seorang untuk satu trip. Ia amat menyeronokkan jika ditunggang dengan laju," ujarnya.
Katanya, ada sesetengah pengunjung yang meminta pengemudi bot untuk meningkatkan kadar kelajuan supaya ia lebih mencabar.
"Selalunya, pengunjung di kalangan golongan muda akan meminta kami menjatuhkan mereka di tengah laut.
"Ada juga pengunjung yang mengenjut-enjut pelampung gergasi itu apabila meredah ombak kerana ia disifatkan lebih menyeronokkan," kata Samsudin yang telah 26 tahun menjadi pengusaha perkhidmatan riadah pantai tersebut.
Namun begitu, jelasnya, perkhidmatan bot pisang kini boleh didapati di pantai peranginan di negara ini berbanding aktiviti donut ride.
Bagi donut ride, konsepnya sama seperti bot pisang, sebuah pelampung diikat dan ditarik oleh sebuah bot laju.
"Bezanya pelampungnya berbentuk seperti kuih donat dan ia hanya boleh dinaiki oleh tiga penumpang. Biasanya bayaran RM70 dikenakan untuk 20 hingga 25 minit,'' jelas beliau.
Lebih menarik, Samsudin berkata, aktiviti ini lebih menyeronokkan kerana bentuk pelampung yang leper membuatkan ia melambung-lambung ke kiri dan ke kanan apabila ditarik bot laju.
"Lebih laju ia ditarik, lebih laju ia akan berbuai-buai di atas permukaan air,'' katanya.
Selain perkhidmatan itu, pengunjung juga gemar menyewa jet ski yang sememangnya telah lama popular di kalangan umum.
"Bayaran bagi perkhidmatan ini bergantung kepada kuasa enjin jet ski. Lebih tinggi kuasa enjin, lebih mahal sewanya.
"Bagi jet ski berkuasa 1500cc, sewanya ialah RM200 setengah jam dan RM150 bagi jet ski dengan kuasa enjin 750cc," jelasnya.
Ketika ditanya mengenai aspek keselamatan, Samsudin menjelaskan, pelanggan diwajibkan memakai jaket keselamatan.
"Selain itu, pengusaha dan pihak penyelamat turut memantau mereka. Kita juga akan memaklumkan kepada mereka tentang aspek keselamatan sebelum menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan.
"Biasanya kita akan beritahu perkara- perkara yang tidak boleh dilakukan bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini," tambahnya.

07 November 2009

Pameran Raja Kita








KUALA PILAH 6 Nov. - Pameran Raja Kita di Istana Lama Seri Menanti di sini antara program yang menyemarakkan pertabalan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 26 Oktober lalu. Bersempena hari penuh bersejarah itu juga, pameran tersebut sedikit sebanyak memberi peluang kepada rakyat negeri ini mahupun luar mengenali dengan lebih dekat institusi diraja dan keluarga diraja.
Apatah lagi pameran tersebut dilakarkan dengan penuh kesempurnaan atas permintaan Tuanku Muhriz sendiri agar rakyat jelata lebih mengenali baginda dan keluarga diraja.
Secara amnya pameran menyalurkan maklumat dan pengetahuan tentang peranan dan sumbangan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah, meliputi pelbagai aspek yang tinggi nilai warisan sejarah dan estetika.
Antara yang dipamerkan ialah potret baginda dan keluarga, persalinan diraja, salasilah diraja dan replika alat kebesaran diraja seperti payung kuning, tombak berambu, keris panjang, pedang panjang dan tonggol.
Pengisian lain yang menghidupkan pameran itu adalah paparan tentang institusi diraja Negeri Sembilan, biografi, peranan dan sumbangan baginda kepada rakyat Negeri Sembilan, terbuka kepada semua termasuk pengkaji artifak.
Ringkas tetapi padat, sejurus mengunjungi pameran tersebut banyak maklumat yang mampu diperoleh termasuk berkaitan sejarah institusi diraja Negeri Sembilan sejak dari zaman pemerintahan Raja Melewar yang berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera.
Perjalanan menyusuri istana lama untuk mengamati bahan pameran sangat terkesan apatah lagi dengan susun atur yang mengekalkan keasliannya.
Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Drs. Shamsuddin Ahmad berkata, pameran yang bermula sejak 24 Oktober itu akan kekal di muzium tersebut sebagai penghargaan kepada rakyat untuk mengenali raja mereka.
''Bagaimanapun dari semasa ke semasa pihak Muzium Negeri akan menambah bahan termasuk memohon berkenan Tuanku Muhriz bagi mendapatkan koleksi baginda yang lain juga.
''Setakat ini baginda berkenan untuk membenarkan pihak Muzium Negeri menggunakan beberapa koleksi diraja seperti potret dan fotografi keluarga diraja untuk tatapan rakyat jelata," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, selain pameran Raja Kita, turut berlangsung di situ adalah pameran koleksi setem kenang-kenangan bersempena pertabalan Tuanku Muhriz itu.
Setem kenang-kenangan tersebut memaparkan koleksi potret Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani.
''Ini juga satu sudut yang sangat menarik untuk dikunjungi kerana ia memaparkan sedikit sebanyak pembuatan setem tersebut bagi maklumat pengunjung," kata beliau.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, pameran itu diharapkan dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke Negeri Sembilan.
''Pameran Raja Kita merupakan suatu medium yang memberi pendedahan serta merapatkan jurang antara institusi diraja negeri ini dengan rakyat.
''Ia sangat bermanfaat kepada sesiapa saja terutama pelajar dan pengkaji sejarah yang ingin mengenali asal usul institusi diraja negeri ini," kata beliau di sini hari ini.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa induk pameran itu berkata, pameran itu diadakan dalam usaha memelihara dan memartabatkan lagi warisan sejarah yang tinggi nilainya.
Pameran Raja Kita dibuka secara percuma kepada orang ramai setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 6 petang

03 Julai 2009

Kolam buatan jadi tumpuan

PERJALANAN sukar disebabkan jalan raya bengkang-bengkok yang terpaksa ditempuh penulis berbaloi apabila tiba ke Taman Reakrasi Ulu Bendul (TRUB), dekat Kuala Pilah, Negeri Sembilan.Terletak kira-kira 25 kilometer dari Seremban atau lima kilometer dari pekan Kuala Pilah, TRUB menawarkan destinasi percutian keluarga dikelilingi kehijauan hutan lipur.

Kebanyakan pengunjung adalah penduduk tempatan sekitar Seremban atau kampung berhampiran, tetapi ada juga sanggup memandu dari ibu kota ke destinasi ini.Kebanyakan tertarik dengan keluasan kolam mandi buatan yang boleh memuatkan 100 pengunjung.

Ia menarik perhatian pengunjung terutama mereka yang pertama kali datang ke sini. Ada yang datang bersama ahli keluarga berendam seharian. kerana ia seperti menyediakan kolam mandi percuma kepada pelancong.Selain itu, kolam mandi yang lebih selamat untuk kanak-kanak disediakan berhampiran kolam utama sesuai untuk golongan cilik.

Pembinaan kolam berasingan ini memudahkan ibu bapa memantau dan mengawasi anak mereka.Bagi yang mahu mandi-manda di kawasan air terjun dan sungai berbatu, mereka hanya perlu berjalan kira-kira 100 meter dari kawasan kolam mandi itu.

Di sini orang ramai boleh mandi dengan selamat sambil melihat pemandangan hutan lipur yang semula jadi.

Jika mahu mandi di jeram yang lebih dalam, mereka boleh menyusuri sungai itu, tetapi harus berhati-hati ketika melalui kawasan berbatu kerana ia agak licin dan manakala paras airnya lebih dalam.TRUB juga menyediakan lokasi perkhemahan sesuai untuk individu atau mereka yang datang secara berkumpulan.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan mereka antaranya mendaki bukit, meredah hutan, memancing dan menikmati keindahan flora dan fauna.Selepas puas melakukan pelbagai aktiviti, pengunjung boleh membeli pelbagai barangan di gerai di parkir taman rekreasi itu.

Jika mahu makan, mereka boleh menikmati pelbagai juadah di gerai makan berhampiran pintu masuk taman.Seorang pengunjung, Julia Abdullah, 25, berkata dia yang datang dari Seremban menganggap TRUB sebuah taman rekreasi yang indah dan sesuai untuk semua.

Muzium sejarah Yamtuan Besar

ANTARA tahun 1760 dan 1770, kumpulan datuk penghulu luak belayar ke Sumatera untuk mencari raja baru Negeri Sembilan, dari Pagar Ruyung, MinangkabauRaja Pagar Ruyung yang dikhabarkan berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain, menghantar anaknya, Raja Mahmud, kemudian dikenali sebagai Raja Melewar.

Anak raja itu belayar ke Johor untuk mendapatkan perkenan Sultan ketika itu, sebelum ke Negeri Sembilan menerusi Naning. Di sini, baginda ditentang hebat angkatan Bugis diketuai Daeng Kemboja tetapi menewaskannya.

Hanya selepas perang ini, Raja Melewar menjejakkan kaki ke Negeri Sembilan pada 1773 dan ditabalkan sebagai Yamtuan Besar di Kampung Penajis, Rembau.Sebelum berpindah ke Seri Menanti, kampung ini menjadi tapak istana lama, Astana Raja, yang menjadi tempat bersemayam Yamtuan Besar pertama itu.

Untuk menghayati episod paling penting dalam sejarah negeri tanah beradat ini, pengunjung boleh singgah di Muzium Replika Istana Raja Melewar di Kampung Astana Raja, Kota di Rembau. Kurator Muzium Negeri, Shamsudin Ahmad, berkata pembinaan replika di tapak istana itu memberikan maklumat susur-galur pemerintahan negeri itu. Pengunjung akan lebih memahami pemerintahan Undang Luak Rembau, institusi Adat Daerah Rembau serta asal usul Adat Melewar.

Di ruang pertama, ia menempatkan Balai Datuk Undang dan perhiasan Undang untuk majlis rasmi selain peralatan seperti keris dan tombak.Ruang tengah mempamerkan maklumat mengenai sejarah Rembau dan Adat Perpatih.Ruang berkodin (bersaudara) iaitu tempat Datuk Lembaga Adat duduk di tilam khas dengan sekelilingnya direntangkan tabir lingkungan manakala tabir lelangit di bahagian atas.Perhiasan di ruang ini adalah dulang berkaki yang diisi sirih, gambir, kapur, tembakau dan pinang.

Muzium itu dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails