KUALA PILAH 7 Julai - Orang ramai tidak perlu lagi bimbang untuk bermandi-manda di sungai Hutan Lipur Ulu Bendul dekat sini berikutan kawasan perkelahan itu kini sudah dilengkapi sistem penggera yang mampu mengesan kejadian kepala air secara efisien.
Sistem penggera yang dipasang serta direka oleh Jabatan Perhutanan negeri itu berupaya untuk memberi amaran awal kepada pengunjung sekiranya berlaku kenaikan paras air secara mendadak di sungai taman rekreasi berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, inisiatif tersebut dianggap praktikal serta selari dengan hasrat kerajaan negeri dalam usaha memastikan keselamatan pengunjung di kawasan tersebut terus terjamin.
''Saya amat gembira serta ingin mengucapkan tahniah kepada pihak jabatan kerana telah berjaya mencipta sistem yang mampu memberi amaran kepada orang ramai jika air di sungai berhampiran berada pada paras bahaya.
''Jika paras air naik secara mendadak atau berlakunya fenomena kepala air, sistem ini secara efektif mengesannya dan siren akan berbunyi selain lampu amaran turut dinyalakan," katanya.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita pada pelancaran Sistem Amaran Kepala Air di Hutan Lipur Ulu Bendul di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Ariffin.
Jelasnya, sistem yang dihasilkan tanpa menelan belanja tinggi itu telah dipasang di beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi.
''Sistem ini terbahagi kepada dua fungsi iaitu automatik dan manual. Sistem automatik akan mengerakkan siren sebaik air naik secara mendadak, manakala sistem manual pula akan dipantau oleh renjer bertugas sebaik mendapati ada tanda awal akan berlakunya kepala air termasuk hujan lebat," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad turut bercadang untuk memasang sistem seumpama itu di tiga lokasi perkelahan sekitar negeri ini iaitu di Jeram Toi, Jelebu; Jeram Tengkek, Batu Kikir Jempol dan di Lata Kijang, Jelebu.
''Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk tujuan pemasangan di kawasan terbabit dan ia dijangka siap dalam tempoh dua bulan," katanya.
Tambah Mohamad, sistem penggera keselamatan yang direka oleh jabatan berkenaan akan dipatenkan kerana ia berbeza daripada sistem penggera sedia ada.
''Sistem ini lebih murah untuk dihasilkan berbanding sistem sedia ada yang lebih mahal sehingga mencecah jutaan ringgit. Lebih menarik, kos penyelenggaraan juga tidak mahal sekiranya ia rosak," jelasnya.
Pada 3 Mei lalu, tiga kanak-kanak perempuan dihanyutkan arus deras di kawasan perkelahan tersebut dan hanya dua mayat ditemui, manakala seorang lagi gagal dijumpai sehingga hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan