Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, bagi mencapai hasrat tersebut, hanya pembangunan hotel bertaraf lima bintang atau ke atas akan diluluskan di pulau berkenaan dan arahan mengenainya telah pun dikeluarkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Beliau berkata, langkah itu juga akan membantu mengawal kedatangan pengunjung ke Pulau Redang yang kini terlalu ramai sehingga menjejaskan alam sekitar pulau peranginan itu.
''Pulau Redang telah diiktiraf sebagai salah satu pulau tercantik di dunia, jadi usaha ini adalah bagi menjaga alam sekitar di pulau itu.
''Usaha ini akan melihat kedatangan pengunjung dengan standard tinggi dan bukan orang yang bawa bungkusan nasi dan bekalan lain yang kemudian akan mencampak ke merata-rata sehingga menjejaskan alam sekitar," katanya selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-12 di sini hari ini.
Beliau memberitahu, keindahan alam sekitar di pulau berkenaan kini semakin terjejas ekoran kedatangan pelancong yang terlalu ramai.
''Kita juga tidak mahu kedatangan terlalu ramai pelancong kerana ruang dan kawasan di Pulau Redang juga sangat terhad," tambahnya.
Beliau berkata, usaha itu tidak bermakna Terengganu tidak akan dilawati lagi oleh pelancong biasa kerana negeri ini masih terdapat banyak pulau peranginan untuk dikunjungi.
Menurut beliau, antaranya seperti Pulau Kapas di Marang dan Pulau Perhentian di Besut selain Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.
''Ia juga tidak akan menjejaskan pendapatan pengusaha hotel di Pulau Redang kerana permintaan di pulau itu sangat tinggi walaupun ia hanya beroperasi selama sembilan bulan dalam setahun," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan