Kelantan menawarkan pelbagai tempat menarik untuk aktiviti berkelah dan beriadah bersama keluarga lengkap dengan keistimewaan air terjun yang membuatkan kita tidak perlu berfikir panjang untuk bersantai.
Kawasan air terjunnya menjanjikan suasana kedamaian yang bakal meninggalkan kenangan manis kepada setiap pengunjungnya.
Kebanyakan kawasan air terjun yang terdapat di sana terletak dalam jajahan Pasir Puteh (35 kilometer dari Kota Bharu) seperti Jeram Pasu yang terletak di Kampung Padang Pak Amat.
Lokasi itu mudah dikunjungi secara berkenderaan sehingga sampai ke destinasi tersebut.
Air Terjun Jeram Pasu boleh dikatakan sebagai lokasi paling popular kerana airnya yang jernih, sejuk serta nyaman, pastinya memuaskan kunjungan anda.
Selain itu, Jeram Lenang juga merupakan satu lagi destinasi air terjun kegemaran orang tempatan.
Hutan lipur air terjunnya sesuai dijadikan destinasi ideal untuk aktiviti berkelah, berehat, berkhemah serta sesuai untuk aktiviti merentas hutan.
Setelah mengunjungi lokasi tersebut, jika anda menggunakan Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang, kunjungan anda tidak lengkap jika tidak singgah ke Lata Beringin yang terkenal dengan ketinggian air terjunnya setinggi 120 meter.
Menyusuri sungai dan merentas hutan
Pengunjung yang gemar menikmati keindahan panorama hijau pastinya tersenyum puas jika berpeluang menyusuri Sungai Kelantan sambil menyaksikan hutan hujan tropika yang masih belum dicemari.
Sambil itu, kita akan dihiburkan dengan bunyi kicauan burung, unggas dan suasana alam semula jadi sepanjang menyusuri sungai.
Pengunjung boleh melihat aktiviti kehidupan masyarakat yang tinggal berhampiran sungai ketika sedang menjalani kehidupan seharian mereka.
Anda boleh menyusuri sungai dari Jeti Kuala Krai dengan menaiki bot selama dua jam ke Dabong.
Dari lokasi tersebut, beberapa jalan lain boleh digunakan sama ada dengan menaiki keretapi untuk kembali ke Kota Bharu atau terus ke Jelawang untuk memulakan pengembaraan merentas hutan.
Anda boleh bermalam dalam suasana mendamaikan sambil ditemani alam semula jadi dengan hanya menggunakan khemah ataupun menyewa rumah rehat yang disediakan.
Jangan ketinggalan untuk mengunjungi Air Terjun Jelawang yang hanya mengambil masa selama sejam setengah selepas merentasi kawasan hutan belantara yang dipenuhi dengan pelbagai spesies flora dan fauna.
Jalan alternatif lain yang boleh dilalui ialah dengan menempuh perjalanan selama dua jam setengah dari Dabong ke Gua Musang.
Di sini, terletaknya Air Terjun Lata Beringin yang menakjubkan.
Suasana sekeliling yang damai pastinya menjanjikan kepuasan setelah peserta berhempas pulas mendaki.
Gua Musang merupakan salah satu pusat rekreasi Taman Negara yang dianggap sebagai antara kawasan hutan hujan tertua di dunia.
Anda berpeluang melakukan aktiviti berakit serta melawat gua-gua yang terdapat di sana seperti Gua Cha, Gua Gelap, Gua Keris dan Gua Ikan.
Bagi yang ingin mendaki, bolehlah menuju ke Tapak Perkhemahan Kem Baha yang mampu memberikan seribu satu pengalaman yang sangat mencabar kemampuan kerana pengunjung terlebih dahulu perlu mendaki di sepanjang laluan tepi air terjun sebelum tiba di tapak perkhemahan tersebut.
Dari tapak perkhemahan tersebut, pengunjung boleh meneruskan pendakian ke puncak Gunung Stong ataupun Gunung Ayam.
Gunung Stong setinggi 1,433 meter terletak kira-kira 300 kilometer dari Kota Bharu dan digambarkan sebagai lokasi eko-pelancongan terkenal di Malaysia kerana mengalir di kawasan itu adalah air terjun Jelawang setinggi 303 meter yang didakwa sebagai tertinggi di Asia Tenggara.
Menariknya air terjun Jelawang yang mengalir di atas bongkah batu besar di kaki Gunung Stong ini mampu dilihat dari jarak lebih lima kilometer dan menawarkan 'jakuzi' semula jadi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan