|
|
Angin yang bertiup lembut menambahkan lagi keindahan pulau yang tidak pernah lekang dari kunjungan manusia.
Biasanya mereka yang berkunjung ke pulau ini terdiri daripada backpackers, penyelam laut dalam dan ada juga pasangan berbulan madu atau mencari ketenangan yang hakiki.
Selain itu seseorang boleh melakukan aktiviti lain seperti berjalan-jalan di tepian pantai dengan pasir putih dan air jernih bak kristal ataupun melakukan pelbagai aktiviti pantai lain.
Ia menjadi pilihan kepada pencinta skuba berikutan di pulau ini pernah terjadinya kapal karam.
Itulah ungkapan yang boleh dirungkaikan tentang Pulau Kapas yang menghimpunkan pelbagai misteri dan legenda silam.
Namun di sebalik kehebatan dan ketenangan yang bakal ditempuhi, Pulau Kapas juga menyimpan pelbagai cerita misteri dan lisan yang diperturunkan dari satu jenerasi kepada jenerasi.
Antara yang sempat diceritakan ialah mengenai kewujudan dua puteri cantik iaitu Puteri Gemia dan Puteri Kapas yang dikatakan hidup di pulau tersebut beratus tahun yang lampau.
Dua puteri raja ini dikatakan sering bertelingkah kerana masing-masing mendakwa merekalah yang paling cantik dengan mendapat perhatian kaum adam.
Menurut cerita lisan, Puteri Gemia dikatakan agak kurang senang melihat kecantikan paras rupa saudara kandungnya, Puteri Kapas yang cantik serta sering mendapat tempat di hati kaum adam.
Sesungguhnya Puteri Kapas tidak menyangka sama sekali yang Puteri Gemia menyimpan dendam terhadapnya.
Walaupun dia sendiri dapat merasakan yang Puteri Gemia merasa kurang senang dengannya namun Puteri Kapas sendiri tidak tahu apakah puncanya yang menyebabkan Puteri Gemia begitu marah padanya.
Setiap masa Puteri Gemia berusaha untuk menyakitkan hati Puteri Kapas dan hatinya begitu gembira apabila dia berjaya menimbulkan rasa marah Puteri Kapas.
Sebagai saudara seibu sebapa mereka sering bertukar-tukar makanan.
Lantaran sering bertukar-tukar makanan, akhirnya Puteri Gemia mendapat akal untuk menimbulkan kemarahan di hati Puteri Kapas.
Puteri Gemia memberi Puteri Kapas sejenis makanan yang menjatuhkan maruahnya lantas menyuruh beberapa orang pengikutnya memburu seekor babi.
Akhirnya pengikut Puteri Gemia berjaya menangkap seekor babi yang besar.
Puteri Gemia merasa amat gembira dengan kejayaan pengikut-pengikutnya menangkap babi tersebut.
Lalu tanpa membuang masa, Puteri Gemia terus menyembelih babi tersebut.
Setelah semua kerja selesai, Puteri Gemia menyediakan bahan-bahan ramuan untuk membuat lauk.
Setelah menyediakan sajian yang baik serta enak, Puteri Gemia sendiri telah membawa hidangan babi panggang kepada Puteri Kapas.
Tanpa menaruh sebarang syak, Puteri Kapas menerima sajian makanan yang diberikan oleh Puteri Gemia dengan perasaan gembira.
Alangkah terkejutnya apabila Puteri Kapas membuka hidangan tersebut kerana tiba-tiba hidangan yang disediakan adalah seekor babi panggang.
Puteri Kapas sedih mengenangkan perbuatan Puteri Gemia yang sanggup menghinanya sedemikian rupa.
Dia tidak mengerti apakah maksud sebenar di sebalik hidangan yang dibawa oleh Puteri Gemia.
Sambil menahan perasaan hiba dan sebak Puteri Kapas bertanyakan maksud sebenar Puteri Gemia berbuat demikian.
Sambil ketawa, Puteri Gemia menerangkan sudah lama ia berusaha untuk memalukan Puteri Kapas.
Puteri Gemia juga mengakui yang dia memang irihati dengan kecantikan paras rupa yang dimiliki oleh Puteri Kapas.
Dia menuduh Puteri Kapas yang menyebabkan dirinya kurang mendapat perhatian ramai dan bermula dari itulah berlakunya pertengkaran antara dua beradik yang menurut cerita lisan ia dimulakan oleh Puteri Gemia.
Puteri Kapas yang telah lama menahan perasaan sabar, akhirnya bertindak balas dengan melawan serangan Puteri Gemia.
Maka berlakulah pergaduhan besar antara dua puteri raja yang dikatakan menjadi raja pemerintah Marang pada zaman silam.
Semasa pergaduhan tersebut berlaku, Puteri Gemia telah menggunakan sebatan antan padi untuk menyerang manakala Puteri Kapas pula menggunakan sebilah parang berlidah untuk bertindak balas.
Pergaduhan tersebut mengambil masa yang sangat lama. Bagaimanapun tidak ada seorang pun di antara mereka yang mahu mengaku kalah.
Puteri Gemia berusaha mahu mencederakan Puteri Kapas agar kelihatan hodoh manakala Puteri Kapas pula mahu membalas serangan kerana terpaksa membela diri.
Setelah sekian lama bergaduh, akhirnya Puteri Gemia mendapat peluang untuk mengetuk kepala Puteri Kapas dengan antan.
Ini membuatkan Puteri Kapas bertambah berang lalu melakukan serangan secara bertubi-tubi.
Serangan yang dilakukan oleh Puteri Kapas akhirnya berjaya menetak kepala Puteri Gemia dengan mengunakan parang berlidah.
Kepala Puteri Gemia tercampak ke dalam laut dan apabila melihat keadaan tersebut Puteri Kapas begitu gembira kerana berjaya mengalahkan saudaranya yang menyimpan dendam kesumat terhadap dirinya.
Perasaan hina dan malu yang dilakukan oleh Puteri Gemia kini berbaloi.
Bagaimanapun cerita lisan mengenai asal usul pulau ini tidak diketahui bila berlaku kerana ia adalah cerita lisan.
Menurut cerita orang tua setelah pergaduhan itu berlaku kepala Puteri Kapas menjadi lekuk akibat dipukul oleh Puteri Gemia.
Kepala Puteri Gemia yang terputus dua selepas ditetak Puteri Kapas tercampak ke laut dan hanyut ke sebuah pulau yang kini dinamakan Pulau Gemia yang terletak berdekatan dengan Pulau Kapas.
Bentuk Pulas Kapas pula dikatakan lekuk yang kini menjadi tumpuan semua orang kerana inilah tempat mereka melepaskan lelah.
Keindahan dan kedamaian yang terdapat di Pulau Kapas dapat memberi ketenangan jiwa kepada semua pengunjung yang datang.
Bagi sesiapa yang ingin ke pulau ini perjalanan sejauh lima kilometer dari daratan ke pulau ini mengambil masa 15 atau 20 minit bertolak dari Jeti Marang yang terletak di bandar Marang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan