|
|
Tidak kurang menarik untuk dikunjungi ialah Taman Buaya dan Rekreasi Melaka (TBRM) di Ayer Keroh yang terletak kira-kira 11 kilometer dari pusat bandar.
Berpeluang singgah di Melaka tidak sempurna jika tidak berkunjung ke TBRM yang mula dibuka kepada orang ramai pada 1987.
TBRM menjadi salah satu produk pelancongan utama di negeri ini dan menerima pengunjung kira-kira 2,000 orang sehari terutama pada cuti sekolah dan cuti umum.
Di kawasan seluas 3.2 hektar, taman itu mempamerkan spesies buaya yang telah wujud lebih 250 juta tahun lalu.
Kunjungan ke TBRM membolehkan setiap pengunjung melihat dengan dekat pelbagai spesies yang menempatkan 118 ekor buaya tempatan dan luar negara.
Antara spesies yang sering menjadi tarikan pengunjung ke tempat itu ialah buaya Siam, buaya jelujung dan buaya tembaga.
Namun begitu pihak pengurusan yang mengendalikan TBRM menambah satu lagi tarikan ke tempat itu apabila membina Taman Patriotika Malaysia.
Taman Patriotika Malaysia adalah pembinaan kedua terdapat di situ selepas Taman Permainan Air yang dibina sebelum ini mampu memuatkan sehingga 200 orang dalam satu masa.
Pembinaan taman tarikan terbaru itu menempatkan 13 replika bangunan bersejarah dan utama di negara ini seperti bangunan A‘Famosa, Stadhuys, Jambatan Pulau Pinang, Tugu Negara, Menara Berkembar Petronas dan Litar F1 Sepang.
Pembinaan taman mini itu adalah sebahagian daripada usaha pihak pengurusan TBRM untuk menarik pelancong datang ke situ.
Menurut Pengurus Projek Pembangunan TBRM, Ahmad Tarmizi Md. Nozirin, Taman Patriotika Malaysia akan menambah seri dan tarikan kepada orang ramai apabila berkunjung ke tempat itu.
‘‘Taman yang dipenuhi dengan replika mini bangunan kebanggaan negara kita bakal menyerikan lagi TBRM.
‘‘Walaupun ia dibina secara mini, tetapi Taman Patriotika Malaysia ini mampu menjadi tarikan utama pengunjung kerana ia dihiasi sebanyak 13 replika yang penuh dengan warna-warni,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Ahmad Tarmizi, taman yang dibina itu adalah untuk memperkenalkan identiti negara kepada pengunjung yang belum pernah melihat bangunan sebenar melalui replika itu.
Tarikan terbaru itu, katanya, akan menjadikan TBRM bukan sahaja sebagai tempat keluarga beriadah dan bersuka ria tetapi anak-anak kecil boleh mengenali bangunan-bangunan bersejarah melalui replika yang dibina.
Katanya, taman itu kini sudah 90 peratus pembinaannya dan telah dibuka bagi pengunjung.
‘‘Taman ini dijangka siap sepenuhnya pada awal Januari 2010 di samping pembinaan rumah reptilia dan perkampungan budaya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan