|
|
‘‘Kita akan menulis surat kepada Kementerian Pertahanan tentang cadangan untuk menenggelamkan kapal KD Seri Inderapura di dasar laut Pulau Sembilan.
‘‘Usaha ini diharap akan menjadikan Pulau Sembilan sebagai lokasi terbaik bagi para penyelam daripada seluruh dunia berdasarkan ciri-ciri istimewa dan daya tarikannya yang berbeza,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.
Menurut Hamidah, cadangan untuk menenggelamkan kapal terbabit pernah diutarakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.
Terdahulu katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat konsultan, SNR Adventure akan mengadakan projek kesedaran dan pemeriksaan terumbu karang di Pulau Sembilan pada 25 hingga 27 Disember ini.
‘‘Tujuan projek ini ialah untuk mewujudkan kesedaran di kalangan nelayan dan orang ramai tentang usaha yang wajar diambil bagi memastikan terumbu karang atau batu-batu karang hidup di Pulau Sembilan terpelihara daripada bahaya.
‘‘Selain menjalankan kerja-kerja memeriksa keadaan batu karang, mereka akan berusaha menyelamatkan batu-batu karang daripada anasir-anasir yang sering merosakkan kehidupannya seperti jala yang dibuang oleh nelayan,” katanya.
Kata Hamidah, laporan lengkap yang akan diserahkan kepada kerajaan negeri oleh konsultan terbabit akan dijadikan kayu pengukur dalam usaha untuk mengisytiharkan Pulau Sembilan sebagai kawasan perlindungan atau taman negeri.
‘‘Selama ini lokasi ini hanya popular di kalangan kaki pancing tetapi kita mahu memberi nilai tambah kepada industri pelancongan negeri,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah SNR Adventure, Shamsuri Mohd. Yatim berkata, beliau yakin hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Pulau Sembilan sebagai kawasan pilihan para penyelam bakal menjadi kenyataan menerusi usaha yang ditunjukkan.
Malah katanya, langkah menjadikan pulau tersebut kawasan para penyelam bertepatan memandangkan aktiviti menyelam agak terhad pada musim monsun.
‘‘Penyelam yang tidak dapat menyelam di pulau-pulau di Pantai Timur pada musim monsun masih lagi mempunyai pilihan untuk menyelam kerana mereka boleh ke Pulau Sembilan untuk meneruskan aktiviti mereka,” katanya.
Apa yang lebih menarik, katanya, para penyelam dapat mengalami suasana dan kehidupan marin yang berbeza berbanding pulau-pulau di Pantai Timur negara.
‘‘Kuda laut misalnya tidak terdapat di pulau-pulau seperti di Terengganu. Ini boleh dipopularkan sebagai tarikan tersendiri Pulau Sembilan,” kata Shamsuri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan