|
|
KOTA KINABALU 20 Dis. – Sandakan merupakan antara daerah di Sabah yang sangat istimewa kerana menjadi lokasi kepada beberapa pusat pelancongan berunsurkan alam semula jadi.
Antara destinasi popular tersebut ialah Sungai Kinabatangan, Pusat Pemuliharaan Orang Utan dan Pusat Penjelajahan Hutan Hujan (RDC) di Sepilok.
Bagi penduduk Sandakan, mereka sangat bertuah kerana daerah ini masih memiliki alam semula jadi yang terpelihara sehingga memberikan peluang banyak pihak mewujudkan pusat pelancongan baru.
Terbaru ialah pembinaan jambatan gantung atau dikenali sebagai canopy walk di kawasan RDC di Sepilok.
Laluan khas yang dibina oleh Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) tahun lalu itu dianggap satu lagi tarikan untuk melawat negeri di bawah bayu itu khususnya di Sandakan.
Ini sekali gus melonjakkan nama Sandakan sebagai salah sebuah tempat popular bagi melihat pelbagai spesies burung seperti yang terdapat di beberapa negeri di Malaysia.
Pengalaman berada di tengah-tengah hutan dan melihat pemandangan menghijau dari laluan kanopi di kawasan RDC Sepilok, pasti menyeronokkan.
Aktiviti bersiar-siar di situ lebih mudah dengan adanya jambatan kanopi yang dibina sepanjang 147 meter yang menghubungkan menara setinggi 28 meter dengan bangunan di kawasan RDC.
Pemandangan daripada atas jambatan kanopi itu, pengunjung boleh menikmati keindahan hutan Sepilok dengan lebih jelas, khususnya pada waktu pagi kerana pada ketika itu keadaan cuaca agak sejuk dan lembap.
Ketua Bahagian Pengurusan Hutan JPS, Dr. Robert Ong berkata, sejak dibuka kepada umum awal tahun ini, jumlah pengunjung ke RDC semakin bertambah.
‘‘Tarikan pengunjung ke RDC sekarang ialah laluan kanopi yang telah kita sediakan kepada orang ramai. Ia dibuka kepada pengunjung bermula pada pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.
‘‘Terdapat sebanyak 250 spesies burung seperti kenyalang, pittas, burung raja udang atau pekaka boleh dilihat dengan jelas dari kawasan kanopi ini,” katanya.
|
|
Beliau berkata, kemudahan baru yang terdapat di RDC termasuk laluan kanopi itu dibina dengan kos sebanyak RM2 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri menerusi Jabatan Perhutanan Sabah.
Menurut Ong, pembinaan keseluruhan kemudahan baru tersebut mengambil masa lebih lima bulan untuk siap sepenuhnya.
Kemudahan lain ialah restoran, kedai cenderamata dan ruang khas untuk tetamu kenamaan.
Ong berkata, selain peluang merasai pengalaman bersiar-siar di laluan kanopi, pihaknya turut menggalakkan orang ramai terutama ibu bapa agar membawa anak-anak mereka ke RDC.
Ini kerana, katanya, RDC yang ditubuhkan pada Ogos 2007 dan dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi itu adalah sebuah pusat pembelajaran khususnya berkaitan pemuliharaan alam sekitar.
‘‘RDC sangat sinonim dengan peranannya sebagai pusat pembelajaran alam sekitar di Sabah. JPS sendiri telah mewujudkan sebuah unit pembelajaran alam sekitar (EE) dan menerusi unit ini kami telah mengadakan banyak program mengenai kepentingan alam sekitar kepada para pelajar di seluruh Sabah.
‘‘Kami amat berbangga melihat sambutan terhadap program EE dan ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa orang ramai terutama generasi muda semakin mengambil berat soal alam sekitar,” ujarnya.
Menurutnya, kejayaan ini sekali gus menjadikan RDC sebuah pusat pembelajaran alam sekitar yang paling terkenal di Sabah.
Sebagai contoh, katanya, pada 2007, seramai 3,484 pelajar daripada sekolah dalam dan luar negara telah menyertai program EE.
Bagi yang berminat menyertai program EE, mereka akan dikenakan yuran sebanyak RM2 seorang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan