|
|
Bazar tersebut yang merupakan sebahagian projek Enklaf Muslim itu menempatkan 50 gerai menjual pelbagai barangan seperti aksesori, cenderamata, barangan antik, makanan kering dan pelbagai fesyen pakaian.
Penganjuran bazar di Lebuh Buckingham yang juga terletak di dalam Tapak Warisan Dunia itu juga diharap mampu menghidupkan kembali kawasan yang merupakan salah satu tempat menarik di negeri ini kepada orang ramai.
Bazar yang didirikan di atas tanah wakaf oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dengan kerjasama UDA Land (North) Sdn. Bhd. itu diwujudkan bagi mengoptimumkan penggunaan tanah wakaf yang mampu menjana ekonomi umat Islam.
Jika sebelum ini agak sukar untuk melihat peniaga-peniaga bumiputera menjalankan perniagaan terutama dalam kawasan bandar Georgetown, namun dengan pembukaan Bazar Malam Lebuh Buckingham ia mampu mengubah senario itu.
Yang Dipertua MAIPP, Shabudin Yahaya berkata, bazar malam itu merupakan salah satu projek Enklaf Muslim iaitu program penjenamaan semula kawasan tanah wakaf sejajar usaha menjadikan ia pusat perniagaan berdaya saing.
Menurutnya, projek yang sebelum ini dikenali dengan Enklaf Melayu itu merangkumi pembangunan semula kawasan perniagaan dalam lingkungan tiga masjid tertua dan bersejarah di situ iaitu Masjid Kapitan Keling, Masjid Alimsah Waley dan Masjid Melayu Lebuh Acheh.
Jelasnya, masjid-masjid yang penuh nostalgia itu menjadi titik fokus kepada MAIPP dalam mewujudkan enklaf itu melalui keseimbangan aktiviti ekonomi dan keagamaan sekali gus mengembalikan era perdagangan Islam di Pulau Pinang.
‘‘Usaha sama itu turut merangkumi pengurusan premis wakaf, mempromosi kawasan berkenaan, menentukan konsep perniagaan yang bersesuaian serta menaik taraf bangunan yang dimiliki MAIPP di kawasan itu.
.
|
|
‘‘Melalui pusat enklaf ini juga MAIPP mahu memberi peluang kepada segenap lapisan usahawan Islam untuk bersaing secara sihat supaya mereka mampu menjana pendapatan wakaf secara optimum.
‘‘Selaras dengan penjenamaan semula kawasan itu, nama Enklaf Melayu kini dikenali sebagai Enklaf Muslim,” katanya yang turut bersyukur kerana projek bagi membantu golongan bumiputera dalam bandar ini dapat dilaksanakan.
Kawasan Enklaf Melayu telah beroperasi sejak tiga tahun lalu selepas selesai projek pemuliharaan dan pembangunan semula dengan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) sebanyak RM40 juta.
Dalam pada itu, Shabudin berkata, tujuan utama MAIPP melaksanakan pembangunan sama ada melalui proses baik pulih atau pembangunan secara keseluruhannya di atas tanah wakaf adalah bagi memastikan peningkatan komuniti Muslim di kawasan bandar.
Tambahnya, penyediaan kediaman mampu milik dan ruang kegiatan ekonomi adalah bertujuan untuk membangunkan sosioekonomi masyarakat Islam serta selaku pemegang amanah yang dipertanggungjawabkan, justeru, usaha ke arah itu akan terus dipergiatkan.
‘‘Umat Islam sebenarnya ‘kaya’ dengan tanah wakaf yang boleh dijadikan modal untuk memperkasa dan membangunkan ekonomi menggunakan kekuatan yang ada tanpa mengharapkan bantuan atau simpati orang lain.
‘‘Hakikatnya, tanah wakaf adalah aset sebenar umat Islam yang perlu digembleng dan dimanfaatkan sepenuhnya kerana ia mempunyai nilai yang tinggi dan boleh digunakan untuk pembangunan yang mampu mendatangkan pelbagai hasil ekonomi,” ujarnya.
Pada masa yang sama, katanya lagi, pembangunan tanah wakaf untuk kediaman dan premis perniagaan sebenarnya mampu mengatasi banyak masalah antaranya sosial, politik dan ekonomi di kalangan umat Islam secara sekali gus.
Beliau berkata, di Pulau Pinang sendiri terdapat banyak tanah wakaf termasuk di kawasan Georgetown yang mempunyai nilai yang tinggi dan jika dibangunkan ia boleh mencipta peluang bagi orang Islam untuk terus menetap dan berniaga di kawasan bandar.
1 ulasan:
Aslkm,hai,salam ziarah,nice blogging,tapi nak ajak/please visit blog terbaru ni http://metroskandal.blogspot.com ,n jgn lupe linkkn blog ni,ok bye
Catat Ulasan