Perjalanan 10 hingga 15 minit menyusuri Tasik Bukit Merah dari jeti ke Pulau Orang Utan menggunakan bot bagaikan tidak terasa malah pengunjung pasti tertawan saat menjejakkan kaki di situ apabila melihat gelagat dan telatah lucu Orang Utan yang pasti mencuit hati mereka yang melihatnya.
Kewujudan pulau itu diilhamkan sejak 1999 melalui Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar selepas disuarakan mantan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan sebuah pusat memelihara Orang Utan bagi menyelamatkan spesies itu.
Pulau Orang Utan seluas 14 hektar itu digerakkan oleh Yayasan Pulau Orang Utan bagi memelihara haiwan itu selain memantau kelahiran anak Orang Utan.
Sehingga kini, Pulau Orang Utan dilengkapi pelbagai kemudahan semula jadi bagi memastikan 24 haiwan itu hidup dengan selesa, seolah-olah di kawasan habitat semula jadinya.
Pengurus Perkhidmatan Veterinar, Dr D Sabapathy, berkata Orang Utan yang ditempatkan di pulau itu berasal dari Borneo.
Beliau berkata, Orang Utan di sini ditempatkan dalam empat fasa berbeza bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dalam persekitaran sebenar di hutan selain mengelak kematian.
"Di Pulau Orang Utan ini, pengunjung dapat melihat proses membesarkan anak Orang Utan sejak dilahirkan.
"Anak Orang Utan yang baru dilahirkan jika dibiarkan bersama ibunya, ia mudah mendapat pelbagai penyakit," katanya yang mengakui Orang Utan boleh hidup sehingga usia 60 tahun.
Orang Utan di pulau terbabit diuruskan melalui empat fasa berbeza iaitu, pertama anak Orang Utan akan ditempatkan di dalam bilik seperti wad pediatrik.
Fasa dua membolehkan anak Orang Utan belajar kemahiran memanjat, mencari makanan dan membina tempat tinggal sebelum meletakkan mereka di pinggir hutan.
Orang Utan yang dikenal pasti boleh hidup berdikari kemudian akan dilepaskan ke fasa empat bagi membolehkan mereka hidup bersama kelompok dewasa di hutan sebenar.
Pengunjung yang melawat ke Pulau Orang Utan ini pasti tertanya-tanya mengapa pengunjung pula berada di sangkar sedangkan Orang Utan bebas bergerak di luar, tetapi itulah keunikan tempat ini berbanding zoo.
Melalui laluan bersangkar itu, pengunjung dapat merasai pengalaman dan mempelajari kehidupan Orang Utan secara lebih dekat.
Dr D Sabapathy berkata, yayasan itu turut menubuhkan Pusat Penyelidikan Orang Utan dengan kerjasama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) atau saintis yang berminat menyelidik mengenai spesies haiwan unik itu.
Menurutnya, ia sesuai dijadikan pusat khusus yang boleh membantu penuntut IPT di peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran menjalankan aktiviti praktikal mereka yang membabitkan Orang Utan.
"Kita menerima ramai pelajar IPT sama ada dari dalam atau luar negara yang menjalankan penyelidikan berkaitan Orang Utan.
“Jadi, jika berkunjung ke Bukit Merah Laketown Resort untuk bersantai bersama keluarga, jangan lupa melihat kehidupan Orang Utan di pulau ini bagi menambah pengetahuan," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan