Apatah lagi pameran tersebut dilakarkan dengan penuh kesempurnaan atas permintaan Tuanku Muhriz sendiri agar rakyat jelata lebih mengenali baginda dan keluarga diraja.
Secara amnya pameran menyalurkan maklumat dan pengetahuan tentang peranan dan sumbangan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah, meliputi pelbagai aspek yang tinggi nilai warisan sejarah dan estetika.
Antara yang dipamerkan ialah potret baginda dan keluarga, persalinan diraja, salasilah diraja dan replika alat kebesaran diraja seperti payung kuning, tombak berambu, keris panjang, pedang panjang dan tonggol.
Pengisian lain yang menghidupkan pameran itu adalah paparan tentang institusi diraja Negeri Sembilan, biografi, peranan dan sumbangan baginda kepada rakyat Negeri Sembilan, terbuka kepada semua termasuk pengkaji artifak.
Ringkas tetapi padat, sejurus mengunjungi pameran tersebut banyak maklumat yang mampu diperoleh termasuk berkaitan sejarah institusi diraja Negeri Sembilan sejak dari zaman pemerintahan Raja Melewar yang berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera.
Perjalanan menyusuri istana lama untuk mengamati bahan pameran sangat terkesan apatah lagi dengan susun atur yang mengekalkan keasliannya.
Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Drs. Shamsuddin Ahmad berkata, pameran yang bermula sejak 24 Oktober itu akan kekal di muzium tersebut sebagai penghargaan kepada rakyat untuk mengenali raja mereka.
''Bagaimanapun dari semasa ke semasa pihak Muzium Negeri akan menambah bahan termasuk memohon berkenan Tuanku Muhriz bagi mendapatkan koleksi baginda yang lain juga.
''Setakat ini baginda berkenan untuk membenarkan pihak Muzium Negeri menggunakan beberapa koleksi diraja seperti potret dan fotografi keluarga diraja untuk tatapan rakyat jelata," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, selain pameran Raja Kita, turut berlangsung di situ adalah pameran koleksi setem kenang-kenangan bersempena pertabalan Tuanku Muhriz itu.
Setem kenang-kenangan tersebut memaparkan koleksi potret Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani.
''Ini juga satu sudut yang sangat menarik untuk dikunjungi kerana ia memaparkan sedikit sebanyak pembuatan setem tersebut bagi maklumat pengunjung," kata beliau.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, pameran itu diharapkan dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke Negeri Sembilan.
''Pameran Raja Kita merupakan suatu medium yang memberi pendedahan serta merapatkan jurang antara institusi diraja negeri ini dengan rakyat.
''Ia sangat bermanfaat kepada sesiapa saja terutama pelajar dan pengkaji sejarah yang ingin mengenali asal usul institusi diraja negeri ini," kata beliau di sini hari ini.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa induk pameran itu berkata, pameran itu diadakan dalam usaha memelihara dan memartabatkan lagi warisan sejarah yang tinggi nilainya.
Pameran Raja Kita dibuka secara percuma kepada orang ramai setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 6 petang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan