|
LALUAN kanopi Walkway dibina pada 1992 di Taman Negara oleh Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara pada tahun 1992.
Haluan kanopi Taman Negara ini merupakan yang terpanjang di Malaysia dan di dunia dengan keluasan 530 meter dan ketinggian 50 meter.
Ia dibina dengan kabel besi dan jubah berkualiti tinggi serta tali yang kukuh dan mampu menampung berat lebih dari 5 tan dan kabel besi lebih dari 10 tan.
Ia tidak menggunakan paku yang mampu merosakkan pokok yang ada, hanya ruang kayu dipenuhi kabel dan tali.
Laluan kanopi itu juga merupakan jambatan antara kanopi dengan hutan yang menghubungkan pusat pentas atau sekitar pokok sebagai laluan ke kawasan hutan bagi tujuan penyelidikan.
Pokok tinggi yang melepasi kanopi hutan hujan tropika secara purata mampu mencapai 45 hingga 55 meter dan untuk sesetengah spesies daripadanya boleh mencapai ketinggian 60 hingga 70 meter.
Mengikut kajian, 40 peratus spesies flora dan fauna di dunia dan 25 peratus daripada keseluruhan spesies serangga dipercayai tinggal di dalam hutan hujan tropika.
Selalunya pengunjung atau pelancong hanya melihat kanopi itu tanpa menyedari siapa di sebalik pembuatnya.
Baru-baru ini, beratus pengunjung di Taman Negara bertuah kerana dapat melihat sendiri kehebatan anak-anak muda belasan tahun bergayut membina Kanopi Walkway di Taman Negara.
Menurut Pengarah Urusan Aremes Sdn. Bhd., Rathuan Md. Som, 46, berkata, syarikatnya telah di beri kepercayaan untuk membaik pulih dan membina laluan baru setinggi 40 hingga 50 meter.
Dengan kepakaran dan pengalaman sebelum ini, Aremes Sdn. Bhd. juga berjaya membina laluan kanopi di Taman Negara, Kuala Koh, Gua Musang sejauh 420 meter dan Taman Negara Pulau Pinang sepanjang 40 meter.
"Kerja-kerja seperti ini memerlukan peralatan yang diperakui ISO nya dan diiktiraf di seluruh dunia.
"Antaranya seperti tali kerja sintetik lanex yang boleh menampung beban sehingga 1,000 kilogram. Harnesses, connector atau carabiners, chain lock super cable, pullery sling, topi dan kasut keselamatan," katanya.
Bagi bahan-bahan binaan kanopi itu memerlukan peralatan 100 peratus pengiktiraan ISO 9001, SIRIM, terdiri dari kabel utama untuk kekuatan ikatan, bahan FRP untuk platform kanopi, tangga alluminium dan boltnuts SS304.
Bukan mudah untuk membina sebuah kanopi lebih-lebih apabila berhadapan dengan cabaran angin ribut, hujan, tempat bergantung dalam keadaan licin dan bila-bila masa sahaja boleh mengundang bahaya.
Namun semua cabaran tersebut dihadapi manusia terpilih yang tabah untuk melakukan kerja-kerja seperti itu.
Ketua tapak projek, Azmi Abdul Aziz, 46, berkata, tempoh siap sesebuah kanopi mengambil masa antara dua hingga enam bulan bergantung kepada geografi setempat dan panjang laluan.
Selain itu, tenaga pekerja juga perlu diutamakan. Oleh itu Syaikat Aremes tidak bergantung kepada pekerja luar kerana percaya tenaga tempatan lebih rajin, patuh dengan arahan dan mempunyai keazaman yang kuat untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
"Pekerja-pekerja mahir kami terdiri dari 100 peratus rakyat Malaysia dari belia-belia yang dilatih sejak setahun lalu dan terdapat juga pekerja dari golongan Orang Asli yang kini sudah memeluk agama Islam," jelasnya.
Menurut, Mohd Shukri Abdul Rahman, 32, yang merupakan pekerja paling senior dan banyak pengalaman dalam kerja-kerja pembinaan kanopi berkata, kerja seperti ini lasak, mencabar dan merbahaya.
"Ajal maut di tangan tuhan. Tetapi inilah usaha yang kami lakukan demi untuk menyara hidup anak dan isteri tersayang.
"Antara risiko proses pembinaan kanopi ialah seperti serangan lebah tualang yang boleh menyebabkan maut," ujarnya.
Tambahnya, Shukri sebelum ini pernah bekerja dalam bidang pembalakan dan ia banyak membantunya mengenali kehidupan dalam hutan.
Rutin harian, Shukri dan rakan-rakan seharian adalah pada awal pagi mereka memasak untuk sarapan dan membawa bekalan untuk makanan tengah hari.
Mohamad Faizal Ahmad Sobri, 23, dari Kedah memilih pekerjaan seperti ini untuk menguji kesabaran dan mencari cabaran.
"Sememangnya pekerjaan seperti ini mencabar dan kadang kala menggerunkan. Tetapi lama-kelamaan ia menyeronokkan dan boleh memberikan satu kepuasan dalam bidang kerjaya," katanya..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan