Bagi mereka yang pertama kali berkunjung ke Miri, tidak sah jika tidak berkunjung ke Tamu Muhibbah yang terletak di tengah-tengah bandar raya ini.
Terletak di Jalan Padang, Tamu Muhibbah bukan sahaja terkenal di kalangan masyarakat tempatan bahkan pelancong dalam dan luar negara.
Bertepatan dengan namanya, tamu yang dibuka lebih 20 tahun itu memang muhibah kerana ia menempatkan peniaga yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang mewakili kira-kira 27 etnik di kawasan ini.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam pasar, pengunjung akan dapat melihat pelbagai gelagat para peniaga berbilang etnik seperti Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Kedayan, Melayu dan Cina yang sibuk melayan pembeli.
Bagi pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki ke Tamu Muhibbah akan mendapati ia terbahagi kepada dua blok iaitu bahagian hadapan yang menjual sayur, daging, tanaman dan buah-buahan.
Manakala di bahagian belakangnya, pasar itu turut menjual produk kering seperti belacan, beras, bakul dan buah-buahan bermusim.
baru-baru ini mendapati, para peniaga bukan sahaja datang dari Miri, malah sebahagian daripada mereka berasal dari Sibu, Marudi, Baram dan Batu Niah.
Di Tamu Muhibbah, peniaga berkenaan menjual pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan, beras tempatan termasuk beras Bario yang menjadi tempat jualan utama beras berkenaan di bandar ini.
Selain itu, garam bukit, produk laut seperti cencaluk dan belacan serta sayur hutan yang segar dibawa dari kawasan pedalaman di sekitar bahagian Miri juga terdapat di pasar tersebut.
Pendek kata, jika mahu mengenali kepelbagaian kaum dan keunikan makanan di Miri, Tamu Muhibbah adalah tempat yang paling ideal untuk dikunjungi.
Pasar yang dikendalikan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) itu dibuka setiap hari seawal pukul 6 pagi hingga 7 malam.
Namun suasana pagi di tamu berkenaan lebih menarik berikutan gelagat riuh-rendah para peniaga kerana pada masa itu penjual dan pemborong sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil ternakan dari kawasan lain sibuk melakukan urusan jual-beli.
Keriuhan serta bunyi bising kenderaan menjadikan Tamu Muhibbah begitu ‘hidup’ terutama pada setiap hujung minggu.
Bagi mereka yang pertama kali berkunjung ke bandar ini, pasti terpinga-pinga apabila mendengar perbualan antara pembeli dan peniaga yang menggunakan pelbagai bahasa pertuturan seperti Iban, Kayan, Cina dan Melayu.
Dalam pada itu, Tamu Muhibbah juga menjual pelbagai produk makanan yang unik, berwarna warni dan sesetengahnya dianggap pelik serta aneh oleh pelancong.
Antara hasil hutan pula yang boleh ditemui di sini ialah dabai, terung iban (masam, bulat dan berwarna kuning), paku midin, cendawan liar, rebung, beras bukit termasuk beras pulut yang berwarna hitam, putih, merah dan perang.
Harga beras Bario dari Ba’ Kelalan dan Bario dijual paling mahal iaitu RM35 untuk 3.5 kilogram manakala beras tempatan antara RM28 hingga RM30.
Di samping itu, pengunjung berpeluang membeli udang, ketam, siput dan ikan dari sungai, ikan terubuk, ayam kampung serta pelbagai buah-buahan tempatan seperti buah salak, nanas, mangga, durian, langsat, pisang dan buah keranji.
Bagi pengunjung yang sekadar datang melawat Tamu Muhibbah, mereka berpeluang untuk mengambil gambar sebagai koleksi kenangan mengenai keunikan suasana di pasar itu.
Umpamanya pengunjung boleh mengambil gambar wanita tua Orang Ulu yang dihiasi tatu pada bahagian lengan, kaki dan leher pasti menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Sementara itu MBM sentiasa menyelenggara Tamu Muhibbah untuk memastikan keselesaan para peniaga mahupun pengunjung.
Datuk Bandar MBM, Lawrence Lai berkata, Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam (KASKA) negeri baru-baru ini meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada MBM bagi menaik taraf semua tamu dan pasar besar di bandar raya ini.
Katanya, setakat ini terdapat 10 tamu dan pasar besar di bawah bidang kuasa MBM antaranya Tamu Muhibbah, Krokop 5 dan Krokop 10.
‘‘Semua tamu dan pasar berkenaan akan dinaik taraf sepanjang tahun ini. Projek menaik taraf ini bertujuan memastikan tamu dan pasar bersih, selesa dan mampu menarik pelancong,” katanya.
Menurut Lawrence, tamu dan pasar merupakan antara tarikan dan tempat yang kerap dikunjungi pelancong dan pelawat ke Miri kerana keunikan barangan dan produk yang dijual selain penjualnya yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Dalam konteks ini, beliau turut menyeru penjual dan orang awam agar bersama-sama memainkan peranan untuk memastikan tempat awam itu sentiasa bersih dan selesa untuk dikunjungi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan