Sebuah peralatan terkini yang dikenali sebagai Giroskop diletakkan berdekatan dengan gerai Kumpulan Utusan memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai pengalaman itu.
Menariknya, dengan menaiki Giroskop milik Petrosains Sdn. Bhd. (Petrosains) itu, seseorang dapat merasai pengalaman sebenar di angkasa lepas tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Giroskop tersebut berputar dalam tiga dimensi yang pada masa sama membuatkan seseorang hilang segala pertimbangan berat badan dan arah.
Bagaimanapun, ia tidak memberikan sebarang kesan sampingan kerana selepas menuruni Giroskop, tubuh badan akan kembali stabil.
Menurut seorang murid, Mohd. Shakir Hazan Abdul Jalil, 11, dia begitu teruja dan seronok kerana berpeluang menaiki Giroskop.
"Apa yang dapat saya katakan ialah seronok sangat kerana sebelum ini hanya baca daripada buku sahaja mengenai pengalaman di angkasa lepas.
''Bagaimanapun hari ini apabila diberi peluang, saya rasa seronok dengan badan terapung-apung di udara," katanya yang merupakan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Saint Thomas di sini.
Tambahnya, dia tidak merasa sebarang ketakutan kerana peralatan tersebut bukan sesuatu yang menakutkan.
"Tidak takut tetapi seronok sangat. Badan pun dalam keadaan biasa dan tidak rasa pening atau mabuk seperti yang dijangkakan sebelum saya mencuba," jelasnya yang datang bersama rombongan sekolah ke festival tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan