|
|
Namun, dalam kebanyakan pasar sehari di negeri Kedah, terdapat sebuah yang dianggap unik iaitu di Kampung Berjaya di sini.
Ia beroperasi pada setiap hari Jumaat bermula dari pagi sehingga tengah hari.
Kenapa unik? Ini kerana Pasar Sehari Kampung Berjaya merupakan satu-satunya tempat peniaga menjual barangan lama, antik atau klasik yang tidak terdapat dijual di lain-lain pasar sehari dalam negeri Kedah.
Tinjauan Utusan Malaysia ke pasar itu baru-baru ini mendapati ia cukup dikenali di kalangan peminat barangan antik yang bukan sahaja terdiri daripada penduduk sekitar bandar raya Alor Setar, malah ramai juga yang datang dari negeri berhampiran iaitu Perlis, Pulau Pinang dan Perak.
Biar pun ia dikenali dengan pelbagai nama selain Pasar Sehari Kampung Berjaya seperti Pasar Jumaat kerana beroperasi hanya pada hari tersebut dan Pasar Unik, tumpuan orang ramai tidak berubah, malah semakin ramai mengunjunginya.
Antara barangan lama yang dijual di pasar berkenaan ialah barangan rumah antik seperti lampu zaman 1950-an dan 60-an, peralatan basikal atau gerek tua, kamera, alat muzik dan aksesori termasuk jam tangan klasik dan sebagainya.
Walaupun lama, barangan tersebut ternyata masih menjadi tumpuan ramai, malah ada yang dijual sehingga mencecah harga ribuan ringgit kerana kesukaran untuk mendapatkannya dan keunikan serta keaslian barangan tersebut.
Seorang pengunjung, Shamsudin Abdul Halim berkata, pasar tersebut banyak memberi manfaat kepada penggemar barangan lama khususnya yang masih mengumpulkan pelbagai koleksi barangan.
"Sebagaimana saya, seorang ahli Getuas (Persatuan Gerek Tua Kota Setar), saya dan ahli-ahli persatuan sering mengadakan aktiviti di sini kerana tempat ini memang sesuai untuk berkumpul.
"Ini kerana selain berkumpul membincangkan aktiviti, ahli-ahli persatuan dapat mencari barangan atau alat ganti basikal atau gerek milik kami yang tidak dijual di kedai-kedai pada masa kini," tambah beliau.
Seorang lagi pengunjung, Mansor Shaari, memberitahu, pasar tersebut kini mendapat sambutan memberangsangkan disebabkan produk yang dijual menepati kehendak pelanggan.
"Di sini, segala barangan lama yang sukar untuk dicari boleh ditemui, malah ia kini bernilai dan menjadi rebutan ramai," tambah beliau.
Kata beliau, sewajarnya pihak berkenaan memberi tumpuan untuk mempromosikan pasar tersebut kerana ia boleh menjadi tarikan kepada orang luar untuk mengunjungi bandar raya Alor Setar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan