


1.Muzium Kesenian Islam Malaysia
Minat terhadap kesenian Islam telah mula berkembang sejak beberapa tahun yang lalu. Menyedari akan hal ini, muzium ini disempurnakan pada tahun 1998, lantas menjadikan Malaysia tuan rumah muzium kesenian Islam yang terbesar di Asia Tenggara.
Bangunan muzium ini merangkumi kawasan seluas 30,000 meter persegi dan terletak di kawasan yang segar menghijau di Taman Tasik Perdana Kuala Lumpur.
Muzium Kesenian Islam Antarabangsa ini mengandungi lebih dari tujuh ribu bahan artifak dan sebuah perpustakaan yang mengandungi sejumlah besar buku yang berkaitan kesenian Islam.
Bahan-bahan artifak seni yang dipamerkan terdiri dari objek sekecil perhiasan yang indah hingga ke salah sebuah model Masjidil Haram yang terbesar di dunia.
Objektif muzium ini adalah untuk mempamerkan koleksi kesenian Islam yang benar-benar mewakili keseluruhan dunia Islam. IAMM memberikan penekanan kepada hasil kesenian dari Asia dan tidak bertumpu semata-mata kepada hasil seni dari Parsi dan Timur Tengah.
Hasil seni dari negara China dan Asia Tenggara juga banyak terdapat di sini. Komponen ketiga terutama di dalam masyarakat Malaysia ialah India yang juga telah diberikan penghormatan yang sepatutnya. Malahan dunia India, China dan Melayu membentuk kategori eksklusifnya yang tersendiri.
Bahan-bahan artifak yang lain pula dipamerkan di 12 buah galeri lain berdasarkan jenis artifak tersebut dan bukan tempat asalnya.
Laman web: www.iamm.org.my
2. Taman Tasik Perdana
Taman Tasik Perdana yang lebih dikenali sebagai 'Lake Gardens' merupakan taman yang tertua dan paling popular di Kuala Lumpur. Ianya terletak di pinggir bandar raya Kuala Lumpur dan merupakan tempat di mana warga Inggeris dahulu mendirikan rumah-rumah kediaman mereka.
Landskap semulajadinya dengan tanah yang beralun dan laluan pejalan kaki yang cantik menyediakan destinasi riadah untuk warga kota. Tarikan utama taman ini ialah tasiknya yang dikelilingi pokok-pokok yang segar menghijau, membentuk kawasan taman yang seluas 92 hektar (227 ekar) yang mempunyai suasana nyaman.
Terokai kawasan tertutup di Taman Burung dan Taman Rama-Rama yang berdekatan atau nikmati keindahan di Taman Rusa dan Taman Orkid, yang boleh dikunjungi dengan berjalan kaki atau menaiki bas yang berulang-alik di kawasan ini.
Dari taman-taman ini, anda juga boleh melawat tarikan berdekatan seperti Tugu Negara, Planetarium dan Muzium Kesenian Islam Antarabangsa.
3. Muzium Negara
Muzium Negara ialah muzium yang memberikan maklumat perihal budaya, warisan dan sejarah negara.
Muzium Negara yang sekarang ada ini, sebenarnya adalah tapak Muzium Selangor yang dibina pada 1898.
Setelah kemerdekaan negara daripada Britain pada 31 Ogos, 1957, kerajaan persekutuan telah membina muzium baru di tapak tersebut.
Muzium Negara telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong III Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada 31 Ogos 1963.
Di kawasan muzium, terdapat beberapa harta negara seperti istana Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu yang dibina pada 1884. Istana Satu itu dibina sepenuhnya daripada kayu cengal dan dibina semula di kawasan muzium pada 1974.
Tarikan lain di kawasan muzium termasuk, patung Sir Francis Light yang membuka Pulau Pinang selain kereta kabel pertama dari Bukit Bendera di Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan