Doakan saya
Assalamualaikum wbt.
Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:
1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.
2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.
3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.
4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.
5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.
6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.
7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.
8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.
9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.
Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.
Amin..........
Blog lain
Malaysia Secara Ringkas
Sejarah menarik; sejak abad ke-15 ketika Melaka merupakan sebuah pelabuhan dagangan penting, telah membentuk Malaysia menjadi sebuah negara beraneka budaya yang berbeza. Percutian ke Malaysia membuahkan pengalaman manis dengan penduduknya yang amat mesra, sementara kemudahan moden yang tersedia memastikan percutian anda mudah dan selesa. Mengenali Malaysia, bererti mencintai Malaysia - negara yang tersohor dengan pilihan makanan, kepelbagaian hutan hujan berusia jutaan tahun, bangunan pencakar langit yang canggih dan pesta pelbagai warna yang gemilang.
Muat turun Risalah: Percutian Menarik
Wahai rakyat Malaysia, peliharalah kemerdekaan dengan sebaik-baiknya supaya Malaysia kekal makmur & selamat dilawati oleh pelancong luar. MERDEKA!!!!!
Selamat menyambut kemerdekaan ke 54
"Transformasi Berjaya,Rakyat Sejahtera"
Carian pintas artikel pelancongan pilihan anda
WOW!!
I love Malaysia!!!!!!!
03 Jun 2012
Penginapan selesa seperti di rumah
28 Januari 2012
Uniknya Balung River Eco Resort
Percutian menyeronokkan bermaksud bukan hanya dapat menikmati keindahan panorama sesuatu tempat dilawati itu, tetapi juga jika kita berpeluang melakukan pelbagai aktiviti yang disediakan oleh pihak resort.
Bagi yang pernah ke Balung River Eco Resort, Tawau, Sabah, pusat percutian itu menawarkan pakej percutian unik berbanding dengan resort-resort lain di negara ini.
Selain menawarkan penginapan selesa kepada pengunjung, Balung River Eco Resort juga mengusahakan tanaman pertanian di resort berkenaan di kawasan seluas 1,295 hektar.
Antara tanaman yang diusahakan adalah kelapa sawit, koko, kopi, kayu jati, serai, pandan, gaharu dan pelbagai jenis ulam serta buah-buahan seperti buah naga, ciku, manggis, limau dan lada.
Lebih menarik, bagi kaki pancing mereka dibenarkan melayan joran di kolam buatan khas di situ.
Justeru, peluang mengunjungi Balung River Eco Resort dan mengikuti lawatan khas di kawasan ladang di situ memang menyeronokkan.
Terdapat dua cara untuk sampai ke Balung River Eco Resort iaitu pertama, menggunakan pengangkutan udara. Dari Lapangan Terbang Tawau, pelancong perlu menempuh perjalanan sejauh 28 kilometer selama setengah jam untuk sampai ke resort itu.
Pilihan kedua pula melalui pengangkutan darat yang kebanyakannya menjadi pilihan pengunjung tempatan.
Pengurus Pemasaran dan Jualan Balung River Eco Resort, Julita Reuben Osman berkata, pengunjung akan dibawa melawat kilang memproses hasil produk dari ladang seperti jus mengkudu, herba misai kucing dan gula kabong atau gula merah.
Menurutnya, sebahagian besar tanaman seperti kelapa sawit, jus mengkudu, herba misai kucing, gula kabung, buah naga dan salak dikomersialkan di pasaran tempatan dan luar negeri.
''Sambutan produk dari resort ini sangat menggalakkan dan kita telah dapat menembusi pasaran Jepun. Ia juga menjadi kegunaan pihak resort seperti kopi dan minuman herba lain.
''Selain itu, pengunjung boleh membeli produk-produk keluaran kami. Ia istimewa kerana sebahagian daripadanya tidak dijual di pasaran seperti misai kucing," katanya kepada S2 baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, idea mewujudkan resort berkonsepkan ladang itu diilhamkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Mohd. Salleh.
Keistimewaan lain yang terdapat di resort itu adalah kemudahan bilik penginapan yang selesa untuk percutian individu atau bersama keluarga .
Turut disediakan gelanggang badminton, bola sepak, tapak perkhemahan, kolam renang, restoran, karaoke dan surau.
Inisiatif pengurusan resort berkenaan patut dipuji kerana menyediakan perkhidmatan dua dalam satu iaitu sebuah pusat percutian indah dan menarik serta mampu pula mengusahakan tanaman pertanian di dalamnya.
14 Januari 2012
Terokai budaya sebenar Sabah
Selain lokasinya yang menarik perhatian ramai pengunjung tempatan dan asing, Sabah turut terkenal dengan kebudayaan yang unik.
Biarpun suku kaum Kadazandusun merupakan suku kaum dominan di Sabah yang kebanyakannya tinggal di Ranau, Keningau, Tambunan, Kundasang, Inanam, Tuaran, Kuala Penyu, Kota Marudu dan Kudat, banyak lagi suku kaum lain yang mewarnai Sabah, sekali gus melahirkan budaya yang unik untuk dihayati bersama.
Bagi mereka yang ingin melihat dengan lebih dekat mengenai kebudayaan yang terdapat di Sabah, anda tidak perlu berjalan ke seluruh negeri tersebut.
Apa yang perlu dilakukan hanyalah luahkan masa ke Kampung Budaya Mari-Mari yang terletak di Inanam.
Kampung Budaya Mari-Mari menghimpunkan pelbagai khazanah kebudayaan yang terdapat di Sabah dalam satu kawasan.
Walaupun ia kelihatan seperti sebuah muzium, ia hidup dengan kemeriahan pelbagai aktiviti yang mengagumkan termasuk pameran suku-suku etnik Sabah.
Pengembaraan kebudayaan Borneo
Kampung Budaya Mari-Mari terletak kira-kira 25 minit perjalanan dari bandar Kota Kinabalu dan sepanjang perjalanan ke sana, pengunjung berpeluang melihat pemandangan menarik dengan kehijauan gunung-ganang serta langit yang membiru.
Setibanya ke destinasi tersebut maka secara tidak langsung, pengembaraan kebudayaan telah pun bermula.
Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa untuk mengunjungi destinasi ini, pengunjung perlu menempah tiket masuk terlebih dahulu melalui syarikat-syarikat pelancongan atau ejen-ejen pelancongan yang sah.
Setelah mendaftar di kaunter hadapan, pengunjung akan dibawa melepasi sebuah jambatan gantung merentasi alur sungai yang pasti akan mengingatkan anda pada lagak pengembaraan lasak Indiana Jones.
Apabila tiba di penghujung jambatan, sebuah perkampungan akan kelihatan dan anda akan tiba ke sebuah rumah tradisional milik suku kaum Kadazandusun yang merupakan etnik utama di Sabah.
Rumah tersebut dibina sepenuhnya menggunakan buluh dan kayu.
Setiap pengunjung berpeluang merasai kehidupan seharian penghuni dalam rumah tersebut dan boleh berjalan di sekitar dan melihat kediaman unik itu.
Melihat bilik-bilik dan bagaimana mereka hidup dengan barang-barang etnik sebenar terletak di sekitar rumah.
Setelah puas melihat rumah tersebut, pengunjung akan dibawa keluar melalui pintu belakang dan dibawa melihat demonstrasi secara langsung bagaimana orang Kadazandusun memasak menggunakan dapur kayu arang.
Dengan hanya menggunakan sebatang buluh berongga saiz duit syiling 20 sen, makanan enak boleh disajikan setelah ia dibakar seperti lemang.
Antara demonstrasi lain yang boleh disaksikan di bahagian tersebut ialah seperti cara-cara menghasilkan tuak tradisional atau tapai, cara mendapatkan madu lebah dan cara menghidupkan api menggunakan keratan buluh yang telah dipotong halus.
Selepas itu, pengunjung akan dibawa melihat rumah tradisional yang mengagumkan.
Rumah tersebut yang dibina bersaiz panjang sering didiami oleh orang Kadazandusun yang cenderung untuk hidup dalam komuniti banyak keluarga di bawah satu bumbung.
Reka bentuk rumah tersebut ibarat rumah panjang milik suku kaum Iban di Sarawak.
Ketika memasuki rumah tersebut, pengunjung akan disajikan dengan alunan muzik tradisional yang dimainkan oleh penduduk tempatan.
Bergerak lebih jauh ke dalam kawasan perkampungan tersebut, pengunjung akan melihat kawasan perkampungan kaum ketiga terbesar di Sabah iaitu kaum Murut.
Suatu ketika dahulu, kaum Murut lebih dikenali sebagai Headhunters of Sabah dan menurut kepercayaan spiritual, seorang lelaki hanya boleh berkahwin selepas dia menyampaikan sekurang-kurangnya satu kepala bagi keluarga gadis idamannya.
Istimewanya di rumah panjang milik kaum Murut ini terdapatnya satu platform ampungan yang unik. Ia dibina di tengah-tengah rumah panjang sebagai lantai khas yang boleh melantun seperti spring untuk tujuaan tarian Lansaran.
Selain itu, pengunjung turut dibawa melawat ke sebuah banglo kayu yang dikenali sebagai rumah Bajau.
Menariknya, sebahagian besar rumah ini terutama bumbung dan dinding menggunakan daun nipah yang dianyam.
Di bahagian dalamnya pula, terdapatnya baju perkahwinan yang digunakan dalam majlis perkahwinan tradisional dengan pelbagai warna-warni.
Akhirnya, pengunjung akan dibawa menyaksikan pertunjukkan kebudayaan di mana persembahan tradisional etnik diadakan.
Pelbagai suku kaum akan mempamerkan tarian masing-masing kepada pelawat-pelawat dan jika anda membeli pakej lengkap, anda akan disajikan dengan hidangan makan tengah hari atau makan malam.
Untuk maklumat lanjut mengenai pakej yang disediakan di Kampung Budaya Mari-Mari, sila hubungi First Borneo Discovery Travel & Tours, (Yamin-0198728206) atau email kepada yamie1944@yahoo.com.my.
25 Jun 2011
'Syurga' Shangri-La Rasa Ria Tuaran
PEMANDANGAN dari udara Shangri-La Rasa Ria Tuaran yang cantik dan mempesonakan. |
30 April 2011
Penginapan bajet di Pulau Mabul
KELENGKAPAN menyelam boleh didapati pelancong yang mahu melakukan aktiviti itu. |
Keindahan dari anjung
02 April 2011
Puas bercuti di Pulau Tiga Resort
SI kecil pasti gembira bercuti di Pulau Tiga Resort berpeluang memegang ular. |
Keunikan lokasi baru skuba di Semporna
Sabah 101 Dive Treasures beri peluang jurufoto dasar laut teroka lokasi baru. |
30 Oktober 2010
Memorial Perang Dunia Kedua(Kundasang)
07 Jun 2010
Keajaiban berterusan Pulau Sipadan
| Sebut sahaja Pulau Sipadan di Sabah, bukan hanya rakyat Malaysia mengenalinya namun, pulau yang terletak di pantai timur Sabah itu memang terkenal di seluruh dunia. |
Pulau Sipadan pernah menggemparkan negara ekoran kejadian penculikan 21 orang yang terdiri daripada pelancong dan juga pekerja resort oleh puak pemisah Abu Sayyaf pada 23 April 2000.
Namun kejadian itu tidak pernah melengangkan pulau yang menjurus naik dengan kedalaman kira-kira 600 meter dari dasar laut.
Menariknya, pulau itu terus menjadi tumpuan oleh penyelam skuba dari seluruh dunia sehinggakan ada yang terpaksa menempuh perjalanan selama 21 jam hanya untuk menyelam di situ.
Memang tepat ungkapan legenda selam skuba dunia berbangsa Perancis, Jacques Yves Cousteau ketika berada di pulau berkenaan sekitar tahun 1980-an yang mengatakan: "Saya pernah menyaksikan tempat lain sama seperti Sipadan, tapi itu 45 tahun lalu. Kini kita jumpa kembali satu kawasan selaman yang belum lagi terusik."
Ungkapan itu berjaya mempopularkan Pulau Sipadan hingga ke hari ini walaupun pihak berkuasa membuat keputusan untuk mengarahkan semua resort yang ada di pulau berkenaan ditutup berkuat kuasa 31 Disember 2004.
Hasil daripada itu, kerajaan negeri turut mengarahkan Taman-Taman Sabah (TTS) yang menguruskan pulau berkenaan bersama-sama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah untuk mengehadkan kemasukan pelancong ke pulau yang juga merupakan santuari utama penyu di Sabah.
Langkah itu menyaksikan hanya 120 penyelam skuba termasuk pelancong dibenarkan berada di pulau itu dalam masa sehari bagi meneruskan lestari pulau yang berada di perairan Celebes itu.
"Langkah kerajaan itu merupakan keputusan tepat dalam memulihara Pulau Sipadan dan ia akan diperkukuhkan lagi melalui penyediaan satu pelan pengurusan yang mantap," kata Pengarah TTS, Paul Basintal selepas Majlis Penutupan Ekspedisi Saintifik Marin Taman Pulau Sipadan di Pulau Mabul, baru-baru ini.
Menurut Paul, dengan ketiadaan resort dan juga had kemasukan pelancong ke pulau tersebut, hasil kajian saintifik ekspedisi itu menunjukkan satu perubahan positif terhadap kesan biologi dan fizikalnya.
"Antara kesan positif yang diperoleh penyelidik ketika ekspedisi itu adalah pertambahan ikan terumbu karang dan tiadanya gangguan terumbu karang yang dapat menjaga kepentingan sekitar perairan pulau itu sebagai kawasan pemakanan penyu," katanya.
Tinjuan Utusan Malaysia ke Pulau Sipadan baru-baru ini turut menyaksikan beberapa spesies marin mega yang menjadi ikon pulau itu kembali berlegar-legar di beberapa lokasi selaman terkemukanya.
FLORA dan fauna marin yang ada di Pulau Sipadan berjaya menarik penyelam skuba dari seluruh dunia. |
Antara spesies berkenaan ialah ratusan alu-alu (Sphyraena barracuda) yang sering berlegar-legar dalam kumpulan di lokasi Barracuda Point sementera bayan gergasi (Bolbometopon muricatum) dan cupak (Caranx sexfasciatus) terus berada di South Point.
Selain semua spesies tadi, pelbagai jenis ikan yu dan juga penyu turut setia menyerikan Pulau Sipadan selain keadaan terumbu karang keras dan lembut masih utuh walaupun terjadi insiden tongkang melanggar batu karang di Barracuda Point pada tahun 2006 sehingga merosakkan kawasan seluas 372 meter persegi.
Sementara di atas pulau itu pula, TTS sudah membina kawasan rehat setempat untuk pengunjung selain membersihkan saki baki runtuhan peninggalan resort lama yang dilihat berjaya mengindahkan pulau itu.
Malah, pembinaan tandas moden yang memusatkan sistem kumbahan dilihat mampu mengurangkan impak alam sekitar di pulau yang turut menjadi santuari serta persinggahan burung migrasi.
Mengulas mengenai pelan pengurusan pulau itu, Paul berkata, pelan itu kelak akan memfokuskan pengurusan mesra alam dalam memastikan pemuliharaan secara berterusan hidupan marin, flora dan fauna di pulau itu.
Kata Paul, langkah merangka pelan pengurusan itu selaras dengan pewartaan pulau Sipadan sebagai taman pada Oktober 2009 di bawah Enakmen Taman-Taman 1994.
"Pelan pengurusan itu kelak bakal menjadi panduan untuk mengurus kawasan taman ini secara lebih sistematik dalam memulihara khazanah yang terdapat di pulau itu secara berterusan," katanya dengan menambah data saintifik berbentuk biologi dan fizikal yang diperoleh sepanjang ekspedisi itu akan dijadikan garis panduan dalam menyediakan pelan pengurusan tersebut.
19 Januari 2010
Via Ferrata Gunung Kinabalu tertinggi di dunia
Laluan besi mengelilingi sebahagian puncak gunung itu yang dibangunkan Mountain Torq Sdn. Bhd. dibuka pada Disember 2007 untuk pendaki yang mahukan aktiviti pendakian yang lebih mencabar.
Perkara itu diumumkan Pengarah Jualan dan Pemasaran Mountain Torq, Quek I-Gek ketika majlis penyerahan sijil Guinness World Records kepada Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Azizan Nordin.
Sijil itu disampaikan Pengasas dan Pengarah Eksekutif Mountain Torq, Wilfred Tok pada satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Via Ferrata adalah laluan di kawasan pergunungan yang terdiri daripada tangga, alat pemegang dan kabel yang dipasang pada permukaan batu.
I-Gek ketika ditemui selepas majlis itu berkata, selain tertinggi di dunia, Via Ferrata tersebut merupakan yang pertama di Asia.
"Via Ferrata mula diperkenalkan di pergunungan Itali sekitar 1843. Kini terdapat lebih 300 Via Ferrata di seluruh dunia dan kebanyakannya di Itali, Jerman dan Perancis.
"Guinness World Records mengambil masa lebih setahun untuk menentukan Via Ferrata tertinggi di dunia adalah terletak di Gunung Kinabalu," katanya.
I-Gek menjelaskan, Via Ferrata menawarkan sukan ekstrem pergunungan yang selamat kerana ia merekodkan jumlah kemalangan paling sedikit dan pendaki dilindungi insurans sepenuhnya.
Tambahnya, di samping boleh menikmati panorama menakjubkan, pengunjung juga akan diberikan sijil.
"Sejak pembukaannya, lebih 5,000 pendaki berjaya mengharungi pendakian menggunakan laluan besi ini.
"Kami menyediakan dua jenis laluan besi.
"Bagi pendaki baru, kami menyarankan mereka mengharungi laluan 430 meter yang mengambil masa dua hingga tiga jam," ujarnya.
Bagi pendaki berpengalaman, jelasnya, mereka boleh mencuba laluan sepanjang 1.2 kilometer yang memakan masa hampir lima jam.
Bagaimanapun, menurut I-Gek, pengalaman hebat itu hanya boleh dilalui oleh pendaki yang mempunyai ketinggian melebihi 130 sentimeter.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai laluan besi itu boleh melayari laman web www.mountaintorq.com.
21 Disember 2009
Tarikan baru Sepilok gamit pelancong
| |
| Laluan kanopi yang dibina menghubungkan menara di RDC Sepilok menjadikannya tarikan terbaru bagi industri pelancongan di Sabah. – Gambar Jabatan Perhutanan Sabah |
KOTA KINABALU 20 Dis. – Sandakan merupakan antara daerah di Sabah yang sangat istimewa kerana menjadi lokasi kepada beberapa pusat pelancongan berunsurkan alam semula jadi.
Antara destinasi popular tersebut ialah Sungai Kinabatangan, Pusat Pemuliharaan Orang Utan dan Pusat Penjelajahan Hutan Hujan (RDC) di Sepilok.
Bagi penduduk Sandakan, mereka sangat bertuah kerana daerah ini masih memiliki alam semula jadi yang terpelihara sehingga memberikan peluang banyak pihak mewujudkan pusat pelancongan baru.
Terbaru ialah pembinaan jambatan gantung atau dikenali sebagai canopy walk di kawasan RDC di Sepilok.
Laluan khas yang dibina oleh Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) tahun lalu itu dianggap satu lagi tarikan untuk melawat negeri di bawah bayu itu khususnya di Sandakan.
Ini sekali gus melonjakkan nama Sandakan sebagai salah sebuah tempat popular bagi melihat pelbagai spesies burung seperti yang terdapat di beberapa negeri di Malaysia.
Pengalaman berada di tengah-tengah hutan dan melihat pemandangan menghijau dari laluan kanopi di kawasan RDC Sepilok, pasti menyeronokkan.
Aktiviti bersiar-siar di situ lebih mudah dengan adanya jambatan kanopi yang dibina sepanjang 147 meter yang menghubungkan menara setinggi 28 meter dengan bangunan di kawasan RDC.
Pemandangan daripada atas jambatan kanopi itu, pengunjung boleh menikmati keindahan hutan Sepilok dengan lebih jelas, khususnya pada waktu pagi kerana pada ketika itu keadaan cuaca agak sejuk dan lembap.
Ketua Bahagian Pengurusan Hutan JPS, Dr. Robert Ong berkata, sejak dibuka kepada umum awal tahun ini, jumlah pengunjung ke RDC semakin bertambah.
‘‘Tarikan pengunjung ke RDC sekarang ialah laluan kanopi yang telah kita sediakan kepada orang ramai. Ia dibuka kepada pengunjung bermula pada pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.
‘‘Terdapat sebanyak 250 spesies burung seperti kenyalang, pittas, burung raja udang atau pekaka boleh dilihat dengan jelas dari kawasan kanopi ini,” katanya.
| |
| Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Jeanne Abdullah ketika merasmikan pembukaan RDC Sepilok, Sandakan pada Ogos 2007. |
Beliau berkata, kemudahan baru yang terdapat di RDC termasuk laluan kanopi itu dibina dengan kos sebanyak RM2 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri menerusi Jabatan Perhutanan Sabah.
Menurut Ong, pembinaan keseluruhan kemudahan baru tersebut mengambil masa lebih lima bulan untuk siap sepenuhnya.
Kemudahan lain ialah restoran, kedai cenderamata dan ruang khas untuk tetamu kenamaan.
Ong berkata, selain peluang merasai pengalaman bersiar-siar di laluan kanopi, pihaknya turut menggalakkan orang ramai terutama ibu bapa agar membawa anak-anak mereka ke RDC.
Ini kerana, katanya, RDC yang ditubuhkan pada Ogos 2007 dan dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi itu adalah sebuah pusat pembelajaran khususnya berkaitan pemuliharaan alam sekitar.
‘‘RDC sangat sinonim dengan peranannya sebagai pusat pembelajaran alam sekitar di Sabah. JPS sendiri telah mewujudkan sebuah unit pembelajaran alam sekitar (EE) dan menerusi unit ini kami telah mengadakan banyak program mengenai kepentingan alam sekitar kepada para pelajar di seluruh Sabah.
‘‘Kami amat berbangga melihat sambutan terhadap program EE dan ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa orang ramai terutama generasi muda semakin mengambil berat soal alam sekitar,” ujarnya.
Menurutnya, kejayaan ini sekali gus menjadikan RDC sebuah pusat pembelajaran alam sekitar yang paling terkenal di Sabah.
Sebagai contoh, katanya, pada 2007, seramai 3,484 pelajar daripada sekolah dalam dan luar negara telah menyertai program EE.
Bagi yang berminat menyertai program EE, mereka akan dikenakan yuran sebanyak RM2 seorang.
19 Disember 2009
Via Ferrata Gunung Kinabalu tertinggi di dunia
Laluan tersebut yang dibina oleh Mountain Torq Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat yang berpangkalan di Itali direkod mempunyai ketinggian 3,776 meter dari aras laut.
Pengumuman oleh Guinness World Records (GWR) dibuat semalam dan sijil pengesahan diserahkan kepada Timbalan Pengarah Taman Sabah, Dr. Jamili Nair dalam satu majlis di Menara Tun Mustapha, di sini.
Turut menyaksikan ialah Pengasas dan Pengarah Eksekutif Mountain Torq, Wilfred Tok dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Seri Tengku Zainal Adlin.
Wilfred ketika ditemui pemberita berkata, GWR mengambil masa enam bulan untuk mengesahkan Via Ferrata di Gunung Kinabalu adalah yang paling tinggi di dunia.
Jelasnya, keputusan itu dimaklumkan Julai lalu setelah ketinggiannya mengatasi Via Ferrata di Permatang Marmolada Barat, Itali yang merupakan tertinggi sebelum ini iaitu 3,343 meter dari aras laut.
"Anugerah ini amat bermakna dan berharap akan mempromosi lagi Via Ferrata di Gunung Kinabalu. Sejak beroperasi pada 15 Disember 2007, lebih 5,000 orang telah menggunakannya," katanya. Via Ferrata dalam perkataan Itali bermaksud jalan besi iaitu laluan di kawasan pergunungan yang mengandungi tangga, alat pemegang dan kabel yang dipasang pada permukaan batu.
Utusan Malaysia difahamkan terdapat lebih 300 Via Ferrata di seluruh dunia dan kebanyakannya di Itali, Jerman dan Perancis.
Wilfred berkata, masih ramai pengunjung tidak mengetahui kewujudan laluan unik tersebut yang menyajikan panorama indah terletak tidak jauh dari puncak Gunung Kinabalu.
Sementara itu, Tengku Zainal Adlin berkata, pengiktirafan tersebut dijangka menambah lagi bilangan pelancong khususnya dari dalam dan luar negara yang meminati aktiviti lasak.
Katanya, Via Ferrata itu akan menjadi satu lagi tarikan ke gunung tersebut selain keunikan alam semula jadinya yang memang menjadi pilihan utama pengunjung.
Via ferrata (atau laluan besi dalam bahasa Itali), sebenarnya adalah suatu laluan di sisi gunung yang menggunakan talian, kabel dan peralatan lainnya untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Terdapat lebih 300 laluan via ferrata di seluruh dunia, dan via Gunung Kinabalu, Malaysia.
Ini adalah pertama kali sukan mendaki via ferrata diperkenalkan di Asia. Puncak tertinggi via ferrata bermula pada 3,400 meter dan berakhir pada 3, 800 meter. Suatu aktiviti yang boleh dilakukan oleh semua, via ferrata ini turut direka agar mereka yang tiada pengalaman pendakian juga dapat mengikuti laluan permukaan batu yang terdapat di sini.
Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang perlu diikuti untuk memastikan anda dapat melakukan aktiviti pendakian via ferrata ini, antaranya mempunyai tahap kesihatan yang baik, dapat mendaki sehingga 3,200 meter dalam tempoh 6 jam, sekurangnya berumur 10 tahun dan ketinggian 1.3 meter, serta tidak gayat (atau ingin mengatasi perasaan gayat!).
Ini adalah suatu aktiviti yang mencabar, dan mereka yang ingin lakukan aktiviti via ferrata di Gunung Kinabalu boleh mengikuti laluan pendaki pemula. Laluan ini akan memberi peluang kepada pendaki baru untuk meniti di laluan dinding granit Gunung Kinabalu (perjalanan ini sekitar 2- 3 jam).
Laluan seterusnya akan memberi peluang kepada pendaki mengikuti laluan selama 4- 5 jam, yang sekaligus menjanjikan pemandangan indah dari ketinggian gunung. Adakah anda bersedia untuk mengikuti cabaran ini?Cubalah aktiviti pendakian via ferrata di Gunung Kinabalu!
(*Imej adalah ehsan dari Mountain Torq)