1 Malaysia

1 Malaysia
Peliharalah keamanan negara

MERDEKA! MERDEKA!

Doakan saya

Assalamualaikum wbt.


Semasa saya di Sekolah Permata Pintar, saya menyeru semua pengunjung blog ini doakan saya semoga:


1. Berjaya dengan keputusan cemerlang dalam setiap ujian semester SPM terutama yang diadakan bulan Mac dengan A.


2. Diberi kefahaman tinggi dalam memahami pelajaran SPM terutama elektif sains & universiti.


3. Lepasi skor ujian TOFEL(ujian bahasa inggeris), supaya dapat ambil ujian SAT & akhirnya ke universiti di Amerika Syarikat atau London dalam kerjaya saintis.


4. Lindungilah saya supaya sentiasa di bawah penjagaan Allah swt.


5. Diberi kejayaan mewakili apa-apa pertandingan seperti genius olimpiad atau sebagainya di peringkat antarabangsa atau kebangsaan serta sukan sekali.


6. Diberi ketaqwaan yang tinggi.


7. Kalau tidak dapat sekalipun ke AS, doakan saya supaya result SPM saya serta O & A level excellent supaya dapat kerjaya tinggi lumayan & belajar di overseas.


8. Doakan saya juga semoga tidak lalai mengingati Allah swt apabila saya berjaya nanti & dapat menggunakan kebijaksanaan serta kejayaan gemilang itu ke arah jalan Allah swt & Rasul demi meninggikan syariat islam & menyumbang kemajuan di Malaysia setaraf negara barat. Hal ini kerana saya merupakan aset harapan negara. Insya-Allah. Kalau ingin islam & Malaysia maju, doakan saya.


9.Kepada sesiapa yang doakan saya & dimakbulkan Allah swt, Dia akan balas kalian semua dengan balasan ganjaran dunia akhirat.


Untuk pengetahuan semua, saya akan belajar syllabus SPM aliran sains tulen & universiti seperti algebra, calculatus, bahasa jepun & perancis.

Amin..........

Blog lain

Malaysia Secara Ringkas

Sejarah menarik; sejak abad ke-15 ketika Melaka merupakan sebuah pelabuhan dagangan penting, telah membentuk Malaysia menjadi sebuah negara beraneka budaya yang berbeza. Percutian ke Malaysia membuahkan pengalaman manis dengan penduduknya yang amat mesra, sementara kemudahan moden yang tersedia memastikan percutian anda mudah dan selesa. Mengenali Malaysia, bererti mencintai Malaysia - negara yang tersohor dengan pilihan makanan, kepelbagaian hutan hujan berusia jutaan tahun, bangunan pencakar langit yang canggih dan pesta pelbagai warna yang gemilang.

Muat turun Risalah: Percutian Menarik

Wahai rakyat Malaysia, peliharalah kemerdekaan dengan sebaik-baiknya supaya Malaysia kekal makmur & selamat dilawati oleh pelancong luar. MERDEKA!!!!!

Selamat menyambut kemerdekaan ke 54

"Transformasi Berjaya,Rakyat Sejahtera"

Carian pintas artikel pelancongan pilihan anda

WOW!!

The wonders of places and the best Asia destination

I love Malaysia!!!!!!!

Memaparkan catatan dengan label Pahang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pahang. Papar semua catatan

22 Mei 2012

Bukit Fraser syurga pemerhati burung


Menerusi lensa binokular, pengunjung berpeluang menghayati keindahan flora dan fauna yang terdapat disekitarnya.
MEMERHATI burung merupakan kegiatan masa lapang yang mudah dinikmati oleh orang ramai tidak kira usia.
Berbekalkan hanya sebuah binokular, pakaian yang sesuai bagi meredah belantara dan kasut getah memudahkan golongan 'Birder' memerhati sang unggas dari jarak yang lebih dekat.
Kaedah menggunakan sistem jam memudahkan si pemerhati burung ini menyesuaikan keselesaan mengikut kemampuan mata mereka menerusi lensa teropong.
Biasanya, selepas mendengar kicauan burung, si pemerhati akan menggunakan bahasa isyarat sistem jam seperti "atas pokok itu pukul 12, pukul 6, tengah pukul 9 atau pukul 3" sebelum memfokuskan binokular yang dibawa.
Selepas puas melihat haiwan berwarna-warni ini, Birder akan mencatatkan nama burung berkenaan diatas sebuah diari peribadi ataupun mengambil gambar burung tersebut sebelum ia hilang dari pandangan mata kasar.
Dari catatan tersebut dan gambar yang telah diambil memudahkan pemerhati burung pengenal pasti burung tersebut pada masa akan datang.
Antara catatan yang sering dicatitkan dalam nota kecil itu seperti spesis burung, tarikh, habitat, lokasi atau sekadar mencatatkan sebanyak mungkin butiran mengenai burung yang telah dilihat.
Sebaik yang mungkin, pemerhati burung akan mengawal pergerakan mereka tanpa sebarang bunyi bising bagi mengelakkan burung yang telah dikesan terbang ke lokasi lain.
Oleh yang demikian, apabila sebut sahaja Bukit Fraser, destinasi pelancongan ini pastinya digemari ramai lebih-lebih lagi buat si pemerhati burung dan pencinta alam.
Menurut sejarah, resort kolonial British lama ini telah ditemui oleh Louise James Fraser yang berasal dari Scotland pada 1890.
Dari kawasan lombong bijih timah dan emas, kini Bukit Fraser lebih dikenali ramai sebagai kawasan eko-pelancongan yang semakin dikunjungi ramai sekaligus menjadikan destinasi tersebut sebagai bandar asli British terakhir di Malaysia.
Terkenal dengan jolokan nama sebagai Little England, kebanyakan daripada bangunan-bangunan lama yang terdapat disana masih dikekalkan sehingga ke hari ini.
Buat mereka yang pertama kali melawat ke sana, pasti tertanya-tanya apa tarikan yang terdapat di Bukit Fraser selain berpeluang lari dari kesibukan kota raya.
Bersuhu sederhana dari 18 hingga 21 celsius membolehkan pengunjung menikmati udara segar dikelilingi kawasan hijau.
Bagi penulis, memerhati burung hijrah merupakan aktiviti kemuncak yang boleh dilakukan pengunjung kerana di sini terdapat lebih daripada 250 spesis burung telah dikenal pasti.
Untuk mereka yang gemar melakukan aktiviti meredah hutan, terdapat lapan trek semulajadi boleh diterokai di sana.
Antaranya seperti Hemmant Trail, Bishop's Trail, Pine Tree Trail, Maxwell Trail, Mager Trail, Kindersley Trail, Rompin Trail dan Abu Suradi Trails.
Di tengah pusat bandar Bukit Fraser, terdapat sebuah menara jam lama yang dijadikan ikon lokasi ini.
Pengunjung pastinya tidak akan melepaskan peluang bergambar di menara jam itu sebagai tanda kenangan.

Air Terjun Telaga
Jika pengunjung bergerak lima kilometer dari pusat bandar Fraser, para pelawat boleh mengunjungi kawasan Air Terjun Jeriau.
Kawasan perkelahan ini yang dipulihara oleh majlis perbandaran tempatan menjadikan kawasan ini lokasi strategik untuk meluahkan masa bersama keluarga.
Di sekeliling kawasan air terjun tersebut, pengunjung berpeluang menikmati keindahan panorama hutan tropika subur.
Selain Air Terjun Jeriau, 15 kilometer dari lokasi itu masih terdapat sebuah lagi kawasan pelancongan unik yang dipanggil dengan nama Air Terjun Telaga yang lebih cantik jika dibandingkan dengan Air Terjun Jeriau.
Bagi mereka yang berminat untuk melihat keindahan flora dan fauna yang terdapat di sekitar Bukit Fraser bolehlah mencuba menerokai kawasan ini dengan melakukan aktiviti memerhati burung.
Rhinoceros hornbill, mountain tailorbird, mountain imperial pigeon, silver eared mesia, long tailed sibia dan chestnut capped thrush merupakan antara spesis burung yang mudah dilihat di Bukit Fraser.
Maka tidak hairanlah mengapa acara Fraser's Hill International Bird Race mendapat sambutan setiap tahun sehingga pernah salah seorang daripada pemenang acara itu berjaya mengenal pasti, melihat dan mencatitkan 70 spesis burung dalam masa 24 jam.

11 Februari 2012

Terokai keindahan air terjun Jerangkang





PAHANG amat kaya dengan keindahan alam semula jadi flora dan fauna yang berpotensi dieksploitasi bagi tujuan peningkatan ekonomi penduduknya.
Dua tasik semula jadi iaitu Tasik Bera dan Tasik Chini serta 25 hutan lipur dan lapan air terjun di negeri ini sering menjadi kegilaan pencinta alam untuk berkelah, berekreasi dan bersantai bersama rakan serta keluarga.
Bagi tujuan bersantai dan berekreasi di hujung minggu atau hari kelepasan am, para pencinta alam semula jadi dan yang berjiwa adventure biasanya akan memilih beberapa lokasi air terjun di negeri ini untuk melakukan pelbagai aktiviti.
Antaranya lokasi Air Terjun Jerangkang yang terletak berdekatan dengan Kampung Gelugor, Maran.
Walaupun masih terdapat lokasi air terjun lain seperti Air Terjun Berkelah, Air Terjun Sungai Pandan, Air Terjun Pelangi, Sungai Lembing, Air Terjun Chamang (Bentong), Air Terjun Lata Jarum, Air Terjun Pulau Chekas (Raub), Air Terjun Teladas dan Air Terjun Lubuk Yu, namun kunjungan ke Air Terjun Jerangkang pastinya meninggalkan kenangan yang tersendiri.
Menikmati keindahan semula jadi
Pengunjung dari Kuala Lumpur boleh menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur untuk ke Maran.
Setibanya di Masjid Kampung Gelugor, yang merupakan lokasi pintu masuk ke Air Terjun Jerangkang, pengunjung perlu menggunakan perkhidmatan jentera 4x4 yang biasanya disediakan oleh penduduk sekitar untuk masuk ke sana.
Kebanyakan jentera 4x4 hanya boleh memuatkan enam orang pengunjung bagi setiap perjalanan. Ada juga kumpulan penggemar rekreasi memilih menaiki lori yang boleh memuatkan lebih banyak penumpang.
Perjalanan masuk ke Air Terjun Jerangkang bakal membawa pengunjung merentasi kawasan ladang getah dan hutan belantara selama hampir setengah jam.
Selepas itu, pengunjung perlu berjalan dan mendaki selama setengah jam hingga 45 minit menaiki anak tangga dan jalan berbatu untuk menuju ke kawasan tapak perkhemahan.
Ketika berjalan, pengunjung akan disajikan dengan pemandangan air terjun bertingkat yang dipenuhi dengan pelbagai khazanah alam semula jadi.
Dianggarkan ketinggian kawasan perkhemahan ini adalah sekitar 395 meter (1185 kaki) dan setibanya ke kawasan perkhemahan, pengunjung bebas memilih lokasi yang sesuai untuk mendirikan khemah.
Setelah khemah siap dipasang, peserta boleh memasak dan biasanya menu seperti barbeku, nasi putih, sardin, telur dadar dan ayam goreng menjadi pilihan buat mereka yang suka berkhemah.
Selesai menjamu selera, acara terjun tiruk pastinya menjadi pilihan buat mereka yang boleh berenang memandangkan kejernihan airnya memukau setiap pengunjung yang datang.
Suasana sekeliling yang damai memang menjanjikan kepuasan setelah peserta berhempas pulas mendaki.
Keindahan Air Terjun Jerangkang sangat mengasyikkan malah amat sesuai dijadikan sebagai destinasi berekreasi, berkhemah serta buat mereka yang mahu lari daripada kesibukan kota raya. Di situlah, mereka akan mendengar nyanyian unggas dan bagi yang gemar fotografi, inilah juga lokasinya.
Pengunjung pasti akan terpesona dengan aliran sungai yang jernih serta fauna dan flora yang unik seperti periuk kera, anggerik hutan, cendawan, unggas dan lain-lain.
Kedamaian yang ada pada air terjun ini boleh menenangkan jiwa individu yang mungkin bercelaru dengan pelbagai urusan kerja yang tidak pernah selesai.
Dalam pada itu, menjadi tanggungjawab bersama agar setiap pengunjung yang mengunjungi Air Terjun Jerangkang menjaga kebersihan kawasan rekreasi tersebut bagi mengelak wabak kencing tikus, bersih dan selamat untuk dikunjungi generasi akan datang.

22 Januari 2012

Pantai Cherating syurga peluncur ombak




Sukan luncur air berjaya membawa pelancong asing mengenali Cherating, Pahang.



PANTAI Cherating yang terletak 47 kilometer (km) dari Kuantan dan 133 km dari Kuala Lumpur satu ketika dulu memang terkenal dalam kalangan pelancong tempatan dan asing sebagai pantai perkelahan dan riadah terkemuka di Pahang.
Ramai pelancong termasuk dari luar negara lebih mengenali Pantai Cherating berbanding bandar Kuantan.
Bagaimanapun kedatangan pelancong ke pantai berkenaan semakin susut sejak lewat 1990-an, malah kehadiran pelancong luar negara makin berkurangan berikutan kawasan berkenaan yang lebih dikenali mereka sebagai kawasan perkampungan tradisional semakin berubah wajah akibat arus pembangunan.
Ketika itu Pantai Cherating bagaikan hilang tarikan magisnya.
Namun sejak tiga tahun kebelakangan ini, kedatangan pelancong di pantai ini kembali meningkat.
Ini kerana Pantai Cherating diberi nafas baru dengan adanya aktiviti luncur ombak dan usaha menjadikannya sebagai surfing paradise atau syurga luncur ombak di negara ini.
Pesta Luncur Cherating
Pengurus Besar Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri, Idros Yahya berkata “Cherating Surf Festival” (Pesta Luncur Cherating) yang dianjurkan sejak tiga tahun lepas antara acara yang dijalankan dalam usaha mempromosi pantai itu sebagai destinasi terkemuka meluncur ombak.
“Kini kedatangan pelancong semakin meningkat kerana acara (aktiviti) luncur ini bukan sahaja berlangsung pada hujung tahun tetapi sepanjang tahun disebabkan kesesuaian ombak di pantai ini untuk acara berkenaan,” katanya.
Idros berkata aktiviti meluncur ombak bukan sahaja menarik para peluncur dari negara luar seperti Australia, Maldives, Thailand, Taiwan, Jepun dan Perancis, malah menjadi tarikan kepada pelancong tempatan juga.
Menurutnya festival yang diadakan setiap hujung tahun itu berjaya mengembalikan semula imej Cherating sebagai satu tarikan pelancong.
Buka peluang
“Secara tidak langsung ia membuka peluang kepada peluncur tempatan untuk mengasah bakat di samping berkongsi pengalaman dan kepakaran daripada peluncur luar negara,” katanya.
Aktiviti luncur ombak di Pantai Cherating itu juga secara tidak langsung membuka ruang perniagaan kepada penduduk setempat untuk menambah pendapatan.
Beliau berkata pihak penganjur acara luncur ombak terkemuka, ‘Billabong Pro Am’ turut menjadikan Pantai Cherating sebagai satu daripada sirkit jelajah luncur ombak dalam kalendar mereka bagi tahun ini.
“Pada tahun ini pihak Billabong turut menyenaraikan Pantai Cherating dalam sirkit Kejohanan Luncur Asia.
“Pantai Cherating yang disenaraikan dalam jelajah sirkit itu membuktikan pantai ini diiktiraf sebagai destinasi meluncur ombak,” katanya.
Klinik luncur
Di pesta itu pihak penganjur juga mengadakan klinik luncur ombak kepada pengunjung pantai berkenaan yang berminat.
“Klinik meluncur ombak ini diperkenalkan sejak tahun lepas dan para peserta perlu membayar yuran penyertaan.
“Bagi tahun ini kita anjurkan secara percuma, sasaran kami 50 peserta tetapi ternyata mendapat sambutan melebihi sasaran mencecah 100 peserta,” katanya.
Tujuan klinik berkenaan untuk mengasah bakat-bakat baru dalam acara luncur ombak agar mereka dapat menyertai acara Kejohanan Luncur Asia yang dianjurkan pihak Billabong.
Idros berkata pihaknya yakin Pantai Cherating akan kembali menjadi popular dalam kalangan para pelancong luar dan domestik menerusi penjenamaan semula pantai berkenaan sebagai pusat luncur ombak terkemuka negara.
“Hanya Pantai Cherating satu-satunya pantai di Malaysia yang menjadi pantai meluncur ombak,” katanya.
Menurut Idros lagi, Pantai Cherating kini tersenarai dalam 10 destinasi baru pelancongan di Pahang.
“Berdasarkan statistik kedatangan pelancong, jumlah pelancong ke Pantai Cherating bagi 2008 adalah seramai 194,075 dan bagi 2009, jumlahnya meningkat seramai 198,764.
Pada 2010, jumlah pelawat melonjak kepada 301,819 orang.

16 Disember 2011

'Hanyut' di Tioman

Inilah cerita drpd seorang penulis yang ke Pulau Tioman. Ikutilah catatan peristiwanya:



Beribu ikan kecil pelbagai warna di antaranya napoleon, puffer dan angel fish menghiasi dasar laut Tioman.



KEINGINAN memuncak untuk mencuba selaman skuba kali pertama membawa saya dan teman karib Syafiq ke Pulau Tioman sebaik sahaja tamat peperiksaan Oktober lalu.
Ditemani ibu, kami bertiga terbang dengan Berjaya Air ke Pulau Tioman dan seterusnya ke Tekek untuk bertemu Reno dan isterinya Akemi yang menguruskan pusat selaman skuba Tioman Reef Divers sejak 1992.
Selesai pendaftaran serta menyerahkan laporan pemeriksaan kesihatan, Akemi menguruskan penginapan kami di Barbura Seaview bersebelahan pejabat Tioman Reef Divers. Walaupun berbangsa Jepun, Akemi sangat fasih bertutur bahasa Melayu dan beliau gembira menerima kunjungan kami.
"Ini pertama kali saya menerima kunjungan remaja berusia 15 tahun ke pusat selaman kami. Saya sangat teruja!" kata Akemi.
Pulau Tioman bukanlah asing di kalangan pelancong terutama bagi peminat sukan selaman skuba dan snorkeling. Pulau peranginan indah ini menawarkan rimbunan batu karang menarik dan kapal karam yang dijadikan tukun. Menurut Akemi walaupun sesetengah orang memilih ke Pulau Perhentian di Terengganu, Pulau Tioman memiliki tarikannya sendiri dan sering menerima kunjungan ramai terutamanya penyelam dari Singapura yang menggunakan perkhidmatan feri dari Mersing. Musim menyelam di Tioman bermula dari Mac hingga November di mana suhu perairan ketika itu sekitar 26-32C.
Saya dan Syafiq yang belum pernah melakukan selaman skuba, kami memilih melakukan Discovery Dive. Semasa sesi taklimat bersama Akemi, kami menonton sebuah dokumentari teknik menyelam.
"Yang paling penting di dalam sukan selaman skuba ini ialah tidak panik dan kamu tidak takut pada air," terang Akemi. Tambahnya lagi seseorang yang mahir snorkeling biasanya lebih mudah mengawal pernafasan semasa selaman skuba kerana teknik bernafas melalui mulutnya adalah sama.
Kami juga belajar bahasa isyarat di dalam air dan diingatkan sentiasa berkomunikasi dengan rakan menyelam (buddy) iaitu instruktur kami semasa selaman. Sukan selaman skuba mengamalkan semangat berkumpulan rakan menyelam (buddy system) demi keselamatan penyelam di bawah air.
Selesai taklimat, saya dan Syafiq diperkenalkan kepada instruktur merangkap buddy kami Along dan Brian.
Kelengkapan
Kemudian kami diarahkan memakai kelengkapan dan berjalan menuju ke laut untuk melakukan shore dive dengan menggalas tabung oksigen di belakang seberat 13kg.
Saya, Syafiq, Along dan Brian berjalan perlahan-lahan ke tengah laut sehingga air mencecah ketinggan leher. Kami diajar menguasai asas mask clearing dan keapungan dengan baik. Penyelam perlu menggunakan kemahiran mengapung secara maksimum untuk mendapatkan keseimbangan. Tika memasuki kedalaman 3 meter saya merasakan tenggorok seperti terbakar dan kering sekali. Mata pula terasa sedikit pedih. Saya melihat Syafiq terumbang ambing mengawal pengapungan.
Mujur buddy Syafiq, Along berada berdekatannya dan menarik beliau ke atas. Saya pula diarahkan Brian untuk meneruskan selaman ke paras 5 meter manakala Syafiq dan Along mengikuti dari belakang.
Saat saya melakukan selaman, telinga berasa seperti tersumbat dan kadangkala sakit. Saya menunjukkan isyarat jari kepada Brian dan beliau menunjukkan isyarat menekan hidung dengan jari telunjuk dan ibu jari. Tips ini berkesan kerana saya dapat rasakan kesakitan semakin berkurangan.
Usai melakukan shore dive, kami pulang ke pantai. Brian menyatakan kami sudah bersedia untuk melakukan selaman pertama di Renggis pada esok hari dan kali kedua di Soyak Tekek Wreck pada hari yang berikutnya.
Brian mengingatkan saya supaya menguasai teknik keapungan atau buoyancy lebih baik lagi manakala Abang memberikan tips pergerakan kaki (finning) kepada Syafiq.
Keesokan harinya tepat jam 9 pagi kami berkumpul di bot. Kumpulan penyelam kami bertambah menjadi 8 orang. Di samping saya, Syafiq, Along dan Brian, terdapat empat penyelam lain dari Singapura. Cabaran menaiki bot ke Renggis pagi tu sangat hebat kerana ombak yang kuat. Bot yang kami naiki tidak henti berayun ke kiri ke kanan dipukul ombak. Kami diarahkan memakai peralatan dengan segera. Lalu timbul perasaan gusar. Sememangnya amat sukar untuk memakai peralatan skuba dalam keadaan bot tidak stabil. Saya hampir terguling ketika menyarung fin sendiri.
menyelam
Kami melakukan back roll iaitu duduk di pinggir bot, kaki rapat, satu tangan di mask dan regulator dan satu lagi mendakap belakang kepala dan seterusnya menjatuhkan badan ke dalam air terlebih dahulu. Sesuatu yang tidak dijangka berlaku apabila Syafiq naik semula ke permukaan dan muntah sebaik melakukan back roll. Ia sangat lucu dan kami semua ketawa melihat rakan saya itu meluahkan sarapan paginya di tengah lautan.
Kumpulan kami menyelam tandem ke kedalaman 10 meter manakala empat penyelam dari Singapura pula meneruskan perjalanan bot ke lokasi selaman Soyak Tekek Wreck.
Jarak penglihatan di bawah air Renggis tidak begitu baik. Saya melihat Syafiq sentiasa dekat dengan Abang dan gigih mengawal badannya supaya berada di dalam keadaan horizontal. Ini kerana apabila badan senget, dia akan mudah naik dan itu perlu dielakkan.
Saya, Syafiq, Along dan Brian meneruskan selaman ke kedalaman 13 meter. Keindahan di lokasi ini sungguh luar biasa. Panorama terumbu karang amat indah. Terdapat beribu ikan kecil pelbagai warna di antaranya napoleon, puffer dan angel fish. Kami juga berpeluang mendekati seekor penyu di dasar laut.
Pemandangan di bawah laut amat luar biasa seolah-olah memasuki sebuah taman marin seperti yang kerap saya lihat di dalam rancangan National Geography. Saya turut terkejut apabila seekor pari selebar 80sm berenang mendekati saya.
Kami berada di dasar Renggis selama 35 minit dan seterusnya meneruskan selaman kedua di Soyak Tekek Wreck sedalam 15 meter, selama 30 minit pada hari esoknya.
Sepanjang mengikuti latihan selaman saya mendapati dunia laut adalah sangat menenangkan. Yang paling penting kita tidak boleh panik. Usah gelut dan sentiasa bersedia mematuhi arahan buddy yang berpengalaman.

22 Oktober 2011

Promosi konsep agro pelancongan




KOLAM renang turut disediakan kepada para pengunjung untuk beriadah bersama keluarga di Felda Residence Tekam, Jerantut.


SETIAP tahun, keindahan alam semula jadi negara ini memikat puluhan juta pelancong domestik dan antarabangsa, dan ia sememangnya satu anugerah Tuhan kepada Malaysia.
Dari gunung-ganang yang menyimpan khazanah alam berusia ratusan juta tahun sehinggalah ke pulau-pulau yang menawarkan lokasi selam berkelas dunia, semuanya ada di negara ini.
Namun sebenarnya, masih banyak aset yang belum dieksploitasi secara maksimum, antaranya yang berbentuk konsep agro pelancongan.
Di Australia dan Amerika Syarikat, pakej melawat ladang epal atau anggur yang menawarkan peluang kepada pengunjung memetik sendiri buah-buah berkenaan telah lama diketengahkan sebagai satu cabang pelancongan yang mendapat sambutan di negara tersebut.
Justeru, apa kurangnya negara kita yang juga memiliki buah-buahan tempatan yang enak dan istimewa. Bagi mereka yang masih tercari-cari lokasi terbaik bagi merasai sendiri pengalaman agro pelancongan, Felda Residence Tekam yang terletak di Jerantut, Pahang merupakan pilihan terbaik.
Pusat penginapan yang dikelilingi dusun buah-buahan dan ladang sawit itu terletak di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Abdul Razak (PPPTR) Sungai Tekam, Jerantut.
Sebenarnya, Felda Residence Tekam sudah lama dikenali oleh warga Felda, selain semakin menjadi pilihan kakitangan kerajaan dan swasta yang ingin berkursus dalam suasana damai sambil menikmati buah-buahan tempatan.
Di situ juga, pengunjung berpeluang melawat dusun dan ladang sawit yang mana ia satu pengalaman mengujakan, khususnya kepada anak-anak yang membesar di bandar.
Ini adalah waktunya untuk mereka mengenali lebih dekat pokok buah-buahan tempatan seperti durian dan rambutan, di samping kelapa sawit yang menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.
Lebih menarik, pusat penginapan ini tidak hanya menawarkan konsep agro pelancongan semata-mata, sebaliknya turut mempunyai padang golf sembilan lubang buat kaki golf melepaskan gian mereka.
Selain itu, di Felda Residence Tekam sendiri terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan resort peranginan lain seperti restoran, kolam renang, gelanggang tenis dan padang bola sepak.
Lebih istimewa, pengunjung juga boleh menjalankan pelbagai aktiviti riadah seperti merentas hutan, flying fox, memancing dan berbasikal.
Pengurus Felda Residence Tekam, Mohd. Zainuddin Masduki berkata, lokasi pusat itu terletak kira-kira 190 kilometer dari Kuala Lumpur dan berhampiran dengan Bandar Tun Abdul Razak, Jengka.
Katanya, sejak dibuka pada 1990, Felda Residence Tekam yang terletak di kawasan seluas 2,400 hektar sememangnya mendapat sambutan yang cukup baik.
''Keseluruhannya, Felda Residence Tekam menawarkan 30 bilik executive suite, lapan bilik keluarga, tiga bilik superior, 18 bilik deluxe dan 60 calet, di samping asrama yang menyediakan 176 katil.
"Terdapat juga bilik seminar dinamakan Seroja, Melati, Melor, Anggerik dan Kemboja," katanya kepada S2.
Mohd. Zainuddin berkata, pihaknya menawarkan pakej keluarga, kumpulan dan pelajar dengan menawarkan lawatan sambil belajar ke ladang sawit atau ke gugusan gua Kota Gelanggi yang terletak kira-kira lapan kilometer dari resort itu.
Tambahnya, para pengunjung juga berpeluang berkunjung ke Taman Negara Pahang yang popular di kalangan pelancong dalam dan luar negara.
''Felda Residence Tekam turut menjadi pilihan agensi kerajaan dan syarikat korporat untuk mengadakan seminar kerana suasananya jauh daripada kesibukan ibu kota," ujarnya.

17 September 2011

Bisikan Pantai Juara




RESTORAN Juara Beach yang mengadap pantai Juara menyajikan panorama indah kala menjamu selera.

Ini adalah pengalaman seorang penulis ke sana.
JETI ke Pulau Tioman di Mersing, Johor mula sesak seawal pukul 4 pagi dengan dipenuhi penumpang yang sedang menantikan perjalanan feri pertama yang dijadual berlepas pada pukul 6.30 pagi setiap hari.
Penulis ketika itu tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki bas lewat malam dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di Tasik Selatan. Tidak jauh dari jeti, kelihatan tempat-tempat parkir berbayar juga penuh dengan kenderaan pelancong Singapura yang datang bercuti.
“Bilangan pelancong lebih ramai pada setiap hujung minggu dan musim cuti sekolah,” kata penjual tiket feri.
Selepas beberapa jam menunggu, terminal pelepasan dibuka pada pukul 7 pagi. Kelewatan waktu berlepas kira-kira setengah jam sudah menjadi perkara biasa walaupun tiket feri awal pagi itu dijual RM10 lebih mahal berbanding dengan perjalanan waktu biasa.
Itulah sebahagian kegelisahan yang terpaksa dilalui pelancong sebelum sampai ke Tioman, bahkan waktu menunggu mungkin lebih lama jika laut surut dan menjadi terlalu cetek. Namun dengan segala keindahan yang menanti, destinasi percutian di negeri Pahang itu tetap berbaloi untuk dikunjungi.
Pulau Tioman yang terletak kira-kira 350 kilometer (km) dari Kuala Lumpur sememangnya popular sebagai destinasi percutian bagi mereka yang ingin melarikan diri dari kesibukan kota.
Di Tioman, pelancong boleh memilih beberapa lokasi persinggahan untuk menghabiskan percutian. Antara yang paling popular adalah pantai Salang, Paya dan Genting. Mungkin jarang-jarang sekali, anda mendengar nama pantai Juara (Juara) disebut para pelancong.
Berbanding dengan pantai lain yang ada di Tioman, Juara agak kurang dikunjungi kerana perkhidmatan feri dari Mersing dan Tanjong Gemok tidak singgah ke jeti di Kampung Juara. Satu-satunya kaedah pengangkutan yang ada hanyalah pacuan empat roda.
Dari jeti Kampung Tekek, perjalanan pergi-balik ke pantai di seberang pulau itu biasanya disediakan oleh pihak chalet dengan tambang RM50 bagi setiap penumpang (minimum empat orang).
Bagi yang mementingkan ketenangan pantai yang bebas daripada dentuman muzik dan kesesakan pelancong, tambahan harga sebanyak itu masih berbaloi untuk dibayar.
Laluan mendaki sejauh sembilan kilometer bermula sebaik sahaja kenderaan meninggalkan Kampung Tekek. Sejurus selepas itu, pelancong disajikan dengan kesegaran udara di hutan dara Bukit Gaung serta keindahan pemandangan pantai dari puncak bukit.
Selepas lebih setengah jam dibuai dan dihanyun pacuan empat roda, penulis akhirnya tiba di Kampung Juara, antara penempatan terawal di Pulau Tioman yang kini dihuni oleh kira-kira 350 penduduk.
Kampung Juara yang agak terpisah daripada arus pembangunan pelancongan di Tioman mungkin satu-satunya kawasan yang masih mengekalkan kehidupan kampung yang telah lama hilang di tempat lain.
Ketibaan penulis disambut oleh Stiven Cheng, pengusaha Juara Beach yang beroperasi sejak 2008. Juara Beach merupakan salah satu daripada sembilan chalet yang terletak di sepanjang pantai Juara.
Tarikan pantai berpasir putih yang menanti di depan chalet tidak membiarkan saya berada terlalu lama di dalam bilik. Selepas berpuas hati dengan penginapan yang disediakan, saya turun ke pantai yang terletak kira-kira 20 meter dari bilik penginapan.
Bebas daripada sampah sarap, pantai yang mengadap Laut China Selatan itu secara peribadi adalah pantai terbaik yang pernah saya lawati di negara ini. Bahkan saya tidak teragak-agak untuk berjalan tanpa kasut sepanjang pantai.
Tiupan anginnya lebih kuat, membuai susunan pokok-pokok kelapa yang menghias pantai.
Pantai Juara yang bersih juga boleh menjadi tempat terbaik untuk mereka yang gemar berjogging pada waktu pagi sambil menikmati keindahan pemandangan matahari terbit di hujung tanjung.
Bertentangan dengannya (selatan), tersergam puncak Gunung Kajang dan Gunung Semukut, melengkapkan lagi keindahan alam semula jadi di pantai Juara.
Pantai yang melebar sepanjang dua kilometer itu turut diselangi dua batang sungai yang mengalir masuk ke laut. Paling menarik adalah sungai paya bakau yang terletak di hujung tanjung, tidak jauh dari Juara Beach.
Dengan menyewa kayak pada harga RM30 sejam, pelancong boleh menyusuri sungai air payau yang menjadi habitat kepada beberapa spesies ular. Ular sawa batik adalah antara yang kerap ditemui berjuntai pada dahan-dahan pokok.
Bagi yang tidak bercadang untuk melakukan sebarang rekreasi lasak seperti kayak, pantai di depan Juara Beach yang landai dan tidak dipenuhi bot penumpang adalah tempat yang sesuai untuk mandi-manda.
Selepas langit kehilangan cahaya, perkara terbaik yang pasti menambah erti sebuah percutian mungkin untuk merasai keenakan masakan di Restoran Juara Beach.
Restoran Juara Beach yang menyajikan masakan tempatan dan Barat beroperasi dari waktu sarapan iaitu pukul 8 pagi hingga 11 malam. Berdiri di beranda bertiang di atas pantai, anda dapat membayangkan keindahan suasana makan malam.
Tarikan seterusnya menanti pelancong di pantai Juara termasuk curahan air terjun yang boleh dilawati dengan melakukan jungle trekking yang singkat. Dua air terjun yang boleh dikunjungi pelancong terletak di Kampung Juara dan pantai Semukut.
Pelancong dari Jerman, Christof Weis, 25, yang ditemui di Air Terjun Kampung Juara berkata, lokasi air terjun yang terletak kira-kira 40 minit perjalanan dari Juara Beach itu memberi peluang kepadanya dan rakan-rakan menikmati kesegaran hutan tropika.
“Selepas seharian menghabiskan masa di pantai, peluang mandi di kolam air terjun yang dikelilingi hutan sememangnya menakjubkan,’’ ujarnya yang ditemani tiga lagi rakan senegara.
Mereka memilih pantai Juara sebagai destinasi percutian pertama di Pulau Tioman selepas membaca mengenai kebersihan dan ketenangan pantai tersebut di Internet.
Sementara itu, Stiven berkata, pelancong ke Juara Beach juga berpeluang menyaksikan keindahan alam marin dengan melakukan snorkeling ke beberapa lokasi seperti Teluk Dalam, Teluk Genting dan Batu Malang.
Menurutnya, bayaran RM90 bagi setiap pelancong yang dikenakan untuk trip snorkeling yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 3 petang turut meliputi harga sewa perkakasan snorkeling dan makan tengahari.
“Kami menggunakan dua buah bot laju berkuasa ratusan kuasa kuda yang membawa pelancong ke lokasi snorkeling dengan cepat.
“Ia merupakan aktiviti yang tidak seharusnya dilepaskan oleh pelancong sepanjang bercuti di Tioman,’’ kata Stiven yang menetap di pulau itu sejak tahun 1986.
Bercerita mengenai jumlah pelancong yang agak kurang di pantai Juara, Stiven mengakui bahawa kos pengangkutan untuk ke pantai itu menjadi antara penyebab.
“Sesetengah pelancong tidak mahu datang ke Juara selepas mendapat tahu mengenai bayaran tambang pacuan empat roda.
“Namun bagi yang pernah sampai ke sini, bayaran sebanyak RM50 itu bukanlah masalah yang besar,’’ jelasnya.
Juara Beach yang bertapak dengan 12 buah bilik pada 2008 kini menawarkan 26 buah bilik chalet iaitu 12 bilik kategori deluxe dan 14 bilik standard.
Kategori deluxe ditawarkan pada harga RM140 semalam, manakala bilik standard dijual mengikut bilangan penghuni iaitu RM160 untuk tiga orang dan RM180 untuk empat orang. Harga ditawarkan termasuk sarapan.
Keselesaan penginapan di Juara Beach dilengkapi dengan pendingin udara, air panas, peti ais, televisyen dan cerek air.
Walaupun terpisah dari pantai utama, pantai Juara juga mempunyai kemudahan asas yang diperlukan pelancong seperti kedai runcit, restoran dan sebuah pusat selam.
Di Kampung Juara juga, pelancong boleh mendapatkan minyak kelapa dara yang dimasak secara tradisional dan mempunyai pelbagai khasiat perubatan.
Maklumat lanjut mengenai Juara Beach boleh diperolehi dengan menghubungi talian 09-4193188 atau 013-7711137 (Stiven).

06 Ogos 2011

Teluk Chempedak tidak pernah 'tidur'



WALAUPUN sudah dinihari, pantai Teluk Chempedak, Kuantan masih dikunjungi oleh orang ramai yang ingin menyaksikan aktiviti tengah malam di kawasan itu termasuk gerai jualan, bermain papan luncur dan juga pameran lukisan.


BAGI mereka yang masih tercari-cari tempat bersantai pada waktu malam, pantai Teluk Chempedak merupakan antara destinasi terbaik untuk dikunjungi di bandar Kuantan.
Berbanding pantai lain, Teluk Chempedak paling menjadi tumpuan sebagai destinasi riadah bersama keluarga mahupun teman-teman sejak siang hingga ke lewat malam.
Setiap hari, pantai itu sentiasa dipenuhi pengunjung, tidak kira pada hari bekerja mahupun musim cuti kerana selain menikmati keindahan pantai dan menghirup udara segar, pelbagai aktiviti dan kemudahan disediakan di situ.
Meskipun jam menunjukkan pukul 1 pagi namun kebanyakan pengunjung masih tidak berganjak malah semakin ramai yang datang ke pantai itu, seolah-olah beranggapan malam masih muda.
Di setiap kawasan hingga ke kawasan tempat meletak kenderaan, kelihatan deretan gerai menjual pelbagai barangan termasuk makanan, pakaian, aksesori dan cenderamata.
Dengan deretan restoran makanan Melayu, Barat dan makanan segera yang dibuka 24 jam sehari, membuatkan Teluk Chempedak seolah-olah tidak pernah 'tidur'.
Bukan itu sahaja, penyediaan kemudahan taman permainan kanak-kanak yang mesra pengunjung juga memberi kelebihan kepada Teluk Chempedak sebagai destinasi pilihan utama orang ramai pada waktu tengah malam.
Mereka yang ingin mengabadikan potret diri sebagai kenang-kenangan, boleh berbuat demikian melalui khidmat pelukis profesional yang setia menunggu di pantai itu.
Di satu sudut lain, kelihatan anak-anak muda berkumpul bersama rakan-rakan sambil mempamerkan kehebatan modifikasi kenderaan masing-masing seolah-olah seperti ada satu pertandingan.
Ada antara mereka yang mengambil kesempatan mempamerkan kemahiran bermain papan luncur dan tidak kurang juga yang membawa haiwan peliharaan mereka termasuk spesies ular sebagai tontonan pengunjung.
Selain landskap yang cantik, kemudahan Wi-fi turut menjadi sebab utama lokasi itu menjadi tumpuan ramai terutama pelajar yang menggunakan perkhidmatan tersebut untuk tujuan tugasan dan sebagainya.
Dengan cahaya lampu neon melimpahi sekitar kawasan itu, ia benar-benar menghidupkan lagi suasana malah pengunjung tidak perlu bimbang mengenai keselamatan anak-anak selain bertujuan mengelakkan daripada berlaku gejala negatif seperti perbuatan sumbang.
Bagi mereka yang memilih untuk bersantai di pesisiran pantai, terdapat beberapa bangku disediakan bagi kemudahan pengunjung.
Mereka juga boleh melakukan aktiviti waktu malam seperti barbeku, berkhemah dan aktiviti sukan bermain bola tampar.
Seorang peniaga yang ditemui, Mohd. Rushidi Jaafar, 33, berkata, setiap hari pantai Teluk Chempedak tidak pernah sunyi malah sentiasa dipenuhi warga tempatan dan pelancong terutama waktu malam hingga awal pagi.
Dia yang juga seorang pelukis berkata, selain melihat telatah dan ragam manusia, permintaan pengunjung untuk melakar wajah mereka juga meningkat ketika musim cuti.
"Kebanjiran pengunjung hingga lewat malam membuatkan pantai Teluk Chempedak tidak pernah sunyi apatah lagi pelbagai aktiviti menarik disediakan oleh beberapa pihak berkenaan menambahkan lagi kemeriahan di sini," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Seorang bapa, Farikh Abdul Manaf, 39, berkata, suasana menarik dengan pelbagai kemudahan seperti taman permainan menjadi penyebab utama mereka sekeluarga memilik lokasi tersebut.
Katanya, kerana kesibukan bekerja di siang hari, waktu malam atau hujung minggu menjadi pilihan sekeluarga untuk beriadah di pantai itu.
"Suasana di sini lebih tenang dan jauh daripada kesibukan di bandar tambahan pula, aktiviti dan kemudahan yang disediakan bersesuaian dengan semua peringkat umur.
"Pelbagai jenis gerai makan dan restoran segera yang dibuka 24 jam memudahkan kami sekeluarga untuk menikmati makanan pilihan walaupun sehingga lewat malam," jelasnya.
Bagi Rahayu Zainal Abidin, 32, dia mencadangkan kerajaan negeri memperbanyakkan aktiviti terutama pada waktu tengah malam di Teluk Chempedak bagi menggalakkan kehadiran pengunjung.
"Golongan muda dapat memanfaatkan aktiviti yang lebih sihat dan berfaedah daripada membuang masa begitu sahaja," ujarnya.

11 Jun 2011

Murtabak Mengkasar pilihan diraja



DALAM kalangan warga Pahang, Pekan sememangnya dikenali sebagai Bandar Diraja yang selesa dan sunyi daripada hiruk-pikuk kota metropolitan.
Jika berkunjung ke bandar Pekan, 'tidak lengkap' kunjungan jika tidak singgah di warung Murtabak Mengkasar di Jalan Sultan Abu Bakar. Ia dikatakan murtabak paling popular dalam kalangan rakyat Pahang dan pelancong luar.
Rata-rata berpendapat murtabak yang dijual oleh Ahmad Tajuddin Abdul Hamid, 66, sejak 33 tahun lalu adalah terbaik kerana menggunakan rempah-ratus berkualiti dan rasanya tidak berubah sejak dahulu.
Di samping itu, harganya yang berpatutan berbanding tempat lain membolehkan gerai Murtabak Mengkasar ini tidak pernah putus dikunjungi pelanggan.
"Setiap hari, tak menang tangan saya hendak melayan permintaan orang ramai yang mahu merasa murtabak ini, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.
"Murtabak Mengkasar sering menjadi pilihan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya beliau berkunjung ke sini,"katanya ketika kepada S2.
Selain itu, katanya Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah turut menggemari murtabak beliau dan menjadi juadah pada majlis-majlis keramaian baginda.
"Saya pernah diminta menyediakan murtabak untuk Tuanku yang ketika itu berada di luar negara," katanya.
Selain memiliki rasa enak dan aroma membuka selera, salah satu keistimewaan murtabak Mengkasar adalah harganya yang sangat berpatutan.
Katanya, warung itu menyediakan dua jenis murtabak iaitu murtabak biasa berharga RM6 dan RM8 bagi murtabak istimewa yang masing-masing boleh dimakan sehingga empat orang.
Berbanding dengan murtabak biasa yang boleh ditemui di tempat lain, murtabak Mengkasar memiliki tiga lapisan tebal berinti daging dan 21 jenis rempah-ratus berkualiti, menjadikannya lebih enak berbanding yang lain.
Ahmad Tajuddin memberitahu resipi asal murtabak itu diperoleh daripada rakan bapa mertuanya, pada tahun 1970-an.
"Arwah Datuk Abdul Rashid Salleh yang dikenali sebagai Datuk Awang Rashid adalah insan yang mewariskan resipi murtabak beliau kepada saya.
"Rahsia resipi itulah yang menjadikan murtabak saya digemari dan dikenali sehingga kini," katanya.
Katanya lagi, selain keenakan rasa murtabak, harganya juga sangat berpatutan walaupun harga barang runcit telah beberapa kali naik.
"Jika difikirkan tentang kos pembuatannya, sudah tentulah ia tidak mencukupi memandangkan harga barangan sekarang yang semakin mahal.
"Oleh kerana pendekatan perniagaan saya lebih kepada menjaga hati pelanggan dan tidak terlalu mementingkan keuntungan semata-mata, maka saya kekalkan harga seperti dahulu," katanya.
Tambahnya, amalan itu membuatkan jumlah pelanggan tetapnya semakin bertambah.
"Saya bersyukur dengan sambutan yang diterima walaupun tidak untung berlipat ganda.
"Dalam berniaga, kami amat menitikberatkan kepuasan pelanggan dan kualiti produk yang dihasilkan," ujarnya.
Dia turut mempunyai cawangan murtabak Mengkasar di Taman Seri Rampai dekat Setapak, Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.

06 Mei 2011

Tarikan Air Terjun Lata Meraung


Orang ramai mandi-manda dan berkelah di kawasan Air Terjun Lata Meraung, Jerantut, Pahang. - utusan/Haris Fadilah Ahmad


Air Terjun Lata Meraung di Lembah Kiol dekat sini merupakan salah satu tarikan pengunjung yang ingin mencari kedamaian di hutan rimba dan kedinginan air untuk bersantai bersama keluarga pada hujung minggu.
Kawasan rekreasi itu terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Jerantut dan hanya mengambil masa 20 minit untuk ke sana.
Terletak di Hutan Simpan Lembah Kiol, ia antara destinasi pelancongan yang diberi tumpuan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) selepas Taman Negara Kuala Tahan.
Air sungai di kawasan rekreasi itu menjadi bekalan sumber minuman kepada penduduk Kampung Baru, Lata Kasah, Sungai Badak, Perkampungan Orang Asli Sungai Kiol dan kampung berdekatan.
Hasil perancangan teliti MDJ dan Jabatan Perhutanan Jerantut telah memajukan kawasan itu sejak 20 tahun lalu untuk tujuan pelancongan berasaskan kehijauan alam sekitar dan sukan rekreasi.
Antara kemudahan yang terdapat di situ ialah padang golf, rumah rehat, ruang letak kenderaan awam, dewan dan kemudahan lain yang memberi keselesaan kepada pelawat.
Pelawat juga berpeluang singgah di perkampungan Orang Asli Sungai Kiol jika ingin mendalami adat resam komuniti suku Jahut.
Seorang pelawat, Rosman Siddique, 29, berkata, dia berasa tenteram dan selesa bersama keluarga mengunjungi kawasan rekreasi itu kerana udaranya bersih dan belum tercemar.

09 April 2011

Meneropong laut dari kamar beradu

PEMANDANGAN hadapan pintu masuk Kuantan Tembeling Resort.


SETIAP pengunjung yang melangkah ke pekarangan Kuantan Tembeling Resort berhampiran pantai peranginan terkemuka Teluk Chempedak di Kuantan, Pahang pasti teruja dengan keindahan alamnya.
Mungkin tidak sepopular resort antarabangsa bertaraf lima bintang yang lain, tetapi dengan berlatarbelakangkan lautan biru ia ada tarikan tersendiri.
Beroperasi sejak 1998, resort terletak di atas bukit dan menghadap Laut China Selatan yang membiru dengan suasananya nyaman, amat menarik perhatian pengunjung.
Pandangan pengunjung pasti tertumpu kepada keindahan alam yang terbentang di hadapan mereka sambil melihat ombak menderu dan kemudian mendesir menghempas pantai melalui jendela kamar.
Terletak hanya kira-kira 200 meter dari pesisiran pantai, Kuantan Tembeling Resort berkonsepkan apartmen juga berjiran dengan Hutan Simpan Beserah yang kaya dengan flora dan fauna.
Di samping menikmati kecantikan laut yang mempesona, pengunjung juga boleh menikmati keindahan dan kehijauan hutan dara yang masih dijaga dengan baik.
Dengan melalui perjalanan kira-kira lapan kilometer dari bandar Kuantan, pengunjung hanya mengambil masa lima minit untuk sampai ke sini.
Sebaik sahaja melepasi Kelab Golf Diraja Pahang, pengunjung mula merasai suasana rimba yang damai dengan bunyi-bunyian unggas di kiri kanan jalan, sebelum masuk ke resort itu yang dikelilingi pohon-pohon menghijau.
Kuantan Tembeling Resort menyediakan pelbagai pakej menarik termasuk bilik pada harga berpatutan di samping aktiviti-aktiviti menarik juga disediakan.
Menurut Penolong Pengurusnya, Nazri Idris, daripada 403 unit kediaman di apartmen itu, 40 unit apartmen lengkap dengan perabot disediakan kepada orang ramai yang ingin menginap di situ termasuk untuk disewa secara jangka masa panjang.
Selebihnya, 360 unit telah dibeli oleh orang perseorangan termasuk pelancong asing yang memiliki kediaman di resort itu antaranya dari Singapura, Jepun dan Australia.
"Di sini kami menyediakan apartmen daripada satu bilik hingga tiga bilik yang bersesuaian untuk pelancong dengan kadar sewa berpatutan," katanya.
Penyewa juga boleh membuat pilihan sama ada memilih pemandangan laut biru yang tenang atau menikmati kehijauan hutan simpan bergantung kepada cita rasa masing-masing.
"Terdapat pelbagai kemudahan rekreasi seperti kolam renang, sauna, jakuzi, gimnasium, gelanggang tenis, skuasy, ping pong dan snuker disediakan untuk pengunjung menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan," katanya.
Bagi syarikat atau organisasi yang ingin menganjurkan seminar atau mesyuarat, Kuantan Tembeling Resort juga menyediakan bilik seminar yang boleh memuatkan 100 orang pada satu-satu masa, selain restoran menyediakan masakan panas dan Barat.
"Kemudahan itu sekali gus membolehkan program latihan dan sesi melampas otak dijalankan dalam suasana penuh ketenangan dan dapat menghilangkan tekanan kerja bagi setiap peserta," katanya.
Selain itu, lokasinya juga strategik kerana pengunjung cuma mengambil masa lima minit untuk ke Zoo Mini Teruntum yang menempatkan beberapa jenis haiwan serta Kelab Golf Diraja Pahang.
Resort ini menyediakan kawalan keselamatan 24 jam untuk pengunjung tidak berasa bimbangkan keselamatan barangan kerana orang luar tidak dibenarkan masuk kecuali mempunyai urusan kerja.

18 Mac 2011

Kedamaian Janda Baik di Cherengin



BERBICARA mengenai 'janda baik', pasti ada yang mengangkat kening tersenyum mendengar nama itu. Ia hanyalah nama sebuah kampung yang terletak di selatan Pahang dan bersempadan dengan Selangor.
Pada mereka yang mengenali Janda Baik pasti akan terkenangkan kehijauan dan kedamaian sebaik sahaja memandu masuk ke kawasan perkampungan Melayu itu.
Sekarang, Janda Baik merupakan destinasi pilihan bagi mereka yang ingin melakukan pelbagai aktiviti riadah terutama bina diri.
Bagaikan tumbuh bak cendawan selepas hujan, kita boleh saksikan pelbagai chalet diwujudkan bagi tujuan tersebut.
Namun sedikit menghampakan kerana kebanyakan chalet tidak mempunyai prasarana yang lengkap untuk menjalankan aktiviti riadah.
Prihatin dengan keperluan itu, anak jati Janda Baik, Mohd. Fauzi A. Latif terdorong untuk membangunkan kawasan kampungnya yang semakin hari semakin padat dengan pelbagai kemudahan yang menawarkan pakej-pakej bina diri.
Malah, dia juga memikirkan kawasan hijau di Janda Baik perlu dibangunkan dengan cara yang betul dan terkawal selepas melihat banyak kawasan lereng bukit diteroka sesuka hati oleh pendatang luar yang menanam halia di situ.
Untuk itu, berbekalkan pengalaman yang ada, dia membeli tanah seluas 4.4 hektar di Kampung Cherengin dan membangunkan sebuah resort bertaraf antarabangsa, Cherengin Hills Convention & Spa Resort dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk 136 bilik penginapan pelbagai saiz termasuk lapan suite dan dua suite perdana.
Terdapat kolam renang, bilik persidangan, kafetaria dan restoran yang menyajikan makanan barat, timur serta beberapa makanan popular penduduk Janda Baik.
MOHD. FAUZI A. LATIF


Menariknya, pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Cherengin Hills Convention & Spa Resort dan bukan hanya terbatas untuk riadah atau bina diri.
Bagi mereka yang gemar berekreasi dan sukan lasak, aktiviti memanjat bukit untuk ke Air Terjun Ulu Tampit tersedia di situ.
Menariknya, kepenatan memanjat bukit hilang sebaik menyaksikan air terjun ciptaan Tuhan yang sememangnya mengkagumkan sesiapa saja.
Mengambil masa kira-kira 45 minit hingga sejam perjalanan melalui trek yang sudah disediakan, pengunjung dihidangkan dengan bunyi-bunyian unggas serta deruman air terjun tingkat empat buat pertama kali.
Perjalanan kemudian diteruskan ke air terjun tingkat lima yang mempunyai kolam dan juga kawasan perkhemahan untuk memudahkan pengunjung berehat.
Bagi yang inginkan pengembaraan lebih bermakna, boleh meneruskan perjalanan ke air terjun tingkat tujuh yang pastinya menyajikan satu pengalaman unik ketika merendamkan badan di dalam kesejukan air mineral asli Ulu Tampit.
Untuk ke sana, pengunjung perlu menggunakan pemandu pelancong yang disediakan oleh Cherengin Hills Convention & Spa Resort.
Berehat
Selepas puas menikmati keindahan Air Terjun Ulu Tampit, pengunjung bolehlah berehat di Cafe Tampit dengan merendamkan badan di kolam renang pula.

Cherengin Hills Convention & Spa Resort lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk membolehkan pengunjung selesa bersantai.


Di sini juga disediakan kafe untuk membasahkan tekak atau menikmati hidangan ringan ketika berehat.
Selain itu, banyak lagi tempat menarik yang boleh dilawati ketika berada di Cherengin Hills Convention & Spa Resort antaranya melawat ladang buah-buahan, kolam ternakan ikan, ladang organik yang mempunyai pelbagai sayur dan tumbuh-tumbuhan tempatan selain piknik di Pulau Santap.
Inginkan lebih cabaran, kakitangan rekreasi Cherengin Hills Convention & Spa Resort juga boleh membawa aktiviti mendaki Gunung Nuang atau ke air terjun Kuala Gua.
Keunikan Cherengin Hills Convention & Spa Resort adalah ia terletak di dalam kawasan hijau yang masih terpelihara keasliannya ketika pembinaan resort berkenaan.
Tak hairanlah jika berada di situ, biar pun waktu tengah hari pengunjung masih boleh menikmati udara segar dan sejuk. Pada waktu malam pula ada kalanya suasana nyaman di situ akan mencatatkan suhu sehingga 22 darjah Celsius.
Menurut Mohd. Fauzi, pembangunan Cherengin Hills Convention & Spa Resort juga bertujuan memastikan hasrat membantu penduduk kampung tercapai.

CHERENGIN Hills Resort menawarkan pelbagai jenis bilik.


"Bukan hanya itu, pada waktu-waktu tertentu kami juga akan menyediakan gerai-gerai makanan di depan restoran untuk membolehkan penduduk kampung berniaga pelbagai juadah istimewa yang boleh dinikmati oleh pengunjung," katanya.
Fauzi menambah, matlamat utama resort itu diwujudkan ialah menjadikannya sebagai sebuah pusat sehenti program bina diri dan percutian lengkap.
"Dengan adanya pelbagai jenis bilik hotel yang kami sediakan termasuk kolam renang, bilik persidangan, kafe dan restoran, mereka yang menginap di sini tidak perlu ke mana-mana dan bukan hanya itu, mereka boleh melakukan apa sahaja di sini, lebih-lebih lagi lokasinya yang hampir dengan Kuala Lumpur," katanya.

26 Februari 2011

Kerdau tawar pelancongan menarik


Pelajar Jepun diraikan semasa melawat sebuah sekolah rendah di Jengka 25.
Nama Kerdau tidak mungkin sehebat Pulau Tioman yang diiktiraf antara 10 pulau tercantik di dunia atau Pulau Langkawi yang popular di persada antarabangsa.
Pada pandangan mata kasar, Kerdau tidak memiliki sebarang keistimewaan seperti Pulau Tioman yang menjadi pilihan penyelam dari seluruh dunia.
Kerdau hanya sebuah perkampungan yang penduduknya bergantung kepada sektor pertanian seperti komoditi kelapa sawit dan getah selain kebun buah-buahan dan aktiviti nelayan di Sungai Pahang.
Namun begitu, nama kawasan itu yang terletak dalam Daerah Temerloh semakin dikenali apabila ia menjadi tumpuan kehadiran pelancong tempatan dan luar negara.
Program inap desa adalah produk pelancongan yang mempopularkan nama Kerdau dengan kehadiran pelancong luar negara dan tempatan.
Konsep pelancongan inap desa semakin popular apabila pelancong berpeluang menikmati keunikan hidup masyarakat desa secara langsung.
Inap desa di kawasan itu menawarkan pelbagai pakej kebudayaan, kemasyarakatan, ecopelancongan, agropelancongan dan lain-lain.
Aktiviti inap desa antara lain menawarkan kehidupan sebenar masyarakat kampung termasuk peneroka yang menjalankan kegiatan menuai kelapa sawit, menyusuri Sungai Pahang, memancing ikan, membuat kuih tradisional, majlis perkahwinan dan sebagainya.
Terdapat tiga pusat inap desa di kawasan itu iaitu di Kampung Desa Murni, Kampung Rumpun Makmur dan Felda Jengka 25 dengan penglibatan lebih 160 penduduk bagi menjayakannya.
Penduduk Kampung Desa Murni paling ramai menceburi sektor tersebut manakala bakinya ialah 20 pengusaha di Kampung Rumpun Makmur dan 44 pengusaha di Felda Jengka 25.
Kampung itu adalah antara kampung terawal dipilih melaksanakan program tersebut di negeri ini yang diperkenalkan sekitar awal 80-an.
Kampung Desa Murni terletak kira-kira 13 kilometer dari Bandar Temerloh atau satu jam 30 minit perjalanan dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menawarkan produk pelancongan kehidupan masyarakat kampung.
Selain merasai sendiri pengalaman kehidupan masyarakat desa, pelancong juga melihat kebudayaan dan cara hidup penduduk setempat, makanan tempatan dan menghadiri majlis perkahwinan.
Mereka juga dibawa melawat perkampungan Orang Asli suku kaum Jakun, pengalaman menoreh getah, ternakan ikan sangkar dan pusat Santuari Gajah Kebangsaan Kuala Gandah dekat Lanchang di sini.
Di Santuari Gajah Kebangsaan, pelancong berpeluang memberi makanan, menunggang dan mandi bersama haiwan berkenaan yang menjadi kegemaran kepada pelancongan tempatan dan asing.
Kampung Rumpun Makmur pula menawarkan pakej menarik seperti melawat ladang kelapa sawit dan getah serta meneroka keindahan Gunung Senyum.
Pelancong juga akan menikmati hidangan yang disediakan oleh penduduk kampung itu seperti masakan gulai asam rom, selain mencuba tarian joget Pahang dan sesumpah serta melawat pusat kraf tangan Temin.
Felda Jengka 25 tidak kurang hebatnya apabila terkenal dengan produk pelancongannya iaitu Gua Kota Gelanggi, Taman Negara, Jerantut dan Pusat Penyelidikan Pertanian Sungai Tekam (PPPTR).
Hasil pembangunan pelancongan yang dibawakan kepada masyarakat di kampung terbabit memberi limpahan kepada mereka, sekali gus menjana pendapatan dalam menampung kehidupan seharian.

Bukit Gambang Resort & taman tema

KEPUASAN bermain ombak di lokasi yang selamat dan selesa untuk seluruh ahli keluarga.


BAGI penduduk sekitar Lembah Klang, Sunway Lagoon, Desa Water Park atau Taman Tema Air Shah Alam merupakan antara destinasi pilihan apabila tibanya musim cuti persekolahan, cuti umum ataupun cuti hujung minggu.
Apa kata percutian kali ini ubah selera dengan membawa keluarga anda bercuti di luar kawasan Lembah Klang.
Mereka yang masih ingin menikmati percutian bertemakan air, jangan lepaskan peluang mengunjungi Bukit Gambang Resort City (BGRC) yang terletak di Kuantan, Pahang.
Terletak kira-kira 35 kilometer (km) atau 30 minit perjalanan dari Kuantan dan dimiliki oleh Sentoria Themeparks And Resort Sdn. Bhd., BGRC menawarkan pakej percutian keluarga yang pastinya tidak akan mengecewakan.
Jika perjalanan dari Kuala Lumpur, ia hanya mengambil masa lebih kurang dua setengah jam dan lebih mudah sekiranya anda mengambil susur keluar Gambang.
Dikelilingi rimba seluas 219 hektar, BGRC menawarkan percutian dan hiburan untuk keluarga yang tiada tandingannya.
Selain menjanjikan suasana yang mendamaikan, pelbagai aktiviti sedia untuk diterokai selain pelbagai kemudahan yang disediakan.
Dibuka Jun 2009, BGRC turut menyediakan penginapan berupa pangsapuri mewah, Caribbean Bay Suites (CBS) selain taman airnya yang pasti memberikan pengalaman sukar dilupakan.
Menawarkan 578 unit apartmen (enam blok), 440 unit suite keluarga, 120 unit suite studio dan 18 unit suite deluxe dengan harga berpatutan, CBS turut menyediakan kemudahan seperti kolam renang, jakuzi, bilik mesyuarat dan seminar, gimnasium, restoran dan kedai cenderamata.
Tidak ketinggalan Caribbean Coffee House dan Caribbean Bistro yang menawarkan pelbagai menu masakan tradisional, timur dan barat.
Di sekitar resort, anda juga boleh bermain snuker, berkaraoke atau membeli barangan kraf tangan dan cenderamata di kedai Gift Shop.
Sementara itu, di ruang arked, anda sekeluarga boleh mencuba pelbagai permainan yang disediakan seperti kuda berpusing, buai dan banyak lagi.
Selain kemudahan hiburan, pihak BGRC turut merangka pelbagai aktiviti hiburan secara bermusim seperti persembahan artis, taman hiburan dan pertunjukan silap mata yang dijadualkan mengikut kadar pengunjung semasa.
CBS turut menyediakan 13 bilik mesyuarat yang terdiri daripada sebuah dewan serbaguna, tiga buah dewan utama dan 10 bilik mesyuarat pelbagai saiz dan ia sesuai bagi mana-mana syarikat yang ingin mengadakan seminar atau bengkel.
Sememangnya terkenal dengan pembinaan yang berkonsep resort bandar integrasi, BGRC menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi dan hiburan untuk semua.
Pelbagai tarikan dan aktiviti pelancongan disediakan pada harga paling minimum.
Oleh yang demikian, tidak sah sekiranya tidak mengunjungi taman tema air yang turut dibina bersebelahan tempat penginapan.
Menawarkan taman permainan air terbesar di Pantai Timur dan dibina di kawasan seluas 60 ekar, kemudahan trem turut disediakan bagi kemudahan pengunjung berulang dari tempat penginapan.
Bertemakan Stay Cool, Get Wet, si kecil pasti teruja dengan Penguin Island, apatah lagi dengan kehadiran seekor ‘ikan pirana’ yang ‘memuntahkan’ 250 liter padu air.
Di sini juga, pengunjung boleh mengembara dengan menyusuri sungai glasier sepanjang 380 meter (m) termasuk 50 m di terowong ais.
Bagi orang dewasa pula, tidak sah sekiranya tidak mencuba segala permainan yang disediakan seperti gelongsor air di celah pokok yang berusia ratusan tahun.
Turut terdapat di situ ialah Six Lane Racer, gelongsor air paling tinggi di taman tema air tersebut dan ia pastinya memberi pengalaman yang cukup ekstrem bagi sesiapa sahaja yang mencubanya.
Selain itu, terdapat juga crystal slide, galaxy slide, canopy slide dan family raft ride.
Untuk family raft ride, ia amat menarik kerana anda akan hanyut bersama ahli keluarga di dalam pelampung yang mampu menampung sehingga tujuh orang pada satu-satu masa dan menggelongsor laju sepanjang 220 m.
Selain gelongsor air dan kolam renang, anda juga boleh bergembira bersama ahli keluarga di pantai buatan, Coco Beach yang turut mempunyai ombak setiap 20 minit.
Untuk tempahan serta maklumat lanjut, layari laman web, www.bgrc.com.my atau hubungi talian 09-5488000 atau 03-89419898.

17 Februari 2011

Trek basikal, laluan persiaran di Taman Negara

Kerajaan Pahang akan membina trek basikal dan laluan persiaran sejauh tiga kilometer bagi kemudahan pelancong beriadah di Taman Negara, Kuala Tahan dekat sini tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi membina kedua-dua laluan tersebut.
''Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pelancongan negeri dan kita akan mewartakan lokasi di Kuala Tahan Seberang sebagai kawasan berbasikal.
''Kemudahan tersebut memberi satu lagi nilai tambah dan impak dalam usaha kerajaan negeri menarik pelancong ke pusat pelancongan bertaraf antarabangsa itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Siri Kayuhan Cinta Negara 2011, di sini baru-baru ini.
Menurut Wan Amizan, kemudahan itu memberi keselesaan kepada pelancong untuk berbasikal apabila pengusaha calet dan resort menyediakan basikal untuk kegunaan mereka beriadah.
Katanya, kemudahan itu dianggap efisien bagi memberi peluang pelancong bersiar-siar untuk melihat keindahan alam semulajadi di Taman Negara.
Beliau menjelaskan, aktiviti berbasikal itu amat digemari oleh pelancong Barat kerana kegiatan sama juga diperkenalkan di beberapa pusat peranginan di luar negara.
''Kegiatan itu dapat memacu industri pelancongan di sini dengan menjana pendapatan para pengusaha menerusi kemudahan menyewa basikal.
''Trek itu juga memberi kemudahan kepada pelumba basikal negeri ini dan negara amnya mengadakan latihan selain berehat menikmati keindahan Taman Negara," katanya.
Wan Amizan menambah, trek berkenaan dibina sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menggalakkan rakyat berbasikal dan merangsang amalan gaya hidup sihat.

29 Januari 2011

Menyingkap khazanah Sungai Relau


Wakil media dan kakitangan NRE mengabadikan kenangan di hadapan pintu masuk Taman Negara Sungai Relau, Merapoh.


MUNGKIN ramai di antara kita yang tidak tahu, selain Kuala Tahan, Taman Negara Pahang (TNP) juga boleh dimasuki melalui satu lagi pintu masuk iaitu Sungai Relau yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari pekan kecil Merapoh, Pahang.
Justeru, atas dasar ingin 'memperkenalkan' kawasan berkenaan kepada umum, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) mengambil inisiatif menganjurkan Kembara Bersama Media bertempat Sungai Relau, Merapoh baru-baru ini.
Kembara yang julung kali diadakan itu ternyata mendapat sambutan baik apabila ia disertai oleh lebih 30 wakil daripada pelbagai agensi media dan kakitangan NRE.
Inspirasi alam semulajadi
Taman Negara Pahang (TNP) mula dibuka kepada umum sejak Ogos tahun 1993 dan dikunjungi ramai terutamanya pada musim puncak iaitu di antara bulan Julai dan Ogos setiap tahun.
Ia mengandungi kira-kira 14,000 spesies tumbuhan, 200 spesies mamalia, 480 spesies burung serta 80 spesies kelawar mengikut rekod yang diterima setakat ini.
Menurut Penguasanya, Abdul Kadir Abu Hashim, TNP juga menjalankan program konservasi dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terhadap lima spesies hidupan liar utama iaitu gajah, harimau, tapir, badak dan seladang.
Jelas beliau, pada masa yang sama, TNP kini tersenarai sebagai salah satu daripada 24 rizab hidupan liar di seluruh Semenanjung Malaysia.
"Kami turut membina terowong bawah tanah bagi memudahkan hidupan liar seperti gajah bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
"Selain itu, terowong itu juga dibina bagi mengelakkan pertembungan dengan laluan manusia yang akhirnya mengakibatkan kematian kepada spesies berkenaan," katanya.
Tambah beliau, pihaknya kini dalam perancangan untuk membina laluan hidupan liar dengan menyambungkan TNP dengan Banjaran Titiwangsa bagi membolehkan hidupan-hidupan tersebut membiak.
Bagi wakil media, pengalaman menyertai program kembara anjuran NRE itu sememangnya merupakan satu peluang yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama.
Berkumpul seawal pukul 7.30 pagi di perkarangan bangunan NRE di Putrajaya, bersama-sama kakitangan NRE para peserta kemudian memulakan perjalanan ke Merapoh yang dianggarkan hanya memakan masa sekitar empat jam.
Beberapa masalah
Bagaimanapun, disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, perjalanan itu akhirnya menjadi lebih dari lima jam.
Sebaik sahaja sampai, mereka terus mendaftar masuk ke rumah tumpangan yang disediakan untuk berehat seketika dan menikmati makan tengahari sebelum dibawa melawat Santuari Ikan Kelah yang terletak di Sungai Juram.
Perjalanan ke santuari itu agak mencabar dengan laluan berbukit dan berliku. Keadaan itu membuatkan peserta terasa seakan-akan sedang menaiki sebuah roller coaster yang meluncur laju membelah keheningan belantara.
Bagaimanapun, mujurlah pemandu kenderaan pacuan empat roda yang membawa peserta ke sana cekap dan mereka juga tidak berhadapan dengan sebarang masalah yang tidak diingini walaupun kenderaan tersebut dipandu agak laju.
Selain berpeluang mengabadikan kenangan bersama ikan yang mendapat jolokan 'Raja Sungai' itu ketika berada di sana, kami juga sempat memberi makan kepada ikan itu dengan bantuan beberapa kakitangan yang terlatih.
Menurut kakitangan berkenaan, ikan kelah sangat jinak dengan manusia dan akan berkumpul apabila makanan ditaburkan di permukaan sungai.
"Ikan-ikan ini akan datang apabila loceng dibunyikan kerana ia menandakan waktu makan sudah tiba dan keadaan ini biasanya berlaku di antara pukul dua sehingga empat petang setiap hari," katanya.
Sungai Relau dalam kenangan
Sesungguhnya, pengalaman singkat selama tiga hari dua malam di Taman Negara Sungai Relau, Merapoh sentiasa 'berbekas' di hati setiap daripada para peserta kembara.
Rata-rata mereka juga berpendapat, kembara itu merupakan antara kaedah terbaik bagi mendekatkan manusia kepada elemen biologi persekitaran di samping mengenal tabiat 'penghuninya' yang pelbagai.
Justeru, sekalung tahniah wajar diberikan kepada pihak NRE dan Taman Negara di atas inisiatif yang diambil mereka dalam usaha membangkitkan kesedaran di kalangan orang ramai bagi menghargai keindahan serta kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di negara ini.

13 November 2010

Kanopi Walkway





LALUAN kanopi Walkway dibina pada 1992 di Taman Negara oleh Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara pada tahun 1992.
Haluan kanopi Taman Negara ini merupakan yang terpanjang di Malaysia dan di dunia dengan keluasan 530 meter dan ketinggian 50 meter.
Ia dibina dengan kabel besi dan jubah berkualiti tinggi serta tali yang kukuh dan mampu menampung berat lebih dari 5 tan dan kabel besi lebih dari 10 tan.
Ia tidak menggunakan paku yang mampu merosakkan pokok yang ada, hanya ruang kayu dipenuhi kabel dan tali.
Laluan kanopi itu juga merupakan jambatan antara kanopi dengan hutan yang menghubungkan pusat pentas atau sekitar pokok sebagai laluan ke kawasan hutan bagi tujuan penyelidikan.
Pokok tinggi yang melepasi kanopi hutan hujan tropika secara purata mampu mencapai 45 hingga 55 meter dan untuk sesetengah spesies daripadanya boleh mencapai ketinggian 60 hingga 70 meter.
Mengikut kajian, 40 peratus spesies flora dan fauna di dunia dan 25 peratus daripada keseluruhan spesies serangga dipercayai tinggal di dalam hutan hujan tropika.
Selalunya pengunjung atau pelancong hanya melihat kanopi itu tanpa menyedari siapa di sebalik pembuatnya.
Baru-baru ini, beratus pengunjung di Taman Negara bertuah kerana dapat melihat sendiri kehebatan anak-anak muda belasan tahun bergayut membina Kanopi Walkway di Taman Negara.
Menurut Pengarah Urusan Aremes Sdn. Bhd., Rathuan Md. Som, 46, berkata, syarikatnya telah di beri kepercayaan untuk membaik pulih dan membina laluan baru setinggi 40 hingga 50 meter.
Dengan kepakaran dan pengalaman sebelum ini, Aremes Sdn. Bhd. juga berjaya membina laluan kanopi di Taman Negara, Kuala Koh, Gua Musang sejauh 420 meter dan Taman Negara Pulau Pinang sepanjang 40 meter.
"Kerja-kerja seperti ini memerlukan peralatan yang diperakui ISO nya dan diiktiraf di seluruh dunia.
"Antaranya seperti tali kerja sintetik lanex yang boleh menampung beban sehingga 1,000 kilogram. Harnesses, connector atau carabiners, chain lock super cable, pullery sling, topi dan kasut keselamatan," katanya.
Bagi bahan-bahan binaan kanopi itu memerlukan peralatan 100 peratus pengiktiraan ISO 9001, SIRIM, terdiri dari kabel utama untuk kekuatan ikatan, bahan FRP untuk platform kanopi, tangga alluminium dan boltnuts SS304.
Bukan mudah untuk membina sebuah kanopi lebih-lebih apabila berhadapan dengan cabaran angin ribut, hujan, tempat bergantung dalam keadaan licin dan bila-bila masa sahaja boleh mengundang bahaya.
Namun semua cabaran tersebut dihadapi manusia terpilih yang tabah untuk melakukan kerja-kerja seperti itu.
Ketua tapak projek, Azmi Abdul Aziz, 46, berkata, tempoh siap sesebuah kanopi mengambil masa antara dua hingga enam bulan bergantung kepada geografi setempat dan panjang laluan.
Selain itu, tenaga pekerja juga perlu diutamakan. Oleh itu Syaikat Aremes tidak bergantung kepada pekerja luar kerana percaya tenaga tempatan lebih rajin, patuh dengan arahan dan mempunyai keazaman yang kuat untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
"Pekerja-pekerja mahir kami terdiri dari 100 peratus rakyat Malaysia dari belia-belia yang dilatih sejak setahun lalu dan terdapat juga pekerja dari golongan Orang Asli yang kini sudah memeluk agama Islam," jelasnya.
Menurut, Mohd Shukri Abdul Rahman, 32, yang merupakan pekerja paling senior dan banyak pengalaman dalam kerja-kerja pembinaan kanopi berkata, kerja seperti ini lasak, mencabar dan merbahaya.
"Ajal maut di tangan tuhan. Tetapi inilah usaha yang kami lakukan demi untuk menyara hidup anak dan isteri tersayang.
"Antara risiko proses pembinaan kanopi ialah seperti serangan lebah tualang yang boleh menyebabkan maut," ujarnya.
Tambahnya, Shukri sebelum ini pernah bekerja dalam bidang pembalakan dan ia banyak membantunya mengenali kehidupan dalam hutan.
Rutin harian, Shukri dan rakan-rakan seharian adalah pada awal pagi mereka memasak untuk sarapan dan membawa bekalan untuk makanan tengah hari.
Mohamad Faizal Ahmad Sobri, 23, dari Kedah memilih pekerjaan seperti ini untuk menguji kesabaran dan mencari cabaran.
"Sememangnya pekerjaan seperti ini mencabar dan kadang kala menggerunkan. Tetapi lama-kelamaan ia menyeronokkan dan boleh memberikan satu kepuasan dalam bidang kerjaya," katanya..

09 Oktober 2010

Gunung Tahan

Gunung Tahan merupakan gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia. Gunung ini digazetkan sebagai Taman Negara diurus oleh Jabatan Perhilitan, Taman Negara Tahan.
Gunung Tahan berdiri megah disamping gunung-gunung lain iaitu; G. Gedung(), G.Resket (1666m), G. Tangga 15 (1539m), G. Pangkin (1462m) dan G. Rajah (576m).
Terdapat 3 laluan atau trek untuk ke G. Tahan. Trek Merapoh. Trek Kuala Tahan dan Trek Kuala Koh. Trek Kuala Koh amat kurang dilalui pendaki atas faktor-faktor jauh dan sukar ke Kuala Koh itu sendiri.
Kebiasaannya pendaki akan melalui trek
Merapoh-G. Tahan-Merapoh,
Merapoh -G.Tahan - Kuala Tahan,
Kuala Tahan -Kuala Tahan atau
Kuala Koh - Kuala Tahan
Merapoh
Pekan kecil di negeri Pahang ini terletak diantara K. Lipis - Gua Musang. Mudah ke Merapoh menggunakan perkhidmatan keretapi. Pejabat Taman Negara Tahan ada di Merapoh untuk urusan pendakian.
Kuala Juram / Sungai Relau
Satu kem yang boleh memuatkan ramai pendaki. Kuala Juram merupakan tempat permulaan pendakian. Dari Merapoh, pendaki akan dihantar menggunakan pacuan 4 roda pihak Taman Negara Tahan. Kuala Juram menjadi tempat pembiakan ikan sungai.
Kuala Luis (306M d.p.l)
Satu lagi sungai yang perlu direntah pendaki. 5KM dari kuala Juram.
Kem Lata Luis
6KM dari Kuala Luis. Berada bersebelahn Sg. Luis yang tenang dan berlata. Berada di ketinggian 558m dpl.
Kem Kor (750m d.p.l)
Kem yang bersebelahan dengan sungai. Cukup luas untuk 100 orang berkhemah. Jarak tempuh dari Lata Luis 2.5KM.
Permatang
2.5 KM dari Kem Kor, terdapat satu kawasan khemah kecil diatas permatang.
Kubang (1406m d.p.l)
Kem ini dimanakan kubang kerana tedapat satu kubang besar di kem ini. Ada anak sungai berdekatan kem ini. Keluasan kem ini juga mampu menampung lebih 100 orang pendaki berkhemah
Belumut
Jarak 1.5 km dari Kubang. Kawasan ini sejuk dan lembab serta penuh berlumut. Terdapat lopak -lopak air dan kawasan yang boleh dipasang khemah untuk 2 -3 khemah.
Bonsai (1705m d.p.l)
Berada di ketinggian dan 5.5 km dari Belumut. Persekitaran dipenuhi pokok -pokok bonsai setinggi pinggang.
Bukit Botak
3KM dari Bonsai. Sebuah bukit yang lapang umpama botak. Kawasan lapang di sini boleh menjadi kawasan perkhemahan. Sumber air dari tadahan hujan dan lopak-lopak. Pemandangan yang menarik sekitar bukit ini.
Puncak G. Tahan
G. Tahan (2187m d.p.l)
Puncak tertinggi ini ditandakan dengan papan tanda, sebelum ini ada beirut yang masih ada sisa tiangnya. Terdapat satu kawasan perkhemahan berdekatan yang boleh menampung 60 orang dan sumber air dari mata air dan lopak-lopak. Satu kesan tapak kaki gergasi yang dikatakan Sang Kelembai boleh dilihat disini.
Gunung Gedung
Gunung yang paling berdekatan dengan G. Tahan. Persekitaran dipenuhi pokok bonsai, Tidak jauh dari sini terdapat bangkai kapalterbang perang dunia ke-2.
Gunung Reskit (1216m d.p.l)
Hanya 1.5 km dari G. Gedung. Laluan mendaki dan menuruni untuk sampai ke puncak gunung ini. Puncaknya agak kecil dan dikelilingi pokok setinggi 2-3 meter.
Gunung Tangga 15 (1539m d.p.l)
2.5KM dari gunung Reskit. Gunung yang dipandang umpama puncak 15 anak tangga gergasi ini berada di ketinggian . Laluan ke gunung ini penuh berbatu dan curam.
Gunung Pangkin (1462 m d.p.l)
Gunung ini cuma 1.5 km dari G. Tangga 15. Panorama gunung-ganang yang menarik dapat dilihat dari puncak gunung ini.
Kem Pangkin Bawah
Kem ini berada di kaki G. Pangkin boleh memuatkan kira-kira 40 orang. Terdapat anak sungai berdekatan sebagai sumber air minuman.
Wray's Camp
Kem ini dinamakan sempena nama seorang pendaki Inggeris, Wray's. Wray yang dikatakan mati disini diabadikan namanya. Kem ini cuma 1km dari Kem Pangkin Bawah dan boleh memuatkan 2 khemah.
Kem Sarsi
Kem ini dikelilingi pokok sarsi, Sejenis pokok yang kulitnya berbau dan berasa minuman sarsi.
Kem Kuala Teku (168m d.p.l)
Kuala Sungai Teku yang luas dan berjeram. Kem ini boleh menampung kira-kira 100 orang berkhemah. Jarak dari Wray's Camp sejauh 5KM.
Kem Kuala Putih
7KM dari Kem Kuala Teku, Sungai Putih mempunyai air yang cukup jernih. Pendaki perlu merentas beberapa kali Sungai Tahan yang adakalanya sehingga paras dada sebelum tiba di kem ini.
Kem Tengah
Kem ini berada kira-kira ditengah Kem Kuala Putih dan G. Rajah. Terdapat mata air yang cukup jernih di kem ini. Kem yang agak luas untuk 30orang bermalam ini jarang dijadikan tempat bermalam kerana kisah mistik, dikatakan ada 2 orang asli yang lalu di kem ini. Seorang dari mereka mati dan digantung di sebatang pokok bagi mengelakkan dari dimakan binatang, sementara seorang lagi pergi mendapatkan bantuan. Setibanya kembali di kem ini, didapati mayat tersebut telah berubah kedudukannya.
Gunung Rajah (576m d.p.l)
Puncak gunung ini gondol dan mengadap banjaran gunung Tahan dengan panorama yang mengkagumkan. Semua gunung di Taman Negara Tahan ini dapat dilihat dari puncak gunung ini. Jelas kelihatan 2 barisan gunung dari G. Tahan. Satu barisan terdiri dari G. Tahan, G. Gedung, G. Reskit, G. Tangga 15 dan G. Pangkin manakala satu lagi barisan gunung terdiri dari G. Tahan, G. Ulu Kerchau dan G. Pantat Lesung. Jika G. Rajah tidak dinamakan sebagai gunung pendaki mungkin tak perlu mendaki ke puncaknya untuk ke Kuala Tahan.
Air terjun 4 tingkat (4 steps waterfall)
Kem Melantai
Kem yang terakhir sebelum ke Kuala Tahan. Terletak di tepi sungai. Perjalanan dari kem ini ke Kuala Tahan adalah landai umpama melata di lantai. Pendaki boleh terserempak dengan hidupan liar sepanjang perjalanan ke Kuala Tahan seperti rusa, babi dan gajah.
Kuala Tahan Penamat / pemula perjalanan pendakian. Terdapat Pejabat Perhilitan, resort, Muzium, dan lain-lain kemudahan kawasan pelancongan. Suasana hidup di Kuala Tahan menarik untuk dikunjungi.

Air Terjun 4 tingkat ( 4 Steps Waterfall) Air terjun ini terletak di tengah belantara di Taman Negara Tahan. Jarang sekali pendaki dan pengunjung pergi ke air terjun ini. Pendaki memerlukan sekurang-kurangnya 2 hari perjalanan pergi dan balik ke air terjun ini.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails