Kerajaan Pahang akan membina trek basikal dan laluan persiaran sejauh tiga kilometer bagi kemudahan pelancong beriadah di Taman Negara, Kuala Tahan dekat sini tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi membina kedua-dua laluan tersebut.''Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pelancongan negeri dan kita akan mewartakan lokasi di Kuala Tahan Seberang sebagai kawasan berbasikal.
''Kemudahan tersebut memberi satu lagi nilai tambah dan impak dalam usaha kerajaan negeri menarik pelancong ke pusat pelancongan bertaraf antarabangsa itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Siri Kayuhan Cinta Negara 2011, di sini baru-baru ini.
Menurut Wan Amizan, kemudahan itu memberi keselesaan kepada pelancong untuk berbasikal apabila pengusaha calet dan resort menyediakan basikal untuk kegunaan mereka beriadah.
Katanya, kemudahan itu dianggap efisien bagi memberi peluang pelancong bersiar-siar untuk melihat keindahan alam semulajadi di Taman Negara.
Beliau menjelaskan, aktiviti berbasikal itu amat digemari oleh pelancong Barat kerana kegiatan sama juga diperkenalkan di beberapa pusat peranginan di luar negara.
''Kegiatan itu dapat memacu industri pelancongan di sini dengan menjana pendapatan para pengusaha menerusi kemudahan menyewa basikal.
''Trek itu juga memberi kemudahan kepada pelumba basikal negeri ini dan negara amnya mengadakan latihan selain berehat menikmati keindahan Taman Negara," katanya.
Wan Amizan menambah, trek berkenaan dibina sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menggalakkan rakyat berbasikal dan merangsang amalan gaya hidup sihat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan