PAHANG amat kaya dengan keindahan alam semula jadi flora dan fauna yang berpotensi dieksploitasi bagi tujuan peningkatan ekonomi penduduknya.
Dua tasik semula jadi iaitu Tasik Bera dan Tasik Chini serta 25 hutan lipur dan lapan air terjun di negeri ini sering menjadi kegilaan pencinta alam untuk berkelah, berekreasi dan bersantai bersama rakan serta keluarga.
Bagi tujuan bersantai dan berekreasi di hujung minggu atau hari kelepasan am, para pencinta alam semula jadi dan yang berjiwa adventure biasanya akan memilih beberapa lokasi air terjun di negeri ini untuk melakukan pelbagai aktiviti.
Antaranya lokasi Air Terjun Jerangkang yang terletak berdekatan dengan Kampung Gelugor, Maran.
Walaupun masih terdapat lokasi air terjun lain seperti Air Terjun Berkelah, Air Terjun Sungai Pandan, Air Terjun Pelangi, Sungai Lembing, Air Terjun Chamang (Bentong), Air Terjun Lata Jarum, Air Terjun Pulau Chekas (Raub), Air Terjun Teladas dan Air Terjun Lubuk Yu, namun kunjungan ke Air Terjun Jerangkang pastinya meninggalkan kenangan yang tersendiri.
Menikmati keindahan semula jadi
Pengunjung dari Kuala Lumpur boleh menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur untuk ke Maran.
Setibanya di Masjid Kampung Gelugor, yang merupakan lokasi pintu masuk ke Air Terjun Jerangkang, pengunjung perlu menggunakan perkhidmatan jentera 4x4 yang biasanya disediakan oleh penduduk sekitar untuk masuk ke sana.
Kebanyakan jentera 4x4 hanya boleh memuatkan enam orang pengunjung bagi setiap perjalanan. Ada juga kumpulan penggemar rekreasi memilih menaiki lori yang boleh memuatkan lebih banyak penumpang.
Perjalanan masuk ke Air Terjun Jerangkang bakal membawa pengunjung merentasi kawasan ladang getah dan hutan belantara selama hampir setengah jam.
Selepas itu, pengunjung perlu berjalan dan mendaki selama setengah jam hingga 45 minit menaiki anak tangga dan jalan berbatu untuk menuju ke kawasan tapak perkhemahan.
Ketika berjalan, pengunjung akan disajikan dengan pemandangan air terjun bertingkat yang dipenuhi dengan pelbagai khazanah alam semula jadi.
Dianggarkan ketinggian kawasan perkhemahan ini adalah sekitar 395 meter (1185 kaki) dan setibanya ke kawasan perkhemahan, pengunjung bebas memilih lokasi yang sesuai untuk mendirikan khemah.
Setelah khemah siap dipasang, peserta boleh memasak dan biasanya menu seperti barbeku, nasi putih, sardin, telur dadar dan ayam goreng menjadi pilihan buat mereka yang suka berkhemah.
Selesai menjamu selera, acara terjun tiruk pastinya menjadi pilihan buat mereka yang boleh berenang memandangkan kejernihan airnya memukau setiap pengunjung yang datang.
Suasana sekeliling yang damai memang menjanjikan kepuasan setelah peserta berhempas pulas mendaki.
Keindahan Air Terjun Jerangkang sangat mengasyikkan malah amat sesuai dijadikan sebagai destinasi berekreasi, berkhemah serta buat mereka yang mahu lari daripada kesibukan kota raya. Di situlah, mereka akan mendengar nyanyian unggas dan bagi yang gemar fotografi, inilah juga lokasinya.
Pengunjung pasti akan terpesona dengan aliran sungai yang jernih serta fauna dan flora yang unik seperti periuk kera, anggerik hutan, cendawan, unggas dan lain-lain.
Kedamaian yang ada pada air terjun ini boleh menenangkan jiwa individu yang mungkin bercelaru dengan pelbagai urusan kerja yang tidak pernah selesai.
Dalam pada itu, menjadi tanggungjawab bersama agar setiap pengunjung yang mengunjungi Air Terjun Jerangkang menjaga kebersihan kawasan rekreasi tersebut bagi mengelak wabak kencing tikus, bersih dan selamat untuk dikunjungi generasi akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan