|
|
|
|
Tanah lumpur 'suam-suam kuku' menjadi tarikan untuk kanak-kanak dan orang dewasa bermandikan lumpur dan menikmati lumpur masin yang dipercayai mampu melegakan pelbagai jenis penyakit kulit.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Kampung Meritam, Mahmud Gampal yang memberitahu, ada penduduk yang mengalami gatal-gatal akhirnya berkurangan apabila disapu dengan lumpur tanah berbuih tersebut.
''Saya memang ada mendengarnya daripada penduduk kampung seberang yang mengakui lumpur tersebut mujarab untuk penyakit kulit seperti kudis dan gatal-gatal.
''Ada penduduk yang membelanjakan ratusan ringgit untuk penyakit kulit yang dihadapinya dan masih tidak pulih, tetapi apabila disapukan dengan lumpur ini, sembuh pula penyakit kulitnya itu," dakwanya.
Dalam tinjauan di kampung tersebut baru-baru ini mendapati tanah berbuih seluas 4 hektar itu menjadi tarikan kepada kanak-kanak dan orang dewasa bermain lumpur.
Fenomena ganjil tersebut turut menjadi perhatian pelancong dari Brunei yang datang ke kampung tersebut untuk bersama-sama bermain lumpur.
Namun malangnya, kawasan tarikan pelancong tersebut belum dibangunkan sepenuhnya dan kini sedang dalam pembinaan beberapa unit tandas, bilik mandi dan sebagainya.
Mahmud berkata, Majlis Daerah Limbang (MDL) sedang melaksanakan beberapa kerja infrastruktur supaya ia memudahkan pelancong asing dan juga tempatan untuk mengunjungi tempat tersebut.
Namun, jangan pula pelik kerana tanah berbuih itu selain menjadi tempat orang ramai bermandi lumpur, ia juga menjadi tarikan kepada unggas alam untuk menikmati lumpur tersebut.
Ia menjadi tarikan kepada kerbau untuk menjilat tanah tersebut yang masin dan suam serta beberapa unggas liar seperti burung, rusa dan sebagainya.
Sebenarnya tanah berbuih tersebut telah lama wujud lebih dari 500 tahun lalu apabila tanah di kawasan tersebut dibuka sebagai kawasan perkampungan.
Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah berkata, kerajaan negeri memang mahu membangunkan kawasan tersebut sebagai tarikan pelancongan baru di Sarawak.
Beliau berkata, MDL yang mendapat peruntukan daripada kerajaan sedang membangunkan kawasan tersebut.
Ditanya asal usul kejadian tanah tersebut, beliau memberitahu ada pihak-pihak yang membuat kajian mengenai kawasan tersebut tetapi sehingga kini belum diumumkan.
Namun, Hasbi berkata, orang tua yang mula-mula menetap di kampung tersebut memberitahu ia bermula dengan bunyi letupan seperti senapang.
''Bunyi seperti senapang itu tercetus ketika tanah liat tersebut meletus. Tetapi kini jarang kedengaran bunyi tersebut lagi. Mungkin sudah tidak ada lagi," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan