Kelantan ketika itu dilihat tidak mempunyai nilai ekonomi dengan keadaan masih mundur dan dengan hampir keseluruhan penduduknya adalah kaum Melayu, ia bukan negeri yang dijadikan sasaran.
Pada 1953, dikatakan hanya terdapat 163 pengganas komunis yang tertumpu di Kelantan dengan sasaran di Gua Musang kerana terdapat penempatan masyarakat Cina yang dikatakan lebih bersimpati dan diharap dapat memberi kerjasama kepada mereka.
Namun hakikatnya daripada keseluruhan jumlah negeri yang dibolosi komunis, Gua Musang adalah satu-satunya tempat di Tanah Melayu yang dipilih pengganas untuk diisytihar sebagai republik komunis.
Fakta ini didedahkan semasa 'Seminar Darurat di Kelantan 1948-1960 Pengalaman dan Iktibar' anjuran Perbadanan Muzium Negeri Kelantan di Auditorium MARA, Kota Bharu baru-baru ini.
Seminar itu diadakan pada hari ulang tahun perjanjian damai antara kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) dimeterai tanggal 2 Disember 1989.
Ia bagi menyedarkan rakyat supaya titik hitam sejarah itu tidak harus dibiarkan berulang dan betapa pentingnya keamanan dan ketenteraman dipelihara agar tiada pihak cuba mengambil kesempatan.
Serentak itu juga, satu pameran mengenai 'Darurat di Kelantan 1948-1960' berlangsung di Muzium Negeri Kelantan yang akan berakhir pada 2 Januari depan.
Dalam seminar itu, beberapa pembentangan kertas kerja mengenai pengalaman Kelantan apabila British mengisytihar undang-undang darurat di Tanah Melayu pada 16 Jun 1948 sehingga 31 Julai 1960.
Pembentang termasuklah Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sejarah Universiti Malaya, Dr. Ho Hui Ling yang menyentuh mengenai 'Perkembangan dan Kegiatan Parti Komunis Malaya (PKM) di Tanah Melayu, 1930-1960.
Katanya, pada 17 Julai 1948 iaitu sebulan selepas undang-undang darurat berkuat kuasa, sejumlah 100 hingga 150 orang pengganas di bawah pimpinan seorang ketua bernama Soon Chip Sip@ Kim Siong telah berjaya menguasai Gua Musang apabila menawan Balai Polis atau Rumah Pasung Gua Musang.
Katanya, Gua Musang yang dikelilingi hutan dan bukit bukau serta bersempadan dengan negeri Pahang dan Perak adalah lokasi strategik sebagai pusat pengganas.
Hui Ling berkata, Chin Peng dalam bukunya My Side Of Story telah menulis bahawa pihak komunis secara kolektif bersetuju dan membuat perancangan untuk menjadikan Kelantan sebagai pangkalan gerakan gerila komunis dengan Gua Musang sebagai sasaran utama.
Menurut laporan, kejadian yang berlaku pada pagi Sabtu hari tersebut telah mengorbankan seorang polis dan seorang inspektor percubaan berbangsa Melayu serta penawanan 14 orang konstabel.
Pihak komunis mengisytiharkan kawasan itu sebagai Republik Komunis dan dalam masa yang sama menawan sebuah kampung Cina terpencil di situ iaitu Lembah Pulai.
"Akan tetapi penawanan Gua Musang hanya bertahan untuk enam hari sahaja. Pada 21 Julai 1948 dengan kerjasama penduduk tempatan dan maklumat daripada Cawangan Khas, pihak pasukan keselamatan telah dapat menawan semula kawasan itu," jelasnya.
Menurutnya lagi, hasil kejayaan itu, pasukan keselamatan berjaya merampas alat senjata, peluru, ubat bedil, bom mortar kepunyaan komunis dalam kuantiti yang banyak.
Yang pasti, katanya, Gua Musang adalah satu-satunya kawasan di Tanah Melayu di mana komunis berjaya mengisytiharkan Republik Soviet.
"Apabila pihak keselamatan menawannya semula, komunis yang terlibat telah dibunuh dan ketuanya digantung di penjara Pulau Pinang pada 2 Februari 1949," kata Hui Ling.
Selain Gua Musang kawasan lain yang menjadi tumpuan pengganas adalah Kuala Krai. Namun kegiatan mereka juga dikesan di Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Puteh.
Lembah Pulai di Gua Musang merupakan salah satu kawasan yang penting bagi pergerakan komunis sejak dari zaman penjajahan Jepun lagi. Kedudukannya yang terpencil dan dikelilingi hutan dengan penduduk Cina yang ramai menjadikan ia kawasan penting bagi mereka," katanya.
Menjelaskan mengenai pengaruh komunis pada peringkat awal di Tanah Melayu, Hui Ling berkata, ia bermula sejak 1920-an lagi melalui cawangan Kuomintang, sekolah, kesatuan sekerja, penerbitan dan pertubuhan dan semakin teratur apabila PKM dibentuk pada 1930.
"Matlamat perjuangan mereka adalah menguasai Tanah Melayu dan menjadikannya sebuah Republik Komunis Malaya,'' jelasnya.
Namun semasa Perang Dunia Kedua (1941-1945), komunis bekerjasama dengan British untuk menghalau Jepun keluar dan berjaya meluaskan pengaruh dan sokongan penduduk apabila menubuhkan Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA).
Selepas Jepun tewas, PKM meneruskan perjuangan dengan menggunakan kesatuan sekerja di negeri-negeri termasuklah Persekutuan Kesatuan Sekerja Negeri Kelantan tetapi gagal berikutan sekatan undang-undang oleh British.
Oleh sebab itu mereka merubah cara perjuangan kepada gerakan bersenjata yang telah membawa kepada pengisytiharan darurat.
Selepas Jepun menyerah kalah, mereka mengganas di Kota Bharu dengan merampas barangan, harta dan mengadakan sekatan jalan raya bukan sahaja terhadap kenderaan tetapi juga pejalan lagi.
Malah mereka turut merancang satu pakatan untuk membunuh Timbalan Menteri Besar pada waktu itu, Datuk Nik Ahmad Kamil Nik Mahmud.
Pensyarah di Jabatan Kajian Sosial, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu, Dr. Hamdan Abdul Aziz berkata sepanjang tempoh darurat di Kelantan, penduduk yang paling menerima kesan adalah orang Melayu.
Katanya, majoriti orang Melayu tinggal di Hulu Kelantan menempuh hidup yang getir apabila hampir keseluruhan kawasan diletakkan di bawah perintah berkurung.
Antara kawasan yang terlibat adalah Kampung Batu Melintang, Pendek, Gunong Reng, Nenggiri, Stong, Ulu Lebir, Manek Urai, Batu Mengkebang , Kuala Balah, Kuala Nal, Dabong, Pergau dan Temangan.
Pergerakan yang terhad menghalang mereka untuk melakukan aktiviti ekonomi seperti mencari hasil hutan serta kerja-kerja pertanian di kawasan yang baru dibuka.
"Selain ketakutan dengan tindakan komunis, penduduk terpaksa hidup dalam 'kerawat berduri' (kawat berduri) dan terbelenggu dengan pelbagai peraturan.
"Mereka hanya boleh makan malam sebelum jam 7 malam dan tidak boleh memasang pelita selepas jam 9 malam. Pada bulan puasa mereka makan untuk tujuan berbuka dan bersahur pada waktu yang sama iaitu pada jam 7 malam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan