|
|
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Abdul Wahab Samsudin yang turut memberi kerjasama menjayakan kempen itu berkata, pantai Port Dickson adalah aset rakyat dan mereka juga bertanggungjawab untuk memastikan kebersihannya terpelihara.
Dalam ucapannya ketika merasmikan majlis pelancaran kempen itu di Avillion baru-baru ini beliau memberitahu, masyarakat hari ini harus prihatin terhadap kebersihan laut demi mengekalkan keindahan pantainya.
"Pantai ini kotor kerana vandalisme dan sikap tidak bertanggungjawab manusia sendiri yang mengakibatkan kerosakan parah kepada alam sekitar," tambah beliau.
Sememangnya impak negatif pencemaran laut tidak hanya memburukkan alam sekitar tetapi juga mematikan hidupan laut selain merbahayakan kesihatan apatah lagi pantai ini menjadi tumpuan ramai.
Selain itu, pencemaran juga menurunkan nilai estetika perairan laut dan pesisir pantai apabila ia berbau serta kotor.
Bersesuaian dengan status Port Dickson sebagai pantai peranginan negara, kempen itu harus menjadi pelopor kepada lebih banyak usaha seumpama itu seperti negara luar termasuk dari seberang apabila aktiviti membersihkan pantai sudah menjadi satu rutin untuk masyarakatnya.
Bagi pihak Avillion, mereka berjanji untuk menjadikan ia kempen tahunan warganya serta memperbanyakkan lagi aktiviti membersihkan pantai termasuk pantai awam di daerah itu.
Pengurus Besar Avillion, Andre J. Sibert memberitahu, aktiviti tersebut akan dilaksanakan sebanyak empat kali setahun demi memastikan pantai Port Dickson sentiasa bersih.
"Kami berharap program seperti ini sedikit sebanyak memberi impak kepada alam sekitar yang menyumbang kepada masyarakat, ekosistem dan pantai di daerah ini," kata beliau.
Menurutnya, seramai 100 kakitangan Avillion turut serta dalam aktiviti membersihkan pantai itu sebagai membuktikan keprihatinan mereka terhadap usaha itu.
Tambahnya, kegiatan itu bukan sekadar membersih kotoran pantai tetapi juga bersifat pendidikan apabila turut melibatkan orang awam dan kanak-kanak.
"Seramai 40 kanak-kanak dari Pusat Kebajikan Kanak-Kanak Rhema dan New Life Care Centre dijemput untuk menjayakan program ini dengan harapan ia dapat mendidik mereka dengan semangat mencintai pantai walau di mana saja mereka berada. Tidak ketinggalan orang awam yang dibawa oleh kakitangan terbabit yang hadir memberikan sokongan," kata beliau.
Aktiviti membersihkan pantai pada hari itu bermula dari pukul 8 pagi dengan menyaksikan kesungguhan semua yang terlibat.
Mereka yang bergerak secara berkumpulan sambil menggendong plastik sampah dan penyapu, mengutip apa saja objek asing yang bukan milik pantai itu seperti botol dan tin minuman, beg plastik, pakaian dan sebagainya.
Percaya atau tidak, setelah lebih lima jam bergerak dengan kejauhan dua kilometer daripada resort hotel milik Avillion iaitu Avillion PD dan Avillion Admiral Cove itu, sebanyak tiga tan sampah berjaya dipungut yang kemudiannya dibuang oleh MPPD.
Sememangnya usaha seperti itu harus dilakukan secara berterusan oleh semua pihak dan barangkali syor Abdul Wahab ini boleh dipertimbangkan.
"Saya ingin mencadangkan agar semua resort dan hotel di sini mengambil sebuah pantai di sekitar kawasan ini sebagai pantai angkat mereka, memadai jika beberapa kilometer daripada kawasan resort atau hotel mereka. Kemudian jaga pantai itu dengan baik, pantai Port Dickson akan sentiasa bersih dan indah untuk semua," tambah beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan