Kuala Kurau umpamanya tidak terkecuali daripada itu dan salah satu lokasi di mana anda boleh mendapatkan kari ikan sembilang 'power' adalah di Kedai Lan Ban Pecah yang terletak di tepi pantai pemecah ombak di Kuala Sungai Burung.
Kelainan kari ikan sembilang di kedai ini adalah kerana ia menggunakan ikan segar daripada spesies sirip merah dan dimasak menggunakan periuk tembikar bagi mengekalkan aroma daripada resipi tradisi turun temurun pemilik kedai berkenaan.
Menurut pemilik kedai, Che Samlan Ismail, 40, hidangan kari ikan sembilang disediakan dalam dua pakej iaitu menikmati hidangan yang telah siap dimasak di kedai atau membuat tempahan awal menerusi telefon sebelum singgah makan di kedai tersebut.
"Untuk mendapatkan kualiti kari yang paling baik, ikan berkenaan perlu dimasak selama 20 minit. Sebab itulah, kami selalu menerima tempahan melalui telefon untuk menyediakan kari, memandangkan ia mengambil masa untuk siap dihidangkan," katanya yang telah mengusahakan kedai makan tersebut sejak 2004.
Menurutnya, ikan sembilang menjadi menu utama kerana ia merupakan ikan yang menjadi kegemaran utama penduduk di Kuala Kurau. Katanya, kelazatan menu kari ikan sembilang kini telah tersebar apabila semakin ramai pengunjung dari Ipoh dan Pulau Pinang sanggup datang menikmati kari ikan sembilang, khususnya pada cuti hujung minggu.
Pelanggan juga boleh menikmati pelbagai keistimewaan lain jika berkunjung ke Kedai Lan Ban Pecah kerana selain menikmati ikan segar, mereka akan disajikan pemandangan indah dan udara segar dari laut Selat Melaka yang terbentang luas di hadapan mata.
Jika mahu keadaan romantik, datanglah ketika senja mahu berlabuh kerana panorama matahari terbenam begitu mengasyikkan, selain dapat menyaksikan kebesaran ciptaan Tuhan.
Mereka yang ingin menikmati kari ikan sembilang dinasihatkan membuat tempahan awal dengan menghubungi Samlan di talian 014-2431773.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan