ALOR GAJAH 7 Feb. - Sebut sahaja pusat peranginan A'Famosa Resort yang terletak di Simpang Ampat, Alor Gajah pastinya tidak asing lagi bagi mereka yang mahukan percutian penuh dengan keriangan dan lebih santai.
Kedudukannya yang strategik di salah satu pintu masuk ke daerah Alor Gajah iaitu melalui persimpangan Plaza Tol Simpang Ampat Lebuh Raya Utara-Selatan juga memudahkan orang ramai mengunjunginya.
Perjalanan menggunakan kenderaan dari Kuala Lumpur hanya memerlukan kira-kira satu jam 20 minit dan pengunjung juga tidak perlu risau untuk meletak kenderaan kerana kawasan yang disediakan cukup luas.
Selain terkenal dengan kemudahan penginapan yang serba lengkap dan bertaraf antarabangsa itu, A' Famosa menyediakan pelbagai kemudahan rekreasi yang menjadi pilihan sekeluarga untuk beriadah.
Antaranya, Pekan Koboi, A'Famosa Water World dan A'Famosa World Safari selain kemudahan sukan seperti paintball, horse riding dan bagi peminat sukan golf, A'Famosa Resort Golf Club pasti menjanjikan yang terbaik.
Keseronokan percutian bersama keluarga akan bertambah ceria dengan pusat-pusat rekreasi baru seperti Jurrassic Experience 2011.
Di sebuah kawasan lapang berhadapan A 'Famosa Water World dan A'Famosa World Safari, pengalaman melihat 15 replika dinosaur ini pastinya menjanjikan sesuatu yang menarik kepada pengunjung.
Apa yang menarik, replika kesemua dinasour yang direka berdasarkan kajian penemuan fosil oleh para pengkaji bertauliah itu mampu mengaum dan bergerak melalui penggunaan sistem teknologi canggih.
Selain itu, replika yang dipamerkan boleh bertelur.
Antara jenis-jenis replika dinosaur yang dipamerkan Yangchuanosaurus, Triceratops, Maiasaura dan Dilophosaurus selain beberapa spesies T-Rex.
Pengunjung yang datang dapat melihat replika itu dengan lebih dekat mengenai spesies dinosaur melalui setiap maklumat yang disediakan.
Selain pameran dinosaur yang menjadi tarikan baru, A'Famosa Resort mengorak langkah dalam mempelbagaikan lagi jenis permainan yang terdapat di Water World.
Taman permainan air seluas lapan hektar itu juga mempunyai tarikan lain antaranya Kid's Adventure Play Pool, Arabian Village, Inner Tube Slide, Family Raft Ride, Lazy River dan Wave Pool.
Berkonsepkan hiburan seisi keluarga, pihak pengurusan A'Famosa Resort mengorak langkah dengan menambah lagi sebuah permainan baru yang mampu memberi satu cabaran kepada pengunjung yang datang ke sini.
Permainan air 'Splash', membawa konsep sukan lasak yang mempunyai lapan halangan berbeza memerlukan kekuatan mental dan fizikal peserta.
Permainan air dan darat yang pertama di Malaysia ini memberi cabaran terhebat kepada mereka yang mencuba Splash.
Antara cabaran yang perlu dilalui, peserta perlu mendaki dan mengharungi beberapa halangan sebelum sampai ke garisan penamat.
Menurut Pegawai Eksekutif Media A'Famosa, Farrah Sharizan, pelbagai aktiviti menarik telah disediakan bagi menarik lagi jumlah pengunjung ke A'Famosa Resort.
Kata beliau, usaha menambah dan mempelbagaikan lagi pusat rekreasi dan aktiviti-aktiviti riadah di kawasan ini merupakan salah satu cara bagi mengelakkan pengunjung berasa bosan.
''Kita mahukan setiap percutian sebuah keluarga itu berakhir dengan kegembiraan dan menjadi tanggungjawab pihak A'Famosa Resort menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk tatapan semua lapisan masyarakat yang datang ke sini.
''Selain itu, pelbagai aktiviti menarik disediakan selain tempat penginapan yang berkualiti," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Menurut Farrah lagi, kesemua pusat rekreasi dan aktiviti riadah adalah berkonsepkan keluarga namun, ia tidak bermakna mereka yang datang bersama rakan-rakan tidak boleh turut menyertai kesemua permainan yang disediakan.
''Seperti pameran dinosaur yang sedang berlangsung bermula 1 Febuari hingga 20 Mac ini, ia bukan sahaja membawa pengalaman kembali ke zaman dinosaur tetapi turut disediakan segala maklumat mengenai spesies yang dipamerkan," katanya.
Beliau berkata, harga tiket yang dikenakan adalah RM20 untuk dewasa dan RM12 bagi kanak-kanak.
''Mereka yang berminat boleh terus mengunjungi Animal World Safari. Ia dibuka seawal 9 pagi sehingga 5 petang termasuk cuti umum dan hujung minggu," katanya.
Menurut beliau, permainan air Splash juga akan disiarkan di kaca televisyen dengan penyertaan serama 260 peserta yang menyahut cabaran Splash, di sini baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan