|
|
Program yang berlangsung selama seminggu di Taman Botani, Kebun Bunga di sini sememangnya dinanti-nantikan oleh orang ramai khususnya rakyat negeri ini untuk menyaksikan pameran berasaskan bunga-bungaan atau tumbuhan hijau penyeri suasana.
Selain peluang membeli-belah dalam program sempena cuti sekolah itu, mereka juga dapat melihat contoh-contoh hiasan landskap yang dipamerkan dalam pelbagai bentuk yang menarik.
Perasmian pesta disempurnakan oleh isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Majimor Shariff dalam suasana penuh meriah dan beliau kelihatan begitu tertarik dengan bunga-bunga yang dipamerkan terutama orkid dari jenis Coelogyne Rochussenii.
Presiden Persatuan Orkid Pulau Pinang, Michael Ooi berkata, orkid jenis itu yang turut dipanggil 'Indian Lady' di kalangan penggemar orkid amat unik kerana ia hanya berbunga seminggu sebelum sambutan perayaan Thaipusam.
Menurutnya, bunga tersebut yang berjuntai-juntai berwarna putih dan kekuning-kuningan serta berbau harum amat digemari oleh pengunjung khususnya di kalangan kaum India untuk hiasan sanggul atau dijadikan kalungan bunga.
"Setiap tahun kita membawa lebih banyak bunga dan lebih banyak spesies orkid terutama dari jenis kacukan untuk dilihat pengunjung.
''Negara kita mempunyai banyak spesies orkid dan pesta ini merupakan platform untuk penggemar-penggemar orkid melihat dengan lebih dekat spesies-spesies ini.
"Terdapat juga beberapa spesies yang kita bawa dari Taiwan, Singapura dan Thailand," katanya.
Selain itu, menurut Michael, usaha untuk mempromosikan industri orkid di peringkat antarabangsa penting memandangkan Malaysia mempunyai banyak spesies yang unik.
Kata beliau, sekiranya kerajaan membantu menyediakan platform kepada pengusaha, tidak mustahil industri orkid negara boleh bersaing dengan negara-negara pengeluar yang lain.
''Kita mempunyai banyak spesies orkid yang unik, rugi jika kita tidak mempromosikan spesies yang kita ada kepada dunia," katanya.
Justeru, Micheal berharap supaya Kementerian Pelancongan boleh menjadikan industri orkid ini sebagai salah satu aspek pelancongan negara.
''Industri orkid boleh dijadikan tarikan pelancongan negara, saya percaya jika kementerian bantu, kita boleh tarik lebih ramai pelancong datang ke negara kita," katanya.
Sementara itu, Pengarah Taman Botani, Datuk Tengku Idaura Tengku Ibrahim berkata, pesta yang diadakan sejak 19 tahun lalu itu berjaya menjadi salah satu daya tarikan kepada penduduk tempatan serta pelancong luar untuk melawat ke Pulau Pinang setiap tahun.
''Mereka boleh mendapatkan pelbagai tumbuhan lain yang jarang ditemui seperti periuk kera dan ulam-ulaman hutan dengan harga yang berpatutan.
"Pendek kata, semuanya ada di sini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan