|
|
Dengan tema Making Unique Landforms Understandable, persidangan itu dihadiri kira-kira 100 peserta termasuk dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Britain, Brazil, China, India, Iran, Afrika Selatan, Poland, Pakistan dan Malaysia.
Mereka terdiri daripada pakar akademik, pengusaha pelancongan, pelajar dan individu yang berkaitan dengan industri berkenaan.
Sebanyak 30 kertas kerja dibentangkan sepanjang program itu dan Australia merupakan negara yang paling banyak melakukan pembentangan dengan membabitkan 10 peserta.
Ketua Pegawai Eksekutif STB, Datuk Rashid Khan berkata, Mulu dipilih sebagai tuan rumah selepas persidangan pertama diadakan di Fremantle, Australia pada Ogos 2008.
Menurut beliau, persidangan itu berlangsung sekali dalam tempoh dua tahun.
“Persidangan ini dihoskan oleh ‘Forum Advocating Cultural’ dan ‘Eco Tourism’ di barat Australia serta diluluskan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Pada dasarnya ia bertujuan memperluas pengetahuan mengenai geo pelancongan di samping memperkenalkan konsep geo taman di kalangan para peserta dari seluruh dunia,’’ katanya pada majlis perasmian Persidangan Global Geo Pelancongan dekat sini baru-baru ini.
Rashid memberitahu, pemilihan Sarawak menjadi tuan rumah amat bertepatan kerana Mulu diiktiraf oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia berikutan keunikan gua-gua, alam semula jadi, flora dan faunanya.
Malah katanya, Mulu turut menepati kriteria sebagai tapak geo pelancongan kerana mempunyai warisan geologi (batu dan fosil), sejarah dan budaya yang dapat menarik pelancong ke situ.
Tambahnya, pemilihan Mulu di bahagian Miri itu sebagai tuan rumah juga signifikan kerana delegasi boleh melawat Taman Negara Gua Niah iaitu satu tapak arkeologi yang penting di Asia Tenggara di samping menikmati keindahan Mulu yang menakjubkan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam ketika ditemui berkata, sejak Mulu mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2000, ia terus menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
“Ini kerana, Taman Negara Gunung Mulu juga memiliki salah satu sistem gua yang paling menakjubkan iaitu gua yang terbesar di dunia dikenali sebagai Sarawak Chamber manakala Gua Rusa dilaporkan gua terpanjang di dunia.
“Pembentukan formasi gua-gua di Mulu ini dianggarkan sudah berlaku sejak 40 juta tahun lalu,” ujarnya.
Selain itu, jelas George, keindahan alam semula jadi di Taman Eden, puncak Gunung Mulu dan cerucuk berbatu (pinnacle) menjadikan Mulu contoh terbaik destinasi geo pelancongan bertaraf dunia.
Menurut beliau, geo pelancongan merupakan satu konsep pelancongan baru di mana pelancong dibawa melawat ke tapak yang mempunyai kepentingan warisan geologi, sejarah, budaya serta melakukan aktiviti yang sesuai di dalamnya.
Justeru, beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Warisan Sarawak berkata, kerajaan negeri akan memberi tumpuan serius kepada industri geo pelancongan dalam usaha meletakkan negeri ini sebagai salah satu peneraju utama sektor tersebut di peta dunia.
“Kerajaan akan beri keutamaan terhadap pembangunan produk geo pelancongan bagi menarik lebih ramai kedatangan pelancong terutamanya para penyelidik dan individu yang menyukai aktiviti berteraskan alam semula jadi.
“Saya juga optimis, geo pelancongan bukan sahaja menyumbang pulangan lumayan dalam industri pelancongan malah mempelbagaikan produk pelancongan yang sedia ada di Sarawak,” katanya.
Mengulas mengenai persidangan tersebut, Hong Nam berkata, ia menjadi landasan terbaik kepada para peserta untuk berbincang dan berkongsi maklumat dalam menetapkan hala tuju industri geo pelancongan khususnya di Sarawak.
Katanya, kerajaan berharap persidangan ini dapat menghasilkan satu garisan dan kesepakatan dalam mengurus serta memasarkan produk geo pelancongan.
Jelasnya, maklumat menerusi persidangan tersebut boleh dijadikan rujukan oleh industri pelancongan tempatan dan luar negara yang terlibat.
Pada masa yang sama, pembabitan Sarawak dalam produk geo pelancongan ini memberi dimensi baru dalam membantu kerajaan memulihara dan menguruskan sumber alam semula jadi secara mapan.
Pada masa sama, delegasi turut mengambil kesempatan menjelajah Gua Rusa, Gua Lang, Gua Air Jernih dan Gua Angin menggunakan bot dan berjalan kaki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan