|
|
JOHOR BAHRU 5 Feb. – Seramai 87 peserta antarabangsa dari 19 negara dan 59 pelayang tempatan menyertai Festival Layang-layang Antarabangsa Bandar Dato’ Onn 2010 yang pertama kali diadakan di bandar moden itu.
Sebelum ini, setiap tahun sejak 14 tahun lalu, festival layang-layang tersebut diadakan di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang.
Festival anjuran Johor Corporation (JCorp) bersama Johor Land Berhad dengan kerjasama Persatuan Pelayang Johor dan Majlis Pelayang Malaysia itu bertemakan ‘Satu Angkasa... Satu Dunia... Satu Impian’.
Ketua Eksekutif JCorp, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, tema tersebut membawa maksud komitmen para pelayang dalam menyampaikan mesej keamanan dan keharmonian sesama insan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan negara.
Beliau berkata, antara negara yang menyertai festival tersebut adalah Hungary dan Kuwait yang pertama kali turut serta.
‘‘Lain-lain negara yang sering menyertai festival adalah New Zealand, Perancis, Australia, Austria, Jerman, Korea Selatan, Jepun, China, Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina, Kemboja, Brunei, Taiwan, Vietnam dan India,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Majlis Pelayang Malaysia berkata demikian selepas menziarahi Makam Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail bersama-sama kira-kira 40 pelayang antarabangsa di sini hari ini.
Muhammad Ali berkata, kehadiran pelayang di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah itu untuk menyatakan rasa hormat dan kesedihan mereka atas kemangkatan baginda.
‘‘Di kalangan pelayang yang datang ke Pasir Gudang sejak 14 tahun lalu, mereka cukup mesra dengan Almarhum kerana baginda tidak pernah gagal menghadiri acara tahunan itu.
‘‘Kunjungi ke makam ini adalah sebagai tanda hormat kepada Almarhum yang selama ini sering membangkitkan semangat pelayang untuk terus menyertai festival tersebut. Malah masa festival inilah baginda berpeluang mendekati rakyat,” katanya.
Menurutnya, walaupun lokasi festival berkenaan telah berpindah, sambutan masih menggalakkan dan penganjur turut menyediakan beberapa acara menarik bagi pengunjung festival berkenaan.
Antaranya, persembahan layang- layang moden dan kreatif, besar dan kecil yang penuh warna-warni daripada peserta antarabangsa.
‘‘Pengunjung berpeluang menonton persembahan layang-layang tradisi Malaysia besar dan kecil dari peserta kebangsaan dan menyertai bengkel layang-layang.
“Sepanjang festival berlangsung, orang ramai boleh melihat pertunjukan layang-layang stunt kite dan revolution serta pertunjukan lollypop drop dan membeli pelbagai produk di 65 gerai jualan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan