|
|
Aktiviti ini merupakan latihan berhalangan menggunakan binaan pada dahan pokok yang menggunakan tali-temali, kabel dan kayu.
Dari segi sejarah, tidak diketahui bila dan di mana sukan ini mula diperkenalkan namun ia pernah menjadi salah satu sesi latihan ketenteraan pada zaman Greek.
Sukan yang dipermodenkan sejak 1980-an ini mengekalkan beberapa prinsip asalnya termasuk disiplin, kerja berkumpulan dan komitmen.
Menariknya, binaan sukan ini menggabungkan 19 elemen tinggi dan 18 elemen rendah daripada 14 binaan tiang konkrit menggantikan dahan pokok yang menjadikannya yang pertama di negara ini.
Kegiatan yang popular di Eagle Ranch Resort di Batu 14 Jalan Pantai di sini, menggamit penggemar sukan lasak yang menginginkan sesuatu yang baru.
Menurut Pengarah Urusan resort itu, Jimmy Tee, kursus cabaran tali-temali itu diadakan bagi merancakkan lagi aktiviti sukan agar Port Dickson terus menjadi tarikan ramai.
“Ini adalah salah satu usaha resort untuk memperkenalkan sukan tersebut kepada penduduk negara ini terutama yang menggemari sesuatu yang lasak dan mencabar.
“Selain itu, ia diharapkan dapat merancakkan aktiviti pelancongan di daerah ini yang mendapat pengiktirafan sebagai pantai peranginan negara,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Kursus cabaran tali-temali ini turut menawarkan latihan fizikal dan mental baik kepada individu mahupun berkumpulan.
“Aktiviti seperti ini juga sesuai sebagai aktiviti kem bina semangat yang memerlukan kombinasi kerja berpasukan, skil dan komitmen individu.
“Ia juga disertai pelajar sekolah dan orang dewasa yang menginginkan suatu aktiviti mencabar,” kata beliau.
Jimmy memberitahu, binaan kursus cabaran tali-temali itu adalah yang terbesar di negara ini.
Pengurus Residen resort itu, B. Kumaren yang juga merupakan jurulatih dalam sukan itu berkata, kursus di resort tersebut berbeza daripada yang ditawarkan di tempat lain.
“Selain binaan yang terbesar dan mempunyai banyak elemen di kawasan terbuka, aktiviti ini juga menjanjikan lebih daripada sekadar aktiviti lasak,’’ katanya.
Tambahnya, ketika memulakan cabaran peserta juga terlebih dahulu diberi penerangan tentang aspek keselamatan termasuk dari segi mematuhi peraturan seperti pemakaian pelindung kepala.
Beliau menambah, setiap elemen membabitkan halangan yang harus ditempuhi peserta direka memenuhi keinginan pelbagai latar peserta.
“Setiap elemen mempunyai ciri-ciri khas tersendiri sama ada menggunakan tali, bola, kayu mahupun kabel sebagai halangan.
“Bagaimanapun misi cabaran ini adalah melatih peserta berdedikasi dalam mencapai sasaran mereka selain menguatkan elemen keyakinan diri,” kata beliau.
Beliau menambah, selain itu ia juga mampu meningkatkan skil komunikasi dan kepimpinan peserta.
“Dalam sesuatu situasi ada juga di kalangan peserta yang gugup ketika berada di atas dan gagal untuk turun.
‘‘Pada ketika inilah peserta lain memainkan peranan sebagai penyelamat untuk menurunkan rakan mereka,’’ katanya.
Katanya lagi, cabaran itu boleh disertai daripada seorang individu sehingga 15 peserta sekali gus dalam setiap sesi.
“Selain meraih kegembiraan dan kepuasan terutama ketika berjaya melaksanakan setiap cabaran, latihan seperti ini juga mampu mendidik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan