
BELUT! Mendengarnya pun sudah geli, inikan pula memegangnya. Namun, bagi 54 peserta dari 16 kumpulan Cabaran Go Green Merbok (MGGC), itulah yang terpaksa mereka lakukan bagi memenangi hadiah wang tunai.
MGGC anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kedah (MTPN-Kedah) dan ANCM Creative Sdn Bhd itu adalah acara sukan lasak yang mencabar minda dan fizikal peserta.Ia diadakan sempena Bulan Pesta Air bagi memberi peluang peserta merasai sendiri keindahan alam semula jadi.MGGC mempertandingkan empat disiplin iaitu prolog, berkayak, berbasikal dan kuiz pelancongan.
Disiplin pertama yang peserta perlu tempuhi ialah cabaran prolog di taman tema The Carnival.Sebanyak 10 tugasan perlu diselesaikan, antaranya mendaki tembok tiruan, ujian daya ingatan, bermain dart, golf, lompat tali, menari dan mengalihkan belut.
Markah yang terkumpul sepanjang prolog itu dijadikan penentu giliran pelepasan bagi acara seterusnya iaitu berkayak sejauh tujuh kilometer (km) dari Kompleks Jeti Pelancongan Sungai Merbok atau lebih dikenali sebagai Jeti Semeling.Selepas dua km mendayung, peserta terpaksa singgah di tebing sungai bagi melengkapkan tugasan pertama iaitu mengikat empat ekor ketam batu.Ketam itu perlu dibawa sehingga ke garisan penamat.
Memang lucu melihat gelagat peserta kerana ada yang menjerit kesakitan dikepit ketam itu.Ketam yang diikat dan menjadi ‘pasport’ yang menjadi bukti persinggahan di setiap ‘checkpoint’, sudah di cop, dayungan diteruskan ke kunci air Sungai Keluang.
Lenguh tangan mendayung belum pun lagi hilang, cabaran berbasikal pula menanti sejauh 25 km sebelum menaiki bot penambang ke garisan penamat di Tanjung Dawai.Sepanjang berkayuh, peserta perlu melengkapkan beberapa soalan di beberapa ‘checkpoint’, antaranya Muzium Arkealogi Lembah Bujang.Selesai menjawab semua soalan di Muzium Arkealogi Lembah Bujang dan melihat tinggalan sejarah, mereka meneruskan kayuhan ke Tanjung Dawai.
Sebelum tiba di jeti, mereka perlu menyelesaikan tugasan terakhir iaitu mengopek ikan bilis seberat satu kilogram. Sesampai di jeti, setiap peserta terpaksa mengangkut basikal masing-masing ke bot penambang untuk menyeberangi muara sungai ke garisan penamat di Pantai Merdeka.Kumpulan Hardy sport muncul juara serta menerima hadiah wang tunai RM3,000 diikuti TRM Perlis di tempat kedua dan UFM ketiga yang masing-masing membawa pulang RM2,000 dan RM1,000.
Selain MGGC, acara sampingan seperti perahu tangkoi, kayak single, kayak double, kayak polo dan kayak slalom turut dibuka kepada masyarakat tempatan.
>InfoHUTAN PAYA LAUT SUNGAI MERBOK
Hutan Simpan Paya Laut Merbok terletak di pinggir Sungai Merbok dengan keluasan 4,114 hektar dan ia adalah satu kawasan hutan simpan paya laut yang terbesar di Semenanjung Malaysia serta diwartakan pada 29 September 1951.Ia juga adalah kawasan hutan simpan yang kaya dengan pelbagai spesies bakau terbanyak di dunia.
Pengkaji burung, Gregory Smith (1993) berjaya mengenal pasti 80 spesies burung antaranya ialah 15 spesies yang bergantung sepenuhnya kepada hutan paya.Selain itu, kawasan Hutan Simpan Paya Laut Merbok itu juga dihuni kelip-kelip.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan