
BUKIT MERTAJAM 17 Nov. - Sebaik melepasi Tol Juru di Bukit Mertajam menghala utara pada waktu malam, pengguna Lebuh Raya Utara Selatan sudah pasti dapat melihat sebuah kawasan yang diterangi dengan bangunan-bangunan bercahaya.
Suasana tersebut menjadikan kawasan dinamakan Juru Auto-city itu terus 'hidup' meskipun malam semakin larut.
Makin jarum jam menghampiri pukul 12 tengah malam, semakin meriah aktiviti di situ terutama pada hujung minggu.
Bagi yang suka membeli-belah, terdapat deretan gerai di satu sudut digelar Love Bridge yang memulakan operasi dari pukul 6 petang hingga 2 pagi.
Berkonsepkan perniagaan terbuka, ia berjaya menarik ribuan pengunjung untuk membeli-belah pada waktu malam.
Bagi golongan hawa, inilah peluang terbaik memandangkan mereka kebiasaannya sibuk dengan kerja atau bersama keluarga masing-masing pada waktu siang.
Keunikan barangan yang dijual juga menjadikan bazar larut malam di situ menjadi tumpuan khususnya golongan remaja.
Bukan sekadar menawarkan barang jualan pada harga murah, di situ juga disediakan skrin gergasi bagi membolehkan pengunjung menonton filem sambil melepaskan lelah.
Selain disediakan tempat duduk selesa, filem itu juga ditayangkan secara percuma kepada orang ramai.
Di situ juga terdapat pelbagai restoran yang menyajikan hidangan- hidangan lazat dari Barat dan Timur.
Tidak cukup dengan itu, tempat penginapan berbentuk inap desa dan hotel juga ada di Juru Autocity.
Menurut seorang pengunjung, Mohamad Norhan Jamil, 21, dia suka menemani ahli keluarganya membeli-belah di situ kerana tayangan yang disediakan.
"Sambil menunggu ahli keluarga membeli-belah, saya menonton wayang.
"Sebab itulah saya suka tempat ini berbanding pusat beli-belah lain," katanya.
Di situ juga Mohamad Norhan tidak menghadapi masalah untuk meletakkan kenderaan kerana ruang letak kereta yang luas disediakan secara percuma.
Bagi peniaga beg tangan wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ong, dia memberitahu, kebanyakan yang datang ke situ merupakan pelanggan tetap.
"Saya boleh katakan mereka ini pelanggan tetap kerana kerap kali saya lihat mereka datang ke sini membeli-belah sekurangnya dua bulan sekali," ujarnya.
Ong berkata, kadang-kala dia terpaksa melanjutkan waktu operasi hingga pukul 4 pagi kerana sambutan menggalakkan daripada pengunjung pada hujung minggu.
Tambahnya, antara faktor yang dapat menarik golongan muda datang adalah barangan jualan boleh dibeli pada harga murah dan boleh tawar-menawar.
"Kita faham, remaja mungkin tidak mempunyai wang banyak kerana masih belajar atau baru bekerja.
"Justeru, kami akan jual pada harga paling berpatutan," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan