|
Dengan pantainya yang halus memutih dan air laut kebiru-biruan, pastinya hati pantas terpikat dengan keindahan alam semula jadi pulau berkenaan.
Keindahan flora dan faunanya yang masih belum tercemar juga pasti membuat pengunjung yang menggemari aktiviti seperti 'snorkeling' dan selam skuba teruja.
Keramahan penduduk yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan ternyata sangat mengalu-alukan kedatangan orang luar.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga dapat melihat ratusan kelawar dan keluang bergantungan di pokok-pokok kelapa dan kekabu yang terdapat di pulau berkenaan.
Terletak kira-kira 20 batu nautika (37 kilometer) dari selatan tenggara Mersing di pantai timur Johor, perjalanan ke pulau berkenaan memakan masa kira-kira 45 minit dari Mersing.
Mengikut geografi, pulau itu terletak berhampiran dengan beberapa pulau lain iaitu Pulau Besar, Pulau Rawa dan Pulau Sibu.
Di pulau tersebut, terdapat tiga buah kampung iaitu Kampung Tanjung Balang, Kampung Pasir Panjang dan Kampung Sebirah Besar.
Bagi pengunjung yang ingin menginap di pulau ini terdapat banyak calet yang disediakan dan salah satunya adalah Calet Tok Mok di Kampung Tanjung Balang.
Pemilik calet yang merupakan ketua kampung berkenaan, Rahaman Ali, 58, berkata, nama calet tersebut diambil sempena nama timangannya iaitu 'Tok Mok'.
|
Beliau yang juga kontraktor kelas F berkata, terdapat 12 calet berkonsepkan kampung didirikan di kampung berkenaan sejak tahun 80-an dengan kadar serendah RM50 satu malam.
Katanya, pengunjung juga boleh memilih pakej menginap tiga hari dua malam, 'snorkling', barbeku dengan harga serendah RM250.
"Jika pengunjung bernasib baik, mereka juga boleh melihat penyu naik ke pantai untuk bertelur dan telur penyu menetas pada musimnya.
"Bagi keluarga yang membawa kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, tiada bayaran akan dikenakan," katanya.
Menurut Tok Mok, calet miliknya bukan sahaja menerima kunjungan daripada pelancong tempatan malah dari luar negara terutamanya pada musim cuti sekolah.
Calet yang dibina dengan kos RM200,000 itu sering dijadikan lokasi oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan untuk menganjurkan aktiviti dan kursus.
Lebih membanggakan, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar turut berkenaan merasmikan calet tersebut pada 29 Julai 2007 semasa program Kembara Mahkota Johor (Jelajah Pulau) ketika baginda bergelar Tunku Mahkota Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan