''Muzium ini merupakan salah satu produk pelancongan terbaru yang berunsurkan pendidikan selain menjadi tempat penggemar kenderaan unik untuk melihat beberapa jenis kenderaan yang dipamerkan.
''Pihak kami berharap muzium ini dapat dimanfaatkan oleh pelbagai pihak khususnya peminat automobil untuk berkunjung ke muzium ini dan menjadikan tempat ini sebagai medan rekreasi bersama rakan-rakan lain," katanya pada majlis perasmian Muzium Pengangkutan di Ayer Keroh.
Hadir sama Pengurus Besar Perzim, Khamis Abas dan Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Latif Bakar.
Muzium Pengangkutan yang dibuka secara rasmi kepada orang ramai bermula semalam merupakan satu-satunya muzium yang dikhaskan bagi penggemar automobil untuk melihat pelbagai jenis kenderaan lama dan baru selain mempamerkan pelbagai maklumat perkembangan sejarah pengangkutan negara ini sejak beratus tahun lalu.
Selain itu, penggemar automobil juga dapat melihat beberapa basikal klasik yang hanya boleh didapati di muzium tersebut.
Mengulas lanjut, Abd. Aziz berkata, pihaknya mengambil satu pembaharuan apabila membuka muzium berkenaan iaitu sebagai tanda sokongan terhadap industri pembuatan kenderaan komersial.
''Kita bukan sahaja mempamerkan basikal klasik yang menjadi trend pada masa dahulu tetapi juga pelbagai kenderaan antik seperti kereta antik dan motosikal yang begitu sukar untuk ditemui pada masa kini selain mengetahui sejarah pembuatan kereta,'' ujarnya.
Jelasnya, setakat ini Perzim mengendalikan sebanyak 22 buah muzium dan lima buah galeri.
''Kita berharap muzium-muzium ini mampu meningkatkan peratusan kedatangan pelancongan ke negeri ini,'' katanya.
Menurutnya, orang ramai kini boleh mengunjungi Muzium Pengangkutan yang dibuka pukul 9 pagi hingga 6 petang dengan bayaran masuk RM10 bagi orang dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan