Program anjuran Malaysian Sport Aviation Federation (MSAF) dan AKA Balloon Sdn. Bhd., dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) itu padat dengan pelbagai aktiviti bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati dan menyertainya.
Pengerusi Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya, Khairudin Abdul Rani berkata, pesta itu mendapat sokongan pelbagai pihak.
"Kami menyasarkan kehadiran pengunjung kira-kira 300,000 orang iaitu menyamai rekod pengunjung pada tahun lalu," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian fiesta tersebut di sini hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin hadir merasmikan fiesta tersebut dan seterusnya merasai pengalaman menaiki belon udara panas.
Menurut Khairudin, penganjuran kali ini berjaya menarik minat empat negara baru untuk menghantar belon udara panas mereka iaitu Vietnam, Hong Kong, India dan juga Thailand.
Selain itu, katanya, sebanyak 27 belon udara panas daripada 14 buah negara yang dihiasi dengan pelbagai corak dan bentuk akan mewarnai ruang udara di sini.
Peluang menaiki belon udara panas terbahagi kepada dua sesi iaitu pukul 8 pagi hingga 11 pagi dan 6 petang hingga 9 malam sepanjang tempoh empat hari pesta itu berlangsung.
"Pengunjung yang hadir boleh menaiki belon udara panas yang diikat secara turun dan naik dengan kadar bayaran RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak.
"Saya berharap orang ramai tidak melepaskan peluang datang ke sini bersama keluarga untuk menikmati keseronokan menyaksikan belon udara panas dan merasai sendiri pengalaman menaikinya," katanya.
Tambahnya, antara program lain yang diadakan adalah pertunjukan paramotor, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan menghasilkan kapal terbang kertas dan bazar jualan.
Khairudin berkata, acara kemuncak pesta tersebut ialah aktiviti Night Glow pada hari Sabtu bermula 8.30 malam.
"Menerusi aktiviti itu, belon udara panas akan berlepas mengikut arahan berkod, seterusnya juruterbang akan mencipta pelbagai kesan mengagumkan melalui tiga arahan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan